Pages - Menu

Memaparkan catatan dengan label Books. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Books. Papar semua catatan

Selasa, 8 Mac 2016

Novel Bulan, Tere Liye


Saya habis membaca novel Bumi pada bulan Januari lalu. Dan sejak itu saya menantikan stok Bulan sampai ke Malaysia. Bumi penuh debaran dan aksi Raib, Seli dan Ali yang masuk ke dunia Bulan. Akhirnya kembali ke Bumi.

Bulan, sequel Bumi membawa saya ke dunia Matahari. Tiga sekawan dijemput Miss Selena dan Av untuk misi damai dengan Klan Matahari. Masih lagi dengan debaran. Namun, lebih kepada pengembaraan yang tidak dijangka oleh Raib, Seli dan Ali. 

Saya suka watak Ali dalam Bumi. Ali tidak berapa kuat dalam Bulan. Saya menantikan sequel seterusnya dalam Matahari. 

Tetap tidak mengecewakan. Saya terus ambil novel Hujan untuk dibaca selepas tamat Bulan. 

Novel Hujan, Tere Liye


Saya suka hujan. Seringkali buat saya teringat akan kenangan. Atau hanya buat saya tenang.
Macam Lail. Sangat sukakan hujan. Banyak peristiwa penting berlaku saat hujan membasahi bumi. Salah satunya pertemuan dengan Esok.
Novel Hujan novel masa hadapan. Manusia menghadapi ancaman. Krisis perubahan cuaca global. Kuasa, tamak dan mementingkan diri menjadikan manusia pemusnah kepada ekosistem dunia.
"Let us not take this planet for granted." Ucap Leonardo DiCaprio.
Malah Tere Liye menangkat tema 'climate change' dalam Hujan.
Tere Liye menyampaikan mesej penting dalam novel ini. Disulami kisah persahabatan dan cinta.
Cinta itu bisa jadi romantis cukup bila kau tahu kau dicintai dan mencintai.
Dua petikan yang paling saya suka dalam novel ini:
"Bukan melupakan yang jadi masalah. Tapi menerima. Barangsiapa yang bisa menerima, maka dia akan bisa melupakan. Tapi jika dia tidak bisa menerima, dia tidak akan pernah bisa melupakan."
dan;
"Kerana kenangan sama seperti hujan. Ketika dia datang, kita tidak akan bisa menghentikannya. Bagaimana kita akan menghentikan tetes air yang turun dari langit? Hanya bisa ditunggu hingga selesai dengan sendirinya."
Setakat ini saya sudah tamat baca tiga novel Tere Liye:
Bulan
Hujan

Ada lagi 5 judul menanti untuk dihadam.

Ahad, 6 Mac 2016

Novel Bumi, Tere Liye


Seringkali rakan berkongsi petikan daripada novel Tere Liye. Seorang penulis prolifik Indonesia yang sudah menghasilkan lebih 20 karya sejak bertahun-tahun lalu. Salah satu karyanya ialah Hafalan Shalat Delisa yang difilemkan. Novel dengan latar kejadian tsunami di Acheh mendapat respon yang sangat baik daripada penonton.

Saya tak pernah menonton filem ini atau membaca novelnya. Saya tertanya-tanya keistimewaan dan kelebihan karya Tere Liye.

Saya membeli novel Bumi di Kedai Projek Buku, Johor Bahru. Hanya tinggal satu naskhah. Jadi saya tak dapat memilih. Lagipun niat saya ingin cuba membaca karya Tere Liye.

Bumi adalah kisah tiga orang remaja bernama Raib, Seli dan Ali. Raib ada satu kelebihan iaitu dia boleh menghilang. 

Novel ini membawa saya mengikuti pengembaraan penuh debaran oleh tiga sahabat ini. Dalam dunia mereka wujud dunia paralel. Bumi menceritakan perjalanan mereka di dunia Bulan. 

Bahasa yang mudah difahami. Walaupun ada beberapa perkataan Indonesia yang saya tidak faham, tapi tidak mengganggu pembacaan saya. 

Bulan ini (Mac) saya dapat membeli tujuh lagi novel Tere Liye dengan judul:
  1. Bulan (sequel Bumi)
  2. Hujan (novel paling baru)
  3. Rembulan Tenggelam di Wajahmy
  4. Negeri Para Bedebah
  5. Negeri di Hujung Tanduk
  6. Pulang
  7. Rindu
Sebagai penulis, saya kagum dengan energi Tere Liye menulis begitu banyak novel sehingga kini dengan tema yang pelbagai. 

Adakah saya juga akan berhasil menulis sebuah novel pada masa hadapan?

Selasa, 16 Februari 2016

Travelog: Krabi - Pergi Naik Bas Balik Naik Tren


Dapat beli travelog baru Krabi, karya Normi di ‪#‎perkampunganpenulis2016‬.
Baca masa dalam tren. Konon-konon rasa juga lah macam mana penulis dan rakannya naik tren pulang ke KL.

