Pages - Menu

Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ramadhan. Papar semua catatan

Jumaat, 17 Ogos 2012

Muhasabah Ramadhan - Tentang Hati

28 Ramadhan 1433H

Ramadhan telah sampai ke penghujung. Dijangkakan kita akan menyambut Aidilfitri pada hari Ahad ini. Bermakna tinggal sehari sahaja lagi detik Ramadhan akan berlalu.

Apa perasaan dan rasa kita? Aku? Aku punya cita-cita Ramadhan kali ini. Telah sediakan jadual sebagai panduan. Alhamdulilah walaupun tidak dapat melaksanakan keseluruhan aktiviti Ramadhan, kira-kira 50% tu mungkin ada. (Bukan riya'). Ingat wahai hati, itu bukan pencapaian terbaik kamu, kamu kena berusaha lagi sekiranya Allah beri masa dan hayat pinjamannya tahun depan. Dalam lebih kurang 36 jam lagi, usaha untuk mengejar mana-mana yang tertinggal. Tiada istilah terlambat melainkan rugi jika tidak melakukannya walaupun sedikit.

Tentang hati. Terfikir sejak semalam. Betapa sukarnya hendak menjaga hati sendiri berbanding menjaga hati orang lain. Orang tidak tahu apa yang ada dalam hati kita. Dengki, riya', takabbur, sombong, rasa diri hebat dan macam-macam penyakit hati. Kita mungkin boleh berwajah manis di hadapan orang lain, tetapi di dalam hati berkata-kata sebaliknya. Hebat tak hati? Pepatah melayu kata, rambut sama hitam, hati lain-lain.

Bagaimana mendidik diri atau hati supaya ikhlas? Sedangkan beribadah dengan Allah pun, terkadang hati tergelincir juga mengingat yang lain. Ingat hal dunia, mula teringat kerja, mula teringat sahabat, mula teringat orang tersayang. Itu berlaku. Pada aku.

Ya Allah, sukarnya mendidik hati. Ya Allah, lindungilah aku dari bisikan Syaitan yang direjam. Jadikanlah Ramadhan kali ini suatu titik tolak untuk aku membuat perubahan kepada kebaikan. Semua orang nak jadi baik. Pertemukanlah aku dengan sahabat dan linkungan yang baik. Semoga mereka akan mengingatkan aku kepada-Mu Ya Allah. Subhanallah. Berilah aku petunjuk.

Ya Allah, berikanlah aku hati yang tabah. Berilah aku kekuatan untuk mencari redha-Mu Ya Allah.

Buat sahabat yang membaca, aku memohon kemaafaan sekali lagi. Maafkan khilaf diriku wahai sahabat. Semoga ada kesempatan, boleh bertemu lagi untuk mengeratkan Silaturrahim.

Alhamdulilah. Rezeki masa, rezeki sihat, rezeki ilmu, rezeki harta, rezeki sahabat semoga kita semua di bawah Rahmat Allah dan mendapat keberkatannya.

Rahsia Suri Rumah Bekerjaya! Klik Disini!

Rabu, 15 Ogos 2012

Memburu Lailatul-Qadr

26 Ramadhan 1433H

Istimewa bulan Ramadhan, ada satu malam yang dinamakan malam Al-Qadr di mana Allah memberi rahmatnya kepada hamba yang beribadah kepada-Nya. Ia adalah rahsia Allah.

Diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah diberitahu oleh Allah tentang malam ini dan baginda sangat teruja untuk memberitahu para sahabat lalu menuju ke masjid. Tiba di masjid baginda melihat dua orang sedang berkelahi dan terus baginda terlupa tentang malam LailatulQadr dan ia menjadi rahsia hingga kini.

Melalui pengalaman rohani, para ulama berbeza pendapat tentang bilakah berlakunya LailatulQadr.
- Imam Syafie suka malam 21 dan 23 Ramadhan
- Iman Malik menyatakan ia diantara 10 malam terakhir
- Ahmad Hanbal menyatakan ia malam 17 Ramadhan
- Abu Darda' suka pada malam 25 Ramadhan
- Pendapat yang rajih (yang terkenal) ialah pada malam 27 Ramadhan

Ada yang membuat kiraan berdasarkan hari bermula Ramadhan
  Sekiranya mula JUMAAT - 29 Ramadhan
  Sekiranya mula SABTU - 21 Ramadhan
  Sekiranya mula AHAD - 27 Ramadhan
  Sekiranya mula ISNIN - 29 Ramadhan
  Sekiranya mula SELASA - 25 Ramadhan
  Sekiranya mula RABU - 27 Ramadhan
  Sekiranya mula KHAMIS - 21 Ramadhan

Pendapat lain pula membuat kiraan seperti ini:
  Sekiranya AHAD / RABU - 29 Ramadhan
  Sekiranya ISNIN - 21 Ramadhan
  Sekiranya SELASA / JUMAAT - 27 Ramadhan
  Sekiranya KHAMIS - 25 Ramadhan
  Sekiranya SABTU - 23 Ramadhan

Di Masjidil Haram, iaitu mengikut Mazhab Hanbali, suasana menjadi luar biasa pada malam 27 Ramadhan kerana mereka kuat berpandangan ia malam Lailatul Qadr.

Apakah tanda-tanda malam LailatulQadr (mengikut pengalaman rohani ulama dan orang yang dekat dengan Allah)?
- Pada keesokan harinya matahari tidak terlalu kuat. Dikatakan bahawa pada siang harinya malaikat yang mempunyai sayap naik ke langit dan cahaya matahari menjadi suram dan suasana redup sahaja.
- Tempat yang gelap menjadi samar-samar dengan cahaya
- Tidak terlalu panas atau terlalu sejuk. Perasaan nyaman
- Hati mudah hiba dan sayu dan mudah mengalirkan air mata
- Ketika membuat amal ibadah terasa sejuk / nyaman
- Anjing tidak menyalak pada malam itu

Adakah lagi peluang kita untuk mencari malam Al-Qadr pada Ramadhan kali ini? Tugas sebagai hamba Allah adalah percaya pada kurniaan-Nya dan berusaha sebaik mungkin untuk beribadah. Semoga Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengampun memberi kurnia kepada hamba yang terpilih. Insya Allah.

Mulakan dengan niat untuk mencari LailatulQadr dan usahalah ke arah itu.

Rujukan: Slot IKIM.fm pada 10 Ogos 2012 / 21 Ramadhan 1433H

Rahsia Suri Rumah Bekerjaya! Klik Disini!

Jumaat, 10 Ogos 2012

Ciri-ciri orang beriman

Surah Al-mukminun: 1-11

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Sungguh beruntung orang-orang yang beriman,
2. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya,
3. Dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna,
4. Dan orang yang menunaikan Zakat,
5. Dan orang yang memelihara kemaluannya,
6. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela.
7. Tetapi barangsiapa mencari di balik itu (zina, dan sebagainya), maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.
8. Dan (sungguh beruntung) orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya,
9. Serta orang yang memelihara solatnya,
10. Mereka itulah orang yang akan mewarisi,
11.(yakni) yang akan mewarisi (syurga) Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.

Khamis, 9 Ogos 2012

Sibuk

20 Ramadhan.

Masuk fasa ketiga Ramadhan.

Sekejap sahaja 20 hari telah berlalu. Ramadhan kali ini ada terasa perbezaan.
Ada beberapa perkara yang masih sama macam tahun sebelumnya. Waktu pejabat berubah. Kami boleh pulang seawal 430 petang. Apa yang berbeza, trafik tidaklah terlalu sesak. Tahun lepas, kerapkali tersangkut dalam kesesakan kalau keluar lewat dari pejabat. Alhamdulilah, tahun ini kesesakan berkurangan dan aku sampai rumah lebih kurang 5 petang. Tak perlu sibuk ke bazar Ramadhan kerana kami berpakat masak sahaja di rumah. Lebih ringkas, mudah dan jimat.

Melihat semula jadual Ramadhan, banyak lagi yang perlu aku perbaiki, Ramadhan telah masuk fasa ketiga.
Aku berazam untuk sibuk dengan aktiviti Ramadhan bermula malam ini. Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk beribadah kepada-Mu.

Nabi Muhammad s.a.w ajarkan kepada kita doa ini:
"Ya Allah, bantulah hamba-Mu mengingati mu, mensyukuri nikmatmu dan memperelokkan ibadahku kepada-Mu"

Mudah-mudahan Allah memberi kurnia kepada aku dan sahabat-sahabat dalam mencari malam Al-Qadr. Insya Allah.

Rahsia Suri Rumah Bekerjaya! Klik Disini!

Rabu, 1 Ogos 2012

Dialog Allah swt dengan Iblis

12 Ramadhan.

Surah Al-Hijr, Ayat 32-48
32. Dia (Allah) berfirman, "Wahai Iblis! Apa sebabnya kamu (tidak ikut) sujud bersama mereka?"

33. Ia (Iblis) berkata: "Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk.

34. Dia (Allah) berfirman, "(Kalau begitu) keluarlah dari syurga, kerana sesungguhnya kamu terkutuk,

35. Dan sesungguhnya kutukan itu tetap menimpamu sampai hari Kiamat."

36. Ia (Iblis) berkata, "Ya Tuhanku (kalau begitu) maka berilah penangguhan kepadaku sampai hari (manusia) dibangkitkan."

37. Allah berfirman, "(Baiklah) maka sesungguhnya kamu termasuk yang diberi penangguhan,

38. sampai hari yang ditentukan (kiamat)."

39. Ia (iblis) berkata, "Tuhanku, oleh kerana engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,

40. kecuali hamba-hambaMu yang terpilih diantara mereka."

