Pages - Menu

Memaparkan catatan dengan label Mukmin Professional. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mukmin Professional. Papar semua catatan

Isnin, 28 November 2011

Tujuan Hidup (2 Muharram)

"jalan sama atau tidak dengan jalan-jalan?"
"makan sama atau tidak dengan makan-makan?"
"hidup sama atau tidak dengan hidup-hidupan?"

Alhamdulilah dapat bercuti di kampung sempena Maal Hijrah. Petang tadi kembali semula ke Shah Alam. Hujan lebat daripada Johor Bahru. Reda sebentar di pertengahan jalan, tapi hujan berterusan dan cuaca sejuk terasa hingga sampai ke rumah. Hujan adalah rezeki Allah, bumi tidak kering lagi.

Trafik perlahan bermula dari Senawang. Dan seperti biasa aku menunggu segmen Mukmin Profesional di Radio IKIM bersama Ustaz Pahrol setiap hari Isnin, 515 petang. Hari ini beliau membincangkan tajuk Tujuan Hidup. Beliau mengajak pendengar berfikir sejenak dengan penyataan di atas.

"jalan tidak sama dengan jalan-jalan kerana jalan ada tujuan ada destinasi"
"makan tidak sama dengan makan-makan kerana makan tujuannya untuk menghilangkan lapar"
dan "kita ini hidup bukan hidup-hidupan seperti lalang, maka hidup kita perlu ada tujuan kerana kita bukan hidup-hidupan"

Beberapa perkara yang dikongsikan beliau:
1) Cara hidup lebih penting dari cara mati.
2) Istiqamah itu berterusan dan meningkat bukan mendatar sahaja tiada peningkatan. Kalau tiada peningkatan maka akan ketinggalan jua.
3) Buatlah perubahan kepada kebaikan langkah demi langkah, jangan gopoh kerana syaitan itu sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan manusia.
4) Misi Rasulullah s.a.w diutuskan; membebaskan manusia daripada perhambaan manusia dan kembali menghambakan diri kepada Allah, membebaskan manusia daripada kesempitan di dunia untuk mencapai kelapangan di akhirat dan membebaskan manusia daripada sistem manusia untuk kembali kepada Syariat penciptanya.
5) Hijrah itu kadangkala memerlukan Hijrah fizikal (Hijrah makani) terlebih dahulu supaya menyokong Hijrah dalaman itu

Semoga kita terus berhijrah ke arah kebaikan dan redha Allah. Amin.

Isnin, 11 Julai 2011

Saidina Ali r.a dan orang Yahudi

Segmen Mukmin Profesional bersambung lagi minggu ini di IKIM fm tentang Rasulullah s.a.w sebagai 'role model' mukmin profesional. Ustaz Pahrol menceritakan kisah Saidina Ali r.a dan bagaimana beliau menguruskan amarah secara profesional. Ikuti siri sebelumnya di sini.

Dalam satu peperangan, Saidina Ali r.a sedang bertarung dengan orang Yahudi. Sampai satu ketika beliau berjaya menundukkan seorang Yahudi dan menghunuskan pedang kepada musuh itu. Tidak semena-mena orang Yahudi itu meludah kepadanya dan beliau tidak jadi membunuh Yahudi itu.

Apabila ditanyakan oleh Yahudi itu, 'Kenapa engkau tidak membunuhku?' Jawab Saidina Ali r.a 'Aku tidak membunuh kamu kerana aku sedang marah engkau meludah kepadaku.' Ini menunjukkan sikap Saidina Ali r.a yang profesional. Tujuan perang adalah kerana marah kepada musuh Allah. Tetapi apabila sifat marah itu telah berlandaskan peribadi, beliau dapat menundukkan nafsu dan bersikap profesional.