Saya beli tiket for sleepers. Bagus juga. Saya baca buku ni sampai habis sebelum tidur. Kalau naik bas, memang selamat lah. Tak dapat membaca dalam gelap.

Tahniah Normi kerana menerbitkan travelog ini. Saya belum pernah ke Krabi. Jadi makin kuat la angan-angan tu nak ke sana.

Membaca travelog bukan tentang destinasi semata-mata. Namun, pembaca sama-sama ikut dalam kembara penulis.

Rasanya hampir 100 peratus saya tak akan mengalami perkara yang sama dilalui Normi.

Bukan itu sahaja.
Pemikiran, perasaan dan pemerhatian kita akan berbeza. Tidaklah 100 peratus berbeza langsung. Sebab ada pandangan penulis yang saya setuju.

Dan Masya Allah gambar yang beliau dan rakannya ambil cantik. Itulah keindahan bumi Tuhan.
Normi ada catatkan tips, apa patut buat, jangan buat dan elakkan buat.

Follow @sayabackpacker di IG dan blog sayabackpacker.com

Khamis, 31 Disember 2015

Angan-angan travel 2016

Destinasi pertama yang saya pergi dengan kawan baik saya ialah Bukit Tinggi, Padang Indonesia. Lebih lima tahun lepas. Sejak itu, banyak destinasi saya dah pergi. Tidak sebanyak otai traveler yang lain. 

Alhamdulilah. Banyak perkara yang kita dapat belajar apabila pergi ke negara lain atau melancong ke daerah lain walaupun dalam negara sendiri. 

Kota Kinabalu, dah tiga kali saya pergi berbanding daerah lain dalam negara. Saya suka Kota Kinabalu. Cuma cita-cita nak panjat gunung sahaja yang belum pasti akan terlaksana atau tidak. Saya bukan jenis yang lasak sangat. Orang kata naik Gunung Kinabalu perlu kekuatan mental melebihi fizikal. Persediaan untuk kekuatan stamina mesti dibuat sebelum nak daki Gunung Kinabalu.

Tahun 2015.

Melancong ke Melbourne dan Sydney. Oh, saya suka Melbourne. Insya Allah, ada rezeki saya nak pergi ke sana lagi. Kawan saya pun dah dapat PR sana. Boleh saya menumpang kat rumah dia barang seminggu dua. Ahakkss..

Perjalanan selama sepuluh hari ke Melbourne dan Sydney saya rakamkan dalam buku travelog Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari. Buku ini kami terbit sendiri. Bila tengok balik buku ini macam tengok album gambar + pelbagai kisah sepanjang percutian kami bertujuh. 

Minggu lepas saya pulang dari Da Nang. Da Nang di Central Vietnam. Ho Chi Minh dah pergi beberapa tahun lepas. Mungkin saya akan ke Hanoi pula selepas ini. 

Tahun 2016.

Semoga Allah permudahkan kembara saya seterusnya. Mungkin merentas separuh dunia ini. Mana tahu kan?

Selasa, 29 Disember 2015

Travelog: Seoul dengan RM1,400 je?

Saya pergi ke Seoul dan Jeju pada awal tahun 2012. Arghh... memang gatal kaki ini nak pergi ke sana lagi. Masa itu kami mengikuti pakej pelancongan. Saya tak ingat berapa kami bayar, tapi tidak sampai RM3,000.

Sekali kawan saya Normi Ahmad Shafie pergi ke Seoul dengan RM1,400 je. Beliau baru pulang Oktober lepas. RM1,400 untuk 5 hari 4 malam. Melancong gaya backpacker. Beliau dan rakannya tidak mengambil sebarang pakej. Tinggal di hostel dan menggunakan pengangkutan awam iaitu subway. 

Insya Allah saya akan ke Korea Selatan sekali lagi. Bila? Tak tau lagi. Masuk diari dulu. Travelog Normi lengkap dengan cara-cara untuk pergi melawat banyak tempat menarik. Dan makan ikan salmon, tiram dan octopus gaya orang Korea. Yummmsss....

Siapa yang hendak melancong ke Seoul gaya backpacker boleh baca ebook ini. 


Travelog: Kota ini lebih romantis daripada Paris


Berangan nak ke Turki. Orang kata Istanbul cantik. Orang kata masjid di sana indah. Orang kata naik belon panas di sana sangatlah mengujakan.

Saya pun berangan-angan. Dengar orang kata je, nak juga lihat sendiri. Insya Allah.

Tapi sebelum pergi, saya baca ebook ini dahulu, Kota Ini Lebih Romantis daripada Paris oleh Azzah AR. Travelog ini ditulis berdasarkan pengalaman beliau bermukim lebih dua bulan di Turki. Beliau juga sudah beberapa kali ke sana. Sudah berjaya belajar bahasa Turki lagi.

Saya suka travelog ini. Ada kisah yang lucu, sedih, gembira, terharu dan bermacam-macam lagi. Penulis turut menceritakan tentang bangunan-bangunan penting serta sejarah yang dekat dengan Islam. Masjid-masjid yang indah. Orang Turki yang pembersih dan peramah. Yang terlebih peramah pun ada!

Nak tahu lebih lanjut, bacalah ebook ini. Boleh tempah terus daripada penulis. Klik sini. Layari laman web penulis Nota Perempuan Backpacker.

The Most Beautiful Sounds


Semasa melalui Bach Dang St berhampiran Han Bridge, saya ternampak sebuah kedai buku Bookzone. Suka betul saya. Saya masuk dan melihat-lihat jika ada buku yang boleh saya beli. Buku oleh penulis Vietnam.

Hampir semua buku yang dijual dalam bahasa Vietnam. Hanya beberapa buah buku dalam bahasa Inggeris. Mustahil saya dapat membaca buku bahasa Vietnam. Kalau boleh pun, tentu memenatkan. Saya bertanya adakah buku yang ditulis oleh penulis Vietnam dan diterjemah ke bahasa Inggeris. Dia kata tiada. 

Saya tidak terus keluar. Saya mengelilingi rak-rak buku yang tak berapa banyak dalam kedai ini. 
Yes! Akhirnya saya nampak sebuah buku oleh penulis Vietnam. Buku dalam gambar di atas. 

Judul buku: Open the window, eyes closed (Vua nham mat vua mo cua so)
Himpunan cerpen kanak-kanak (18 cerpen)
Penulis asal: Nguyen Ngoc Thuan
Penterjemah kepada bahasa Inggeris: Truong Tiep Truong
Penerbit: Tre Publishing House

Buku ini sudah diterjemah kepada lima bahasa dan pertama kali memenangi anugerah buku kanak-kanak di Sweden. Buku ini dikatakan buku kanak-kanak yang paling banyak dibaca oleh orang dewasa. 

Saya terjemah cerpen yang pertama dalam buku ini daripada buku terjemahan bahasa Inggeris. Cerpen ini sangat comel :) Dan saya terjemah secara suka-suka sahaja untuk berkongsi dengan pembaca.

(Disclaimer: Semua hakcipta adalah kepada penulis asal dan penterjemah. Oleh sebab saya menterjemah daripada teks bahasa Inggeris, kemungkinan terjemahan akan berbeza sedikit jika ia diterjemah terus daripada bahasa Vietnam.)

Bunyi yang paling indah (The most beautiful sounds)

Saya budak lelaki berumur sepuluh tahun. Maknanya saya masih berada di dalam perut ibu sepuluh tahun yang lalu. Mak membawa saya ke mana sahaja dia pergi. Saya belum menangis lagi. Mestilah bayi di dalam perut ibu tak boleh menangis! Cuba bayangkan sendiri. Bagaimana keadaannya di dalam perut ibu? Awak tiada sesiapa kecuali ibu awak. Ayah kata memang bertuah bila seorang bayi lahir. Kelahiran saya bermakna saya akan mempunyai ramai kawan baru! Bagaimana saya dapat mengenali Ti dan jadikan dia kawan baik saya kalau saya tidak lahir ke dunia?

Ayah juga berkata bila seorang bayi lahir, bidan akan menepuk punggungnya supaya bayi itu sedar. Di dalam perut ibu, bayi itu tidur nyenyak. Kadang-kadang ada bayi kena tepuk empat atau lima kali, kerana mereka ingat mereka masih berada di dalam perut ibu. Kelakar kan!

Saya macam itu juga. Saya tidur dengan nyenyak. Bidan terpaksa menepuk saya tujuh kali. Mak kata saya akan membesar dengan nakal dan memang betul pun. Saya tipu rakan sekelas dan beritahu mereka yang bidan menepuk saya lima puluh sembilan kali!

“Ya Tuhan, punggung awak mesti merah dan bengkak!” Mereka memusingkan mata mereka.

Keesokan harinya mereka berlagak kepada saya dengan berkata bidan mereka menepuk mereka seratus kali! Ada yang kata dua ratus. Bayangkan punggung mereka. Si kecil Hang, yang kuat menangis, kata empat ratus. Kami ketawa. Kemudian Toan berlaku jujur. “Dua kali,” katanya. (Dia cakap dua ratus sebelum ini). Kemudian kawan yang lain turut mengaku cuma tiga atau empat kali, si kecil Hong pula terus sahaja menangis selepas dilahirkan. Tak perlu bidan bersusah payah untuk menepuknya.

Adakah awak pernah bertanya kepada ibu awak tentang perkara ini? Memang sangat menarik apabila mengetahui tentang diri sendiri semasa baru dilahirkan. Adakah awak membuka mata untuk menyambut ibu bapa awak? Berapakah berat awak? Berapa kali awak bangun malam hanya untuk menangis? Adakah awak ada rambut, dan apa warnanya?

Begitu banyak perkara yang awak ingin tahu tentang diri sendiri! Tapi saya mesti beritahu awak – awak mesti simpan semuanya sebagai rahsia. Ingat – apabila awak menyimpan rahsia tentang diri sendiri, atau orang lain, awak tidak akan lupa tentangnya sama sekali. Apabila awak beritahu rahsia itu, awak akan lupa. Saya pasti. Dan awak patut membesar-besarkan cerita tentang jumlah tepukan bidan, sebab ayah kata tidak akan ada peluang kedua untuk ditepuk bidan. Hanya sekali seumur hidup, itulah tangisan yang paling indah.

Ayah sentiasa ingat hari pertama saya menangis, iaitu hari saya lahir ke dunia. Mak memanggil ayah, “Sayang! Bayi kita nak keluar!” Ayah cepat-cepat mengangkat dan meletakkan Mak ke dalam kereta lembu yang separuh dipenuhi jerami. Malangnya, lembu tidak ada untuk menariknya kerana Ayah meminta Pakcik membawa lembunya ke padang ragut. Jadi Ayah menarik kereta lembu itu ke bandar sendirian. Ayah kata, “Nangislah sayang! Tak apa!” Tapi Mak tetap tidak menangis. Ayah kata Mak wanita paling tabah di dunia!

Apabila saya beritahu kawan-kawan, mereka juga kata ibu mereka tidak menangis. Jangan fikir mereka penipu, mereka hanya menyimpan rahsia. Dan rahsia berikan sesuatu untuk kita ingat selamanya.

Kemudian ia berlaku apabila bidan menepuk saya tujuh kali. Dan Ayah amat gembira. “Oh, anak lelaki. Dan dia akan jadi budak lelaki yang luar biasa! Sayangnya dia!” Dia kemudian memberhentikan tangisan saya dengan ciumannya. Dia tidak malu dengan debu dan peluh di seluruh tubuhnya semasa dia menundukkan mukanya ke muka saya. Dia kata itulah saat yang dia rasakan saya paling comel! Dia asyik memikirkan saya semasa dia bekerja di ladang beberapa hari sebelum saya dilahirkan. Dia ingat saya akan memiliki wajah yang bujur. Mulut saya besar dan tangan saya berotot. Ayah telah menyimpan seekor lembu khas untuk saya jaga apabila saya sudah besar.

Namun, tangan saya rupa-rupanya sangat, sangat kecil dan kulit saya halus seperti kertas. Ayah letak tangan saya ke atas tangannya dan biarkan ia di situ. Dia kata dia tak pernah bayangkan tangan sehalus itu akan menyentuh tangannya.

Begitulah kecilnya saya, Ayah ingat saya akan jadi orang kerdil. Dalam dunia orang kerdil, awak tak patut terburu-buru. Sepatutnya, sekejap sahaja awak berjalan dari rumah ke sekolah. Dalam dunia orang kerdil, mereka akan mengambil masa sepanjang tahun! Mereka tak boleh terburu-buru. Ayah pun tak boleh terburu-buru, kerana saya ada di depan ayah. Dia akan lebih berhati-hati jika dia ingin mengangkat saya. Dia kemudian mengaku, lebih senang membajak ladang daripada memegang  bayi. Awak boleh membajak ladang berkali-kali, tetapi tidak untuk bayi. Bayi tak mampu bercakap walaupun sekadar, “Aduh, semut gigit punggung saya! Sakit!”

Dan begitulah saya lahir ke dunia. Ayah bangga mendengar tangisan saya yang pertama. Pada waktu malam, ayah terpaksa berjalan perlahan-lahan, kasihan dia. Ayah seorang yang kuat, lelaki yang berbadan tegap seperti beruang, dan dia selalu berbuat bising apabila dia menyentuh sesuatu. Memang susah bagi dirinya untuk berjalan dengan senyap seperti kucing. Namun, lama-kelamaan dia sudah biasa, semata-mata kerana saya. Dia kata seorang bayi yang sedang tidur lebih cantik daripada sebuah ladang. Jadi, bila malam dia akan berjaga dan lihat saya tidur. Saya lah padangnya.

Ayah menyesal kerana dia tidak tahu berapa kali bidan menepuk punggungnya, atau adakah dia menangis atau tidak. Datuk dan nenek saya meninggal dunia awal, semasa Ayah masih kecil, jadi tiada sesiapa yang tinggal untuk memberitahu ayah. Ahli keluarga terdekat biasanya menyimpan cerita masa lalu awak. Mereka adalah penyimpan rahsia awak.

Pada hari saya dilahirkan, bidan bertanya kepada Ayah, “Apa saya nak panggil bayi lelaki yang diberkati ini?”

Bayi lelaki yang diberkati bermaksud bayi yang dilahirkan sempurna dan cantik. Bidan tua itu mahu saya hidup dengan gembira.

Ayah bangun.

“Alamak, saya lupa! Saya terlalu sibuk fikirkan tentangnya, saya lupa nak beri nama.”

Menurut Ayah, nama sangat penting. Ia mestilah nama dengan bunyi yang indah apabila orang menyebutnya setiap kali mereka bertemu dengan bayinya sepanjang hidup. Nama adalah perkara pertama yang membezakan seorang bayi dengan bayi yang lain. Mesti ada seseorang di sebalik nama. Tiada yang lebih menggembirakan daripada memanggil nama orang yang dekat dan kita sayangi. Mak panggilan yang popular untuk ibu.

Apabila seorang wanita dipanggil Mak, awak tahu dia melakukan semua perkara dengan penuh kasih sayang sepertimana yang Mak awak lakukan. Mak adalah nama yang sangat cantik di dalam dunia dan sedap didengar. Seorang yang bernama Cuong tidak akan sekali-kali menjadi budak perempuan. Seorang yang bernama Loan tidak akan sekali-kali menjadi budak lelaki. Apabila awak membesar, nama awak akan tetap kekal. Jadi awak simpan nama ini sebagai hadiah daripada Mak dan Ayah. Sudah tentu hadiah ini dipenuhi dengan kasih sayang mereka.

Ayah berkata kepada bidan, “Saya hendak berikan nama seorang hero kepada bayi ini.”

“Jika begitu, kita panggil dia Cuong.”

“Tapi saya mahu dia jadi orang yang bijak juga.”

“Jika begitu, namanya Tri Cuong.”

“Saya juga mahu dia menghormati ibu bapanya.”

Akhirnya, nama saya dipilih. Nama yang sangat panjang tapi saya akan sentiasa ingat nama ini.

Ayah kata, “Tiada yang lebih indah daripada nama kita sendiri. Setiap nama hadir dengan rasa cinta yang melimpah-ruah.”

Apakah nama awak? Adakah awak pernah bertanya ibu bapa awak bagaimana awak mendapat nama itu? Saya pasti awak akan mendengar kisah yang panjang tentang nama awak. Dan ia akan menjadi rahsia awak. Rahsia yang hanya awak dan ibu bapa awak tahu. Dan barulah awak tahu kenapa nama seseorang menjadi bunyi yang paling indah berbanding bunyi-bunyi yang lain.

Isnin, 13 Ogos 2012

Wasiat Luqman Al-Hakim

24 Ramadhan 1433H

 
Surah Luqman: 13-19

بسم الله الرحمن الرحيم

13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pengajaran kepadanya, "Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."

14.  Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menceraikan susunya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.

15. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

16. (Lukman berkata), "Wahai anakku! Sungguh jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Mahahalus, Maha Teliti.

17. Wahai anakku! Laksanakanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang makruf dan cegahlah (mereka) dari yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting.

18. Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.

19. Dan sederhanakanlah dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

p/s: berazam untuk baca buku di atas selepas ini. Ya Allah permudahkan hamba-Mu.

Rahsia Suri Rumah Bekerjaya! Klik Disini!

Sabtu, 5 Mei 2012

Pesta Buku Antarabangsa KL 2012

Tinggal dua hari untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bermula pada minggu lepas. Sepanjang malam hati berdebar-debar adakah peluang untuk singgah ke PBAKL selepas perjumpaan dengan klien di Ampang.

Syukur. Bila kita berniat sesuatu yang baik dan bermanfaat, maka Allah permudahkan urusan kita. Perjumpaan hanya mengambil masa selama sejam dan saya selamat sampai dengan memandu ke PWTC lebih kurang jam 12. Memilih untuk 'parking' di Sunway Putra Hotel, bersebelahan The Mall. Mudah sangat dapat 'parking', tidak perlu menunggu dan berpusing-pusing mencari 'spot'.

Sempat juga bertemu dengan anak saudara yang datang bersama rakan sejak pagi, kami makan di Kenny Rogers. Selepas makan, barulah saya memulakan jelajah PBAKL 2012.

Rasa teruja. Memang ramai yang mengunjungi PBAKL. Namun, saya telah menetapkan beberapa booth sahaja untuk mencari buku menarik. Walaupun memang banyak buku-buku baru dan lama yang mengujakan hati, tapi saya tidak dapat melawat kesemuanya. Saya mesti sampai di Shah Alam sebelum jam 5 petang untuk perjumpaan lain pula.

Apa yang saya beli di PBAKL?
- Perempuan Nan Bercinta, Faisal Tehrani di ITNM
- Dihamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu, Hasrizal Abdul Jamil di Galeri Ilmu
- Wanita-wanita mulia di sekitar Nabi, Abu Salsabil Muhammad Abdul Hadi di Al-hidayah
- Jagalah Allah, Allah menjagamu, Dr 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni di Al-hidayah

Saya melunaskan pesan kakak untuk melanggan Anis dan Asuh, tetapi terlepas peluang melanggan Solusi kerana tersilap perkiraan.

Sempat juga ke booth As-Sohwah, Prof Muhaya, PTS dan Telaga Biru.

Seolah berada di pasar buku. Ada pengunjung yang bertanyakan novel 'hot-selling', Cinta high class oleh Fatimah Syarha dan Farhan Hadi yang habis dijual menjelang tengahari dan stok baru hanya akan tiba jam 5 petang. Banyak buku-buku hebat. Booth Kedai Pink Ain Maisarah paling menonjol. Booth Gempak Starz menjadi kemestian remaja dan sanggup menunggu lama untuk mendapatkan komik kegemaran dengan sistem panggilan nombor giliran.

Setelah mengunjungi PBAKL setiap tahun, banyak perubahan berlaku dalam industri buku Malaysia. Semoga buku-buku yang diterbitkan memandaikan bangsa. Saya juga berangan-angan buku saya akan dijual di PBAKL tahun depan. Doakan saya berjaya menghasilkan buku yang bermanfaat. Insya Allah.

Pulang setelah Solat Zohor di Surau Hotel. Agak terkilan surau diletakkan di bahagian tempat letak kereta. Tetapi saya memuji kerana dibuat dengan baik walaupun agak kecil dilengkapi penghawa dingin. Banyak bangunan komersial yang mengenepikan ruang solat dalam erti kata meletakkan ruang solat di tempat yang paling tidak mendatangkan keuntungan iaitu di tempat letak kereta.

Bolehkah jurutera atau arkitek meletakkan keutamaan untuk surau di bangunan komersial sama keutamaan dengan menyediakan bilik air berkonsep mewah? Itulah pentingnya profesional Muslim dalam organisasi supaya keutamaan ini diberi perhatian. Insya Allah. Ataupun, pengeluar lesen (badan kerajaan) meletakkan syarat dalam peringkat penyediaan pelan bangunan supaya syarikat komersial mengambilkira tempat ibadah orang Islam.

Seronok melihat buku-buku di PBAKL. Walaupun hati teringin sangat pergi lagi, tapi esok saya sudah ada perancangan lain.

Sehingga bertemu lagi tahun hadapan. Insya Allah.


Rahsia Suri Rumah Bekerjaya! Klik Disini!

Rabu, 21 Mac 2012

The Complete Idiot's Guide to Islam


I found this book in Times bookstore in Plaza Damas. The writer is Yahiya Emerick. Even the idiots can learn about Islam. How beautiful is it? Alhamdulilah, I am a Muslim. Maybe I'll buy this next time (resist the temptation to buy since I still have a lot of books left unread ... sigh).

Rahsia Suri Rumah Bekerjaya! Klik Disini!

Isnin, 12 Disember 2011

Al-Amin oleh A.Samad Said



Pada mulanya berbolak-balik hendak pergi ke MPH Carnival di Midvalley atau ke SOGO. Tujuan utama hendak melihat-lihat pakaian musim sejuk sebagai persediaan untuk percutian tahun hadapan kerana pelbagai tawaran diskaun diberikan oleh pusat membeli-belah di bulan Disember ini.

Akhirnya akur dengan gerak hati yang ingin mengunjungi MPH Carnival 2011 yang berakhir hari ini. (Pesta buku ini bermula 8 Disember 2011 dan berakhir 12 Disember 2011). Hari ini adalah cuti umum di Selangor, dan aku mengambil kesempatan keluar seawal 930pagi. Pun begitu apabila sampai jam 10pagi di Midvalley, tempat letak kereta hampir penuh. Ramai yang sedang bersarapan di Midvalley.

Aku terus menuju ke tingkat 3 ruang pameran MPH Carnival. Pelbagai penerbit kebanyakannya penerbit tempatan mengambil peluang membuat jualan akhir tahun dengan potongan serendah 25% mengikut jenis buku. Mungkin kerana hari terakhir, tidak banyak buku yang tinggal.

Lebih kurang jam 11 pg pihak penganjur membuat pengumuman Sasterawan Negara A.Samad Said akan hadir untuk melancarkan buku baru tulisan Tuan Hj Subki Abd Latif, Anak Apak yang diterbitkan Kemilau Publications. Pada masa itu aku sedang membayar belian dua buah buku A.Samad Said iaitu Di Simpang Jalan dan Cinta Fansuri. Hari melonjak hendak membeli buku puisi Al-Amin, Riwayat terindah kekasih Allah tulisan beliau juga.