41. Dan Allah berfirman, "Ini adalah jalan yang lurus (menuju) kepadaKu."

42. Sesungguhnya kamu (Iblis) tidak kuasa atas hamba-hambaKu kecuali mereka yang mengikutimu, iaitu orang yang sesat.

43. Dan sungguh, jahanam itu benar-benar (tempat) yang telah dijanjikan untuk mereka (pengikut syaitan) semuanya.

44. (Jahanam) itu mempunyai tujuh pintu (telah ditetapkan) untuk golongan tertentu dari mereka.

45. Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu berada dalam syurga-syurga (taman-taman), dan (di dekat) mata air (yang mengalir).

46. (Allah berfirman), "Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera dan aman."

47. Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang ada dalam hati mereka; mereka rasa bersaudara, duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan.

48. Mereka tidak merasa lelah di dalamnya dan mereka tidak akan dikeluarkan darinya.

Khamis, 26 Julai 2012

Bread Pudding with Choc Chip

6 Ramadhan.
We had something different today. After 5 days iftar with rice and usual Malay cuisines, we successfully prepared Fried macaroni with minced beef & bread pudding with choc chip.

Ecah & Faz bought popiah basah and tepung pelita. Awesomeness. Tak baik membazir, masak cukup-cukup je :)

Rabu, 25 Julai 2012

Niat jadi baik

5 Ramadhan.

Jangan marah kalau orang tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki, kerana kita sendiri pun sukar berubah mengikut apa yang kita kehendaki. Ustaz Pahrol

Orang yang ego mempunyai nilai diri yang rendah kerana mahu dipandang hebat oleh orang lain. Contoh: suami atau isteri yang ego, pengurus dengan pekerja bawahan. Orang yang hebat ialah orang yang tidak rasa apa-apa apabila dikeji atau dipuji. Yang paling utama hanya pandangan Allah. Bukan makhluk Allah yang lain. Prof Dr Muhaya.

Mulai sekarang jangan malu mengaku nak jadi baik. Kerana hakikatnya ramai orang yang nak jadi baik tapi keinginan kendur bila melihat suasana sekeliling. Keluarga, kawan-kawan, media massa, dll. Pilih suasana yang positif supaya mudah ke arah kebaikan.

Tak salah memilih perkara yang benar. Dari terjebak dengan kebingunan kemudian.

Jom sama-sama doa jadi baik. Dapat rezeki yang halal, pasangan yang soleh/solehah, anak-anak yang soleh/solehah, sahabat-sahabat yang positif. Jom sama-sama usaha masuk syurga.

Amin.

Selasa, 24 Julai 2012

Asam Pedas Ikan Kerisi

Menu pilihan hari ini ialah asam pedas ikan kerisi dan kubis tumis air. Ikan kerisi adalah jenis ikan putih dan dalam golongan ikan merah. Ikan kerisi saiz sederhana dan boleh dimasak singgang atau goreng. Boleh juga masak sambal.

Mak aku kongsikan tips untuk memilih ikan kerisi ialah pilih yang tiada belang kuning. Isinya lebih lembut. Dan jangan simpan ikan terlalu lama. Sebaiknya terus dimasak kerana teksur dan rasa ikan menjadi kurang segar dan tidak enak dimakan sekiranya terlalu lama disimpan.

Bahan-bahan untuk masak asam pedas ini amat mudah iaitu bawang kecil, bawang putih, cili kisar, air asam dan daun limau. Rujuk cookbooks di sebelah kanan blog ini dan anda boleh dapatkan resepi penuh di Dapur Tanpa Sempadan atau Masam Manis.

Isnin, 23 Julai 2012

Falsafah Ramadhan

3 Ramadhan. Setiap hari cuba tambah amalan ibadat kerana Allah. Tapi agak sukar nak mengajak orang lain berbuat kebaikan dan ibadat. Apatah lagi ibadat wajib seperti solat. Kerana ramai umat Islam yang meninggalkan solat walaupun berpuasa. Itulah perang dengan diri sendiri.
Diam atas kebenaran umpama Syaitan yang bisu. ~ Solusi, No 44.
Walaupun ibadat masih banyak kekurangannya, dalam masa yang sama usaha juga untuk mengajak yang lain walau diri sendiri tak sempurna. Kalau mencari kesempurnaan, sampai bila kita akan sempurna kerana sempurna itu milik Allah.

Ini entri 'recap' ceramah Ustaz Pahrol Mohammad Juoi pada 1 Ramadhan 1433H di Masjid Shah Alam:

1) Jadilah hamba TUHAN, bukan hamba Ramadhan (Yusof Al-Qardawi)

2) Ibu dan Ramadhan ada persamaan, iaitu Ibu adalah madrasah untuk anak-anak, manakala Ramadhan adalah madrasah untuk diri dan nafsu. Di bulan inilah mujahadah melawan nafsu dituntut, supaya menjadi pendidik jiwa untuk sebelas bulan yang lain. Syaitan dikatakan diikat dan tidak boleh menggoda manusia, hanya nafsu yang beraja. Kalau masih liat beramal, atau meninggalkan maksiat, maka muhasabah diri. Nafsu itu dalam diri kita sendiri.