Menguruskan marah dengan baik adalah sikap mukmin profesional.
Apabila kita marah, hendaklah berhenti seketika dan berfikir sebelum bertindak apa-apa. Ini akan mengelakkan kemarahan yang tidak berasas. Tidak salah bersifat marah. Perlulah ada sebab yang munasabah dan carilah penyelesaian untuk masalah yang dihadapi secara positif.

Nabi Ibrahim a.s & Burung

Usaha lebih penting daripada hasilnya.
Aku mengikuti segmen Mukmin Profesional oleh Ustaz Pahrol. Bercerita tentang gagasan Mukmin Profesional, beliau mengakui usaha ini tidak mudah tetapi ia harus digerakkan untuk melahirkan individu Muslim yang mengamalkan budaya Islam sebenar. Beliau berkongsi kisah Nabi Ibrahim a.s dan burung.

Sewaktu Nabi Ibrahim a.s dibakar dalam unggunan api yang besar, seekor burung kecil terbang dan mengambil air dengan paruhnya. Burung itu mencurah air yang dibawa untuk memadamkan api yang besar itu. Burung-burung lain mentertawakan burung kecil itu dan berkata apakah engkau dapat memadamkan api yang besar ini.

Burung kecil menjawab Allah tidak akan bertanya apakah dengan usaha ini akan memadamkan api atau tidak tetapi Allah pasti akan bertanya apa yang aku buat untuk memadamkan api itu.

Kisah ini memberi pengajaran berikut:
1) Allah menilai usaha yang kecil dan niat yang betul
2) Usaha yang kecil tapi konsisten dan berperingkat akan memberikan hasilnya
3) Hanya Allah yang menentukan takdir tapi kita haruslah berusaha terlebih dahulu

Ahad, 10 Julai 2011

Nabi Musa a.s & Dua Orang Gadis

Sebuah kisah tentang Nabi Musa a.s dan dua orang gadis dikongsikan oleh Ustaz Pahrol dalam segmen Mukmin Profesional di IKIM fm. Kisah ini disebutkan dalam Al-Quran yang mana ayat 76 Surah Al-Qasas menjadi asas Mukmin Profesional.
Dan salah seorang dari kedua (perempuan) itu berkata: Wahai ayahku! Jadikanlah dia sebagai pekerja (pada kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja (pada kita) ialah orang yang kuat dan dapat dipercayai. Surah Al-Qasas: 26.
Pada suatu hari Nabi Musa a.s berjalan di padang pasir dan bertemu dengan dua orang anak gadis iaitu Ria dan Safura. Mereka adalah pengembala kambing dan merupakan anak-anak kepada Nabi Shuib a.s. Dalam keadaan letih, mereka menunggu untuk mengambil air daripada telaga yang ditutup. Penutup air sangat berat dan mereka tidak mampu mengangkatnya. Lalu Nabi Musa a.s membantu mengangkat penutup air tersebut.

Kedua-dua puteri Nabi Shuib a.s pulang dan menceritakan kekuatan Nabi Musa a.s dan bantuan yang diberikan beliau. Nabi Shuib mengarahkan anak gadisnya menjemput Nabi Musa a.s untuk datang ke rumah.

Semasa perjalanan tersebut, Nabi Musa a.s berjalan dihadapan mereka kerana hendak menjaga pandangannya walaupun tidak tahu arah ke rumah Nabi Shuib a.s. Mereka menunjukkan arah dengan mencampakkan batu atau kayu ke kiri atau ke kanan sebagai petunjuk. Ini menunjukkan sifat amanah Nabi Musa a.s.

Inilah dua sifat yang disebutkan dalam ayat tersebut iaitu Al-Qawi (yang kuat) dan Al-Amin (yang dipercayai) menjadi contoh mukmin profesional.

Menurut Ustaz Pahrol, dalam konteks masa kini kekuatan boleh juga dimaksudkan dengan pengetahuan dan kemahiran di samping kekuatan fizikal. Semoga kita berusaha menjadi seorang mukmin yang profesional.