"Kita tidak mampu merasai semua peristiwa dalam hidup. Dengan membaca tulisan pengalaman orang lain supaya kita dapat belajar daripada kebijaksanaannya dalam pengalaman hidupnya." Antara kata-kata beliau yang mengesankan semasa memberi ucapan. Dato' A.Samad Said juga sempat membacakan sebuah sajak beliau Kita ini Tetamu Senja kepada khalayak.

Walaupun ucapan beliau ringkas tetapi sungguh bermakna untuk direnung dan difahami maksudnya. Oh ya, ahli politik Mat Sabu dan Prof Abdullah Hassan juga ada di situ. Tiada pula ahli politik UMNO atau BN ye ... mungkin mereka sibuk menguruskan pentadbiran negara.

Aku sempat pergi semula ke 'booth' PTS untuk mendapatkan buku Al-Amin dan akhirnya buku itu ditandatangani oleh Pak Samad sementelah tamat sesi pelancaran buku. Semoga bermanfaat dan aku dapat membaca karya beliau sebuah puisi terpanjang yang pernah beliau hasilkan.

Buku yang akan memenuhkan rak saya:
1) Al-Amin, Riwayat Terindah Kekasih Allah oleh A.Samad Said
2) Di Simpang Jalan oleh A.Samad Said
3) Cinta Fansuri oleh A.Samad Said
4) Formula Menjadi Usahawan Berjaya oleh Wan Mohd Nazif dan Fazilah Ibrahim (Percuma)
5) Buat Duit Dari Rumah oleh Mohd Rozani Pawan Chek
6) Pocket Korean Dictionary oleh Periplus (MPH Bookstore)

Ahad, 16 Oktober 2011

The Marriage Bureau for Rich People



Who is Farahad Zama? What's this title all about? Catchy rite .. I bought this novel in Big Bad Wolf Sales which I really grateful I went there, eventhough the venue is quite far. But it is actually convenient due to the expected crowd to this biggest book sale ever.

The author is an Indian and this is his debut novel. To tell the truth, I did not notice that the author is a male Muslim. I just thought, this might worth my reading. Skimming through the pages, I really glad I pick up this book. Witty, simple yet give the readers overview on arranged marriage that have been practiced in Indian community. He also includes wisdom and values of Islam in this novel. Not only that, he actually highlights some of the most important thing in running a business! 

As if I am reading novel cum business book.. will write overall review later when I am done reading :)





Rabu, 12 Oktober 2011

Big Bad Wolf Sales 7-16 Oct 2011

Books win over others on my wish list. It's a sale like no other for book lovers. Big Bad Wolf Sales in town. Located in MAEPS, Mardi. The sale still on.






These titles are mine :) I have novels, self-help and cook-book. I bought one for my best friend too.



I can sleep well tonight and smile. I love this feeling.

Isnin, 18 Julai 2011

Tip menjadi Penulis Bestseller, Zamri Mohamad

Sumbar gambar kulit buku: PTS Portal
Buku kedua yang saya miliki dalam siri Daripada Pembaca Menjadi Penulis. Ia mula diterbitkan pada tahun 2009. Kulit buku yang menarik dalam siri ini. Buku ini kelangsungan daripada Bengkel Penulis Super yang saya sertai bulan Mac lalu. Bengkel Penulis Super yang dianjurkan oleh Akademi Penulis memberi pendedahan secara terperinci dan seterusnya boleh memulakan projek buku pertama saya.

Buku ini memberi panduan dan teknik menulis buku yang mesra pembaca dan berpotensi untuk menjadi buku bestseller. Beliau juga menerangkan tentang kepentingan meletakkan matlamat mengapa ingin menjadi penulis. Beberapa fakta menarik dikongsikan menjadi motivasi kepada penulis baru.

Saya memang bercita-cita menghasilkan buku. Ini adalah salah satu impian saya. Buku ini dapat dijadikan rujukan kepada projek buku pertama saya selain Bengkel Penulis Super yang praktikal.

Siri Daripada Pembaca Menjadi Penulis

1. Tip Menjadi Penulis Bestseller, Zamri Mohamad.
2. Cari duit cara Mudah sebagai Penulis Bebas, Zamri Mohamad.
3. Panduan Menulis Novel Teknik Surah Yusuf, Ainon Mohd.
4. Pemasaran Gerila untuk Penulis, Jay Conrad Levinson, Rick Frishman, Michael Larsen, David L.Hancock.
5. Menjadi Penulis Hebat: Langkah Demi Langkah, Bobbi DePorter.
6. Panduan Menulis Cerpen, Jasni Matlani.
7. Buat Duit dengan Menulis, Jeniri Amir.

Semua buku diterbitkan oleh PTS Publications. Sila rujuk sini. Insya Allah, buku ketiga dalam siri ini yang ingin saya miliki ialah Panduan Menulis Novel Teknik Surah Yusuf. Saya telah membaca beberapa bab pertama semasa kunjungan ke Kinokuniya bulan lepas. Walaupun tiada bakat menulis novel, panduan tentang Surah Yusuf amat mengagumkan.

Ahad, 17 Julai 2011

Cari duit mudah sebagai Penulis Bebas, Zamri Mohamad

Gambar kulit buku sumber PTS Portal.

Pertama kali membaca buku karya Tuan Zamri Mohamad. Saya bertemu beliau semasa Mega Seminar Penulisan pada bulan Februari yang lalu. Kemudian saya menyertai Bengkel Penulis Super dan beliau adalah trainer untuk salah satu modul bengkel.

Dalam buku ini beliau berkongsi teknik penulisan artikel dan rencana khususnya di akhbar, majalah dan media massa. Ia ditulis berdasarkan pengalaman beliau sendiri dan boleh diikuti oleh penulis baru. Perkara yang saya pelajari daripada buku ini ialah:

1) Sentiasa berfikiran terbuka
2) Banyakkan membaca tentang isu-isu yang menarik perhatian masyarakat
3) Buat kajian tentang tajuk atau sesuatu topik yang hendak diulas
4) Jangan putus asa dan terus menulis, walaupun pada permulaan belum diterima anggaplah ia sebagai latihan

Ahad, 10 Julai 2011

Sebongkah Batu di Kuala Berang

Gusti Allah kulu nyuwun ngapura. Gusti Allah kulu nyuwun ngapura.Sakathahing dosa kula, dosa alit kalawan, dosa ageng. mBoten wonten ingkang saget ngapura. mBoten wonten ingkang saget ngapura. Sakabehing dosa kula. Kajawi namung paduka.
Yang bermakna:
O Ya Allah hamba mohon ampun
Seluruh dosa-dosa saya, dosa yang kecil dan yang besar
Tidak ada yang dapat mengampuni
Tidak ada yang dapat mengampuni
Seluruh dosa-dosa saya
Kecuali hanya Allah.

Sebuah petikan daripada novel terbaru Faisal Tehrani. Aku memang suka baca novel karya beliau. Sejak beliau menulis cerpen lagi, aku mengikuti nukilan yang tidak mengecewakan. SBKB antara karya yang pendek tetapi membawa wacana yang besar. Mengajak kita mendalami budaya dan kehadiran Islam ke Tanah Melayu / Nusantara.

Seolah membaca tesis sarjana, fakta dijalin dengan plot drama sindiran kepada industri hiburan. Disamping beliau membawa cita-cita memandaikan bangsa melalui budaya sebagaimana ulama/pendakwah terdahulu menyebarkan dan mengembangkan Islam di Nusantara.

Karya seorang pemikir boleh didapati di Ujanailmu atau Bookcafe.

Jumaat, 22 Mei 2009

Falsafah Melayu & makanan

"Fasal inilah, ertinya Melayu itu umpama pucuk kayu, yakni melayukan dirinya umpama pucuk kayu, bukan kerana ia layu akibat panas atau kena api, tetapi melayukan diri itu kerana ia merendahkan diri tidak mahu membesarkan diri. Tingkah lakunya terjaga. Lemah lembut tidak berlebih-lebihan. Tidak pula kurang-kurang. Tidak mamang.

".... Melayu itu sederhana. Melayu itu majlis orangnya. Adapun maksud majlis ialah tidak mengada-ngada.

".... Majlis itu tidak mengada-ngada.Sentiasa ia menjaga budi, pandai menyimpan diri. Itu sebabnya kira dinamakan Melayu. Nah, makanan Melayu itu tidak seperti makanan nyonya, tidak seperti makanan orang mamak, tidak seperti makanan Arab, tidak pula kurang tak berasa. Mesti majlis sahaja.

"... makanan Melayu itu jangan lupa menyubur hati, menyubur jantung, akhir sekali menyubur otak kerana makanan itu mesti baik untuk jasmani lagi rohani. Ada hadis diriwayatkan Bukhari berbunyi begini 'Di dalam tubuh badan ada seketul daging yang apabila baik daging itu maka baiklah seluruh tubuh badan dan daging itu adalah hati.

"Itulah tuan-tuan, kita tampilkan masakan atau makanan Melayu itu mestilah tak lepas dari empat rasa. Tak boleh tidak mesti masam, mesti manis, mesti pedas dan mesti lemak. Adalah masam itu lambang kurang. Andai manis itu lambang lebih. Jadi haruslah seimbang antara masam dan manis.

"Meski merendah diri Melayu itukan masih tegas, maka harus pedas, dan kerana Melayu itu banyak tolak ansurnya maka harus juga sentiasa lemak. Kalau terlebih lemak tidak boleh juga, tidak juga Melayu itu tersangat pedas, sangat masam apatah lagi, kalau terlalu manis memudaratkan diri."

........................

petikan dari Ketupat Cinta, Faisal Tehrani 2009