3) Tiga kata kunci dalam Ayat 183, Surah Al-Baqarah:
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.
    Iman adalah input. Allah menyeru orang yang beriman kepadanya.
    Puasa adalah proses. Diwajibkan puasa kepada orang yang beriman sebagai suatu proses pembinaan diri.
    Taqwa adalah output. Dengan iman dan puasa yang berkesan akan menjadikan seseorang itu hamba yang bertaqwa.

4) Puasa hanya budaya dalam masyarakat? Kenapa?
    - Ibu-ibu lebih menekankan latihan berpuasa daripada Solat. Hakikatnya kewajipan Solat itu didahulukan.
      Bila anak berusia 7 tahun, hendaklah diingatkan Solat lima waktu. 10 tahun, dibenarkan memukul (secara ringan) sekiranya meninggalkan Solat. 5500x peringatan, baru boleh dihukum.

   - Kalau di bulan Ramadhan, ramai berjemaah Tarawih di masjid-masjid. Sedangkan tuntutan jemaah Subuh dan Isya' juga sangat tinggi nilainya di sisi Allah. Lepas bulan Ramadhan masjid lengang kembali.

5) Mekanisma puasa
    - Lapar : Menyempitkan jalan Syaitan
    - Tarawih : Pengukuhan hubungan Silah dengan Allah
    - Sahur : Intim dengan Allah (bangun Solat tahajud dan witr)
    - Baca Quran : Mengimbau panduan hidup
    - Latihan ihram : Menahan diri daripada yang halal (seperti makan dan minum)
    - Latihan insan : Buruk balas baik. "Aku Puasa"
    - Latihan ikhlas : Semua kerana Allah
Jika seseorang tertahan daripada bangun di tengah malam, ia adalah disebabkan dosa di siang hari ~ Ahli Sufi
Beribadahlah kamu sehingga kamu letih melakukan maksiat.
Terima kasih Ustaz Pahrol atas perkongsian yang bermakna. Kunjungi laman web beliau untuk kata-kata hikmah dan peringatan buat yang lupa

Wallahu'alam.
Rahsia Suri Rumah Bekerjaya! Klik Disini!

Ahad, 22 Julai 2012

Menu Ramadhan

Bertemu lagi Ramadhan hari kedua. Alhamdulilah. Hari Ahad. Aku dan teman pergi ke Pasar Tani Shah Alam seawal 730 pagi. Kami ingatkan pasar akan sesak. Tapi nampaknya tidak begitu ramai yang datang ke Pasar. Hanya ada gerai bahan-bahan mentah dan kering sahaja. Memang itupun tujuan kami. Membeli bahan-bahan untuk menu berbuka seminggu ni :)

Macam tahun lalu, aku memilih untuk memasak sahaja sendiri. Lebih mudah dan ringkas. Yang paling aku suka tak perlu bersesak-sesak di bazar Ramadhan. Dan lebih jimat, kami berkongsi untuk beli bahan-bahan mentah.

Ok, untuk memudahkan persediaan, aku buat beberapa menu pilihan. Jadi bila dah buat perancangan, tidaklah sesukar mana. Buat menu yang 'simple' sahaja. Tapi berbaloi untuk berbuka di Bulan Ramadhan ini. Jom tengok menu Ramadhan :-

1) Tomyam Udang + Telur Dadar
2) Sup Meatball marina + Tauhu Goreng
3) Ikan kerisi masak asam (style orang Johor la) + Tumis kacang buncis
4) Ayam goreng rempah + Sayur campur
5) Ayam goreng kunyit (dengan kacang panjang) + Steamed tofu
6) Ikan bawal masak kari (dengan tomato dan kacang bendi) + Tempe goreng
7) Spagheti meatball + Chicken nugget salad + chicken pie (tinggal panaskan je)
8) Soto (style Johor jugak) + Begedil
9) Nasi tomato + Ayam masak merah (challenging sikit)
10) Sup ikan merah + sayur goreng
11) Beef stew + Garlic bread (beli siap je, tinggal panaskan)
12) Ikan kembung goreng + steamed tofu + Kangkung
13) Ikan masak kicap + Bayam
14) Daging masak kari + Kubis hijau (yang comel tu)
15) Ikan siakap kukus + tumis sayur campur
16) Sotong goreng tepung + Sup cendawan + telur dadar
17) Lasagna + Kentang goreng + Sup cendawan berkrim (tak sama dengan menu 16)
18) Nasi butter + kurma ayam + terung bercili (challenge)
19) Roasted chicken + grilled vege + mashed potato (cita-cita tinggi ni :)
20) Ikan bakar primula (resepi orang terengganu) + kailan

Cukuplah menu tersenarai. Kalau berkesempatan boleh sediakan semua menu dalam senarai. Oh ye, mungkin boleh tambah beberapa menu sampingan. Ikut kemampuan masa dan tenaga :)

1) Puding roti (especially kalau ada roti lebih)
2) Puding karamel
3) Sweet bun
4) Rojak kuih
5) Bagel
6) Cream puff
7) Hokkaido cake
8) Roti gulung sosej

Sesuai dengan falsafah Ramadhan, yang mana maksud 'Shiam' adalah menahan, maka usahalah sebaik mungkin untuk menahan diri daripada membazir dalam menyediakan juadah berbuka.

Selamat berpuasa kepada semua. Jom bebankan diri dengan ibadah dan sifat-sifat mahmudah.

Rahsia Suri Rumah Bekerjaya! Klik Disini!

Khamis, 12 Julai 2012

Jadual Ramadhan

Menghitung hari menjelang Ramadhan 1433H. Aku mohon kepada-Mu, Ya Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengampun, berilah peluang kepada hamba-Mu menjalani Ramadhan kali ini dengan sebaik-baiknya.

Cita-cita Ramadhanku:

4.00 pagi - Bangun dan istighfar, Solat Tahajud, Solat Taubat dan akhiri dengan Solat Witir
5.15 pagi - Sahur
5.45 pagi - Sedia untuk Solat Subuh, baca Al-Quran
7.00 pagi - Sedia untuk ke tempat kerja
8.00 pagi - Waktu kerja
10.30 pagi - Solat Dhuha dan baca Quran, selesai dan sambung kerja
1.00 tgh - Sedia Solat Zohor, Solat dan baca Quran, selesai dan sambung tugas
4.30 ptg - Pulang dan Solat Asar, baca Quran
5.30 ptg - Sediakan juadah berbuka di rumah
7.15 mlm - Berbuka dan Solat Maghrib, baca Quran
8.15 mlm - Solat Isya' dan Solat Tarawih
10.00 mlm - Rehat dan sedia untuk tidur awal

Amalan mendidik jiwa:
1) Sasaran membaca Al-Quran 30 juzuk dalam bulan Ramadhan
2) Sahur dan berbuka dengan sederhana dan ringkas
3) Kurangkan percakapan yang sia-sia (jangan mengumpat)
4) Kurangkan menonton rancangan TV yang tidak berfaedah
5) Baca buku yang bermanfaat
6) Banyakkan istighfar
7) Beri kemaafan pada orang lain
8) Minta maaf serta-merta jika buat kesalahan
9) Elakkan pembaziran
10) Banyak berdoa memohon keselamatan dan kebahagiaan kepada Allah
Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang reda dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku. (Al-Fajr: 27-30)


Rabu, 7 September 2011

Berakhirnya Ramadhan, Bermula Syawal

Cuti seminggu menyambut Syawal di kampung. Dah sembilan hari Ramadhan berlalu. Seperti tahun-tahun yang lalu, aku balik ke Johor Bahru untuk meraikan Aidilfitri. Sebelum pulang aku ada beberapa azam untuk melakukan perubahan. Alhamdulilah, walaupun tidak semua tercapai tetapi ada yang dapat dilaksanakan. Ya Allah, berilah peluang untuk bertemu Ramadhan akan datang dan meraikan bersama ibu bapa tersayang.

Meriah Syawal, ada cerita gembira ada cerita duka. Malam Jumaat, 4 Syawal, seorang saudara terdekat pulang ke Rahmatullah, awal pagi Jumaat seorang ibu muda menyambut kelahiran cahayamata pertamanya. Kiranya aku dah jadi nenek :) Nenek muda la ini. Satu mendapat takziah, satu lagi mendapat tahniah.

Sempat juga bertemu sahabat baikku, Dr Yati & Ummu Fatimah. Seronok bercerita, walaupun pertemuan ringkas, tetapi berharga sambil berkongsi cerita dan cita-cita.

Semua dapat berkumpul di Hari Raya. Memang kecoh kalau dah 15 orang anak-anak saudara, mana tak penuh rumah mak. Keluarga kami memang besar, maka banyak la kerenahnya, adat la tu kan. Tiga orang akan mengambil SPM dan dua orang mengambil UPSR. Sempat juga aku berkongsi tips menyelesaikan masalah matematik UPSR. Teringat kata-kata Asyraf "Hmm... boleh eh cik macam ni? Cik engineer ke? Boleh cari jawapan ikut cara ni?" "Hehe... bukanla. Cik akauntan" Boleh lagi la menjawab soalan UPSR. (I'm smarter than 5th grader).


Si comel Hannah memang menggeramkan. Sebab dia yang paling kecil (1 tahun 1 bulan). Aku suka buli dia. Bukan buli macam mana ... saja nak alihkan perhatian dari mamanya tu. Pantang jauh sikit, menangis macam ada switch on / off. Bila pulang balik pada mamanya, terus switch off. Lepas lima hari di kampung, barulah hendak bermain mesra dengan abang Asyraf dan sepupu yang lain.

Trafik balik ke kampung sebelum Syawal juga tidak sesak. Apabila pulang juga tidak sesak. Aku yang mengamalkan 'pemanduan berhemah' ni dapat sampai ke destinasi dalam tempoh biasa. Rasa lega tidak perlu menghadapi kesesakan melampau. Pengalaman tahun lalu, kebiasaannya aku akan mengambil masa lebih 6 jam untuk perjalanan JB - KL. Terima kasih kepada pihak polis trafik dan PLUS yang memantau trafik di Aidilfitri tahun ini.

