Pages - Menu

Selasa, 12 Julai 2016

Apa yang saya lihat selama 6 jam di klinik kesihatan

Saya percaya klinik kesihatan dan hospital antara tempat yang paling sibuk selepas cuti panjang.
Enam jam kami berada di Klinik untuk semua urusan berjumpa doktor, ujian darah dan ECG.

Biasanya Mak tak perlu buat ujian darah. Tapi bacaan tekanan darah rendah selama dua minggu.
Doktor minta buat ujian. Alhamdulilah. Semuanya normal dan doktor hentikan ubat tekanan darah tinggi.

Sebenarnya semua urusan berjumpa doktor dan buat ujian kurang dari setengah jam. Selebihnya menunggu. Kami sampai jam 8.15 pagi. Tempat duduk di hadapan kaunter nombor sudah penuh. Ada pengunjung yang berdiri di dinding. Ada lebih 10 orang ibu mengandung dan ibu yang baru bersalin.

Sepatutnya temu janji Mak pada hari Ahad. Namun, Menteri Besar 'berbesar hati' beri cuti istimewa. Jadi kami redah sahaja walaupun belum buat temu janji yang baharu.

Seorang wanita berusia dalam linkungan 60-an kata, "Temu janji makcik esok. Tapi makcik datang hari ini sebab esok anak ada urusan lain."

Saya, adik dan Mak letih menunggu. Tapi saya lihat petugas kesihatan ligat melakukan kerja mereka. Bebanan tugas menjadi berkali ganda lebih banyak dengan kehadiran pesakit dan kakitangan yang masih bercuti.

"Sempat makan?"

Jururawat yang membuat ujian ECG menjawab, "Sempat minum air dan makan kuih masa sarapan. Lepas itu memang sibuk. Saya terpaksa cover bilik ini dan bilik sebelah."

Saya masuk bilik doktor. Ada tiga lagi pesakit yang menunggu. Dua orang doktor bertugas dalam bilik itu. Luas bilik itu mungkin kurang 10 kaki persegi. Kipas meja berpusing ligat di meja sisi doktor.

Sampai jam 1.30 petang, doktor masih terus memberi konsultansi kepada pesakit.
Apabila melihat semua ini, saya rasa macam tak patut merungut. Walaupun realitinya memang saya merungut. Pengunjung yang lain pun sama. Tapi masing-masing menahan sabar menunggu nombor giliran.

Apabila melihat orang sakit dan berusia, saya rasa nikