Selepas mendarat di Incheon, singgah ke Pulau Nami, bermain Ski di Yong Pyong dan bergembira di Everland, hari keempat kami singgah di Seoul pula. Kami dibawa melawat beberapa tempat menarik. Tempat pertama ialah Presidential Blue House seumpama kediaman Perdana Menteri di Putrajaya atau White House di US. Antara yang menarik perhatian saya ialah pegawai keselamatan yang ditempatkan di pondok khas. Terlintas di hati saya, begini susahnya pekerjaan dia tetapi sangat penting berbanding dengan tugasan harian saya.
Kemudian kami dibawa ke Geongbok Palace, sebuah kawasan istana yang dipelihara dan merupakan salah satu tarikan pelancong. Sungguh indah senibina istana dan Julie menceritakan sedikit sebanyak sejarah bangsawan Korea. Kehidupan bangsawan bukanlah seindah yang digambarkan. Semua aktiviti rutin ataupun rasmi maharaja dibantu oleh pembantu khas. Setiausaha diraja atau penulis diraja akan mencatatkan semua percakapan maharaja sebagai rujukan.
Banyak gambar yang menarik disini. Kami melalui 'King Road', laluan khas raja menuju ke astana.
![]() |
| Pic by Azlean |
| Ginseng yang disimpan di sebuah Restoran Sup Ginseng. |
Makan tengahari kali ini juga berkonsepkan ginseng. Restoran ini menyediakan sup ayam ginseng. Pada mulanya kami ragu-ragu tetapi Julie memaklumkan pihak restoran memesan ayam Halal untuk kami. Restoran ini penuh dan semua pelanggan nampaknya menikmati hidangan ini. Seekor ayam kecil disumbat dengan nasi dan direneh dalam sup ginseng dihidang dalam 'claypot'. Sungguh istimewa. Rasa ginseng tidak begitu ketara tapi saya terkejut kerana akar ginseng yang dimasak terasa lemak manisnya.
Selesai makan, masa untuk membeli belah. Korea Selatan terkenal dengan produk kosmetik dan masa inilah wanita tidak melepaskan peluang memilih produk yang sesuai. Akhirnya saya membeli BB Cream dan Peeling Gel dengan harga KRW50,000. 'Face mask' dijual dengan harga promosi KRW1,000 sepeket.
Aktiviti membeli-belah bersambung di Myongdong District. Myongdong District dipenuhi dengan deretan kedai pelbagai jenama terutamanya kosmetik seperti Skin Food, Natural Republic, Face Shop, Etude dan macam-macam lagi. Selain itu, pelbagai barangan menarik dijual seperti pakaian musim sejuk, kasut, beg dan cenderahati. Rekaan pakaian musim sejuk di sini sangat menarik. Dalam hati agak ralat terkenang susahnya mencari 'sweater' yang cantik di Kuala Lumpur.
| Moden dan pelbagai. |
| Kepingan gula hangus. |

tq. saya akan menghubungi tuan sekiranya hendak membeli domain
BalasPadam