Itulah sedikit kisah di Aidilfitri. Seperti catatan Ustaz Pahrol, Kembalilah kepada Fitrah. Semoga dengan berakhirnya Ramadhan, kita akan terus bermujahadah dengan kebiasaan di bulan mulia itu dan membawa kepada bulan Syawal dan seterusnya. Semoga bersama kita menjadi orang yang cemerlang dunia dan akhirat. Insya Allah.

Sabtu, 20 Ogos 2011

20 Ramadhan 1432H - Syukur

20 hari berlalu. Alhamdulilah, dapat bertemu Ramadhan kali ini. Adakah aku akan bertemu Ramadhan lagi? Semoga Allah memberi kesempatan ini.

Setiap kali bernafas, sebenarnya itulah detik masa dan kesempatan yang diberikan oleh Allah untuk kita berusaha dalam amalan, seolah menanam benih dikebun, di mana hasilnya dituai di akhirat. Sebab itu kita dikehendaki bersyukur.

Selalu kita cemburu dengan pencapaian orang lain
Yang miskin melihat yang kaya katanya kenapa aku susah?
Yang lemah melihat yang kuat katanya kenapa aku tidak bermaya?
Yang gagal melihat yang berjaya katanya kenapa aku tidak berupaya?
Yang sedih melihat yang gembira katanya kenapa aku begini?

Allah tidak akan membebankan hambanya, melainkan dia mampu menanggung bebanan itu. Apabila kita terlupa bersyukur, lihatlah ke bawah, supaya kita nampak apa yang Allah berikan kepada kita. Setiap daripada kita mempunyai kelebihan. Daripada kita bersikap iri hati dan dengki dengan pencapaian orang lain, lebih baik kita usaha menggunakan kelebihan diri untuk mencapai apa yang kita impikan.

Dengan Allah yang Maha Kaya dan Maha Pengasih
Yang miskin akan jadi kaya
Yang lemah akan jadi kuat
Yang gagal akan berjaya
Yang sedih akan gembira
Apabila engkau memperolehi itu
Hendaklah bersyukur
Kerana bersyukur mendidik hati agar tidak takbur

Isnin, 15 Ogos 2011

15 Ramadhan 1432H - Muhasabah Ramadhan

adakah hari-hari yang lalu diisi dengan kebaikan
adakah aku ambil peluang untuk meningkatkan mujahadah di bulan Ramadhan
adakah amalku diterima Allah
yang penting usahalah sebaik mungkin hingga ke akhirnya
semoga didikan Ramadhan menjadikan kita insan yang lebih baik
pada hari-hari seterusnya

sayangnya
orang yang tidak nampak keindahan Ramadhan
seolah kebiasaan
seolah sifat mazmumah beraja di dalam diri dan hatinya
jelas membuat onar dan tidak amanah
tapi takut dengan bayang-bayang sendiri
malangnya dialah yang menjadi pemimpin

wahai pengikut
tidak nampakkah
tidak dengarkah
tidak melihatkah
kenapa mesti menjadi pengikut buta tuli

takkan senang orang yang seperti ini
menipu sana menipu sini
Ya Allah jauhkan aku dari orang yang zalim dan tidak amanah
Amin

Sabtu, 13 Ogos 2011

12 Ramadhan 1432H - Sikap Biadab vs Sabar

Hari Jumaat selalunya aku akan mengelak untuk membuat sebarang urusan di Kuala Lumpur terutamanya di waktu petang. Tapi ada sesi menarik yang ingin aku hadiri tentang situasi pasaran yang tidak stabil di US di Jalan Sultan Ismail. Petang ini pemandu membawa kami ke sana. Maklum sajala trafik petang Jumaat di bulan puasa memang dijangkakan sesak.

Dalam sesak, akhirnya kami sampai ke pejabat pada jam 6 petang. Ada satu kejadian yang tidak diingini berlaku. Semasa kami hendak masuk ke simpang ada sebuah kereta Kancil dipandu dengan tidak stabil dan membahayakan. Kami ingin cepat, akhirnya pemandu dapat memotong beliau dengan jarak dekat. Rupanya pemandu kereta Kancil itu tidak puas hati dan keluar hendak bergaduh dengan kami.

Aku dan rakan berdebar-debar. Kami mengucap panjang. Budak Melayu itu sungguh biadab sehingga mengeluarkan kata-kata kesat dan mengangkat kaki beliau hendak menyepak pemandu kami. Nasib baik tiada kejadian yang buruk berlaku.

Apakah pengertian Ramadhan pada budak Melayu ini?
Apakah tiada nilai kemanusiaan di dalam hatinya?
Bagaimana kaki dan mulut itu sekiranya beliau berwuduk dan mengaji Quran boleh menjadikan perilaku sebegini?

Islam mensyariatkan perkara-perkara yang wajib seperti Solat dan Puasa untuk mendidik jiwa kita. Adakah budak Melayu itu, (aku rasa dia masih Islam) mengamalkan perkara asas ini? Astagfirullah ... Sungguh rugi dirinya di bulan Ramadhan, tiada keinsafan dan mendapat dosa dengan perbuatan dirinya sendiri.

IMHO: Mungkin budak ini kurang kasih sayang di kalangan keluarganya. Maka dia tiada kasih sayang dengan orang lain.

Selasa, 9 Ogos 2011

8 Ramadhan 1432H - Membaca Al-Quran

Terima kasih ayahanda
Mengajar membaca Al-Quran sejak kecil
Setiap kali aku membaca Al-Quran
Pasti akan teringat ayahanda
Semoga Allah memanjangkan umurnya
Memberi rahmat berpanjangan kepadanya
Semoga Allah memberi peluang
Aku memberi kebahagian kepadanya

Kerana ayahanda
Aku mampu membaca Al-Quran
Kadangkala aku terlalai dan tidak membaca Al-Quran
Di bulan Ramadhan
Mengejar pahala dan rahmatnya
Dengan membaca Al-Quran

Ramadhan ini
Membaca Al-Quran secara tersusun
Bermula dengan Surah Al-Baqarah
Bercita-cita menamatkan 30 juzuk sekali
Di Ramadhan 1432H ini

Membaca Al-Quran
Ada motivasi
Ada kisah tentang keagungan dan penciptaan
Ada panduan ilmu
Ada peringatan
Ada kisah kasih sayang
Ingatkan kembali diri kita sebagai hamba-Nya yang lemah

Buat sahabat
Tiada henti untuk belajar membaca Al-Quran
Aku juga banyak kelemahan
Kuatkan semangat untuk memperbaiki bacaan
Adakah malu lebih wajar dari sikap mahu belajar?
Tiada kata sudah terlambat
Rugilah mereka yang tidak mampu membaca Al-Quran
Lebih rugi mereka yang tidak mahu belajar membaca Al-Quran

Suatu hari nanti
Ajarlah anak-anak kita mengaji Al-Quran
Dari kecil
Supaya mudah lidahnya membaca
Supaya lembut hatinya dengan kata-kata Allah
Supaya terdidik jiwanya dengan ayat-ayat yang indah
Insya Allah
Jiwa yang membaca Al-Quran
Menjadi jiwa yang sentiasa ingat Allah
Dalam hari-harinya

IMHO: Semoga ajaran ayahanda menjadi manfaat sepanjang masa. Amin

Isnin, 8 Ogos 2011

7 Ramadhan 1432H - Ilmu


Aku pergi ke Perpustakaan Awam Negeri Selangor. Niat asal hendak melihat-lihat perpustakaan yang baru dibuka pada 22 Julai 2011. Aku sangat teruja dengan kemudahan yang ada. Bangunan yang besar dan cantik. Bersih dan disusun dengan rapi. Ada ruangan khusus untuk kanak-kanak di tingkat bawah.

Di setiap tingkat ada terminal komputer untuk melayari Internet dengan kadar RM1.00 sejam. Bagi peminat Macs, memang kembang hati melihat 5 unit Macs disediakan di setiap tingkat. Canggih. Pengunjung juga boleh melayari internet dengan peralatan sendiri kerana terdapat akses Wi-Fi.

Ramai juga remaja yang datang mengulangkaji pelajaran bersama rakan. Ada juga remaja yang bertemankan bapanya :) Aku pula datang dengan hasrat menyambung penulisan buku yang tertanggguh.

Banyak lagi ruang kosong pada rak-rak buku di setiap tingkat. Sambil berangan-angan buku aku tersusun di salah sebuah rak di perpustakaan ini. Insya Allah. Mungkin inilah tempat untuk aku menyiapkan buku pertama itu. Sebuah tempat rujukan ilmu yang pelbagai. 

Sesungguhnya Al-Quran memberi motivasi untuk menuntut ilmu. Ayat pertama yang diturunkan ialah Surah Al-'Alaq: 1 bermaksud:
Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. (Al-'Alaq: 1)
Walaupun Nabi Muhammad s.a.w tidak pandai membaca, tetapi inilah perkara pertama yang diwahyukan kepada baginda. Tuntutan menuntut ilmu.
Tanpa ibu dan bapaku yang berkorban masa, tenaga dan wang untuk memberi pendidikan yang baik, tentu aku tidak sampai ke tahap ini. Aku sangat bersyukur kerana tanpa lelah mereka melabur semata-mata untuk menjadikan aku seperti mana aku sekarang. 

Menuntut ilmu tidak akan berhenti. Semakin banyak yang kita pelajari maka semakin banyak yang tidak kita ketahui kerana ilmu Allah sangat luas.
IMHO: Sangat bangga dengan usaha badan kerajaan dalam mendirikan sebuah perpustakan yang canggih dan selesa untuk peminat ilmu.

Ahad, 7 Ogos 2011

6 Ramadhan 1432H - Musibah

Pagi aku pergi ke Empire & Subang Jaya. Dah set awal-awal untuk ke Popular or MPH sebab nak cari stationery. Di Popular terbeli buku lagi, combo set by John Gray and Dale Carnegie. Lagipun ada diskaun. Layan. Sebab stationery yang dicari takde aku singgah pula ke MPH, Subang Parade.

Jiwa kacau. Baju kurung untuk raya berlambak. Tapi harganya pun boleh tahan. Purata RM200 ke atas. Tapi aku tahankan hati. Akhirnya berjaya untuk tidak membeli. Lagipun memang ada baju yang dah siap tapi belum pernah pakai. Sesuailah untuk jadi baju raya.

Sampai di rumah lebih kurang 2 petang. Dapat berita, rakan sekerja kena musibah. Kemalangan motor, luka juga. Pada mulanya beliau dihantar ke Hospital Klang oleh seorang yang baik hati di tempat kejadian. Alhamdulilah, besar pahala dia membantu orang yang susah di bulan Ramadhan ini.

Kemudian, kakak beliau menghantar ke KPJ Specialist. Aku melawat dia selepas 'Asar. Insaf melihat keadaan beliau. Walaupun nampak sedikit, tapi mungkin ia sesuatu yang besar untuk dia. Semoga Allah beri kesabaran kepada beliau.

Inilah hakikat. Kita tidak tahu bila sesuatu musibah itu akan terjadi. Pada diri sendiri atau pada orang yang terdekat. Memikirkan hakikat ini, aku tidak mahu sambil lewa lagi. Apa yang perlu disegerakan harus disegerakan. Kerana masa tidak menunggu kita.

IMHO: Sikap bertangguh akan merugikan. Bayangkan bila kita sakit, tentu ada perkara yang tidak boleh kita lakukan buat sementara. Lakukan apa yang perlu dengan segera.

5 Ramadhan 1432H - Humble and Happy

It's Friday. Everyone knows it. But I just wanted to mention it. Usually, I will have a good day on Fridays. I was nervous in the morning because I was expected for an appointment with an important client. She postponed the meeting that was supposed to be on Monday. I was relieved. For this appointment (Friday), I was much prepared.

I reached at her office at 1200 noon. She is a busy high official in the organization. Actually she is a consultant anaesthesiologist. Without her, the operations cannot go, you know what I mean :)

I presented the draft as per our discussion two weeks ago. We did discuss few issues and I need to come back to her on few other matters. It was a success. What she said really make me feel appreciated. I smile. When a client like her said something positive, that means I have done a good service.

She said she is so happy because she thought it was a difficult process, but it's not when I make it easier for her. She feels so relieved (lega) now that she has taken the steps to have a very important plan in place. I also got the potential to have more business with her. Alhamdulilah.

Humble. Eventhough she is a specialist in her area, she accepted that on certain matters there are lacking. It does not matter as she said we can always get advice from the expert. I admire her for this. I will always remember this.
Lagi banyak ilmu yang kita dapat, sebenarnya lebih banyak yang tidak kita ketahui.  
I like meeting positive people. This will recharge myself to be a positive person.

Jumaat, 5 Ogos 2011

4 Ramadhan 1432H - Trafik

Ini cerita semalam. Aku ada mesyuarat di KL bermula 1030pagi. Rancangan asal ada pertemuan dengan klien di KL Sentral, tapi saat akhir dibatalkan. Akhirnya aku lepak sahaja di pejabat sehingga mesyuarat kedua bermula di sebelah petang.

Sesi pagi membincangkan proses penjualan yang berkesan. Aku seorang sahaja yang Muslim di dalam kumpulan itu. Tetapi terima kasih kerana mereka semua menghormati bulan ini. Aku memang tak faham kalau ada orang Islam yang buat-buat lupa tanggungjawab berpuasa sedangkan orang Islam lebih 'aware' lagi.

Julian kongsi idea tentang Dream Book. Sangat mudah hendak mulakan Dream Book, tetapi selalu bertangguh. Kenapa hendak bertangguh merealisasikan impian sendiri?

Sesi petang diisikan dengan penerangan produk. En Nazrin dari ING Public Takaful Ehsan tidak membosankan. Sesi kedua Tokio Marine Asia Life agak bosan. Lagipun dah pukul 1630. Tak fokus lagi.

Keluar dari pejabat 1800 dan pastinya Lebuhraya Persekutuan sudah sesak. Ambil masa sejam dari Jln Kg Attap ke Shah Alam. Merungut pun tak guna, aku layan IKIM FM dan ada slot tentang BUKU. Menarik. Buku yang dibincangkan ialah Ramadhan Terakhir oleh Hisham AR diterbitkan oleh Galeri Ilmu. Aku akan ceritakan berkenaan temubual ini di entri lain.


Alhamdulilah, sampai juga sebelum Maghrib untuk berbuka.


IMHO: Entah kenapa, rasa kurang tertekan dalam kesesakan di bulan Ramadhan. Itulah istimewanya Ramadhan. Bagusnya kalau dapat 'maintain control stress' macam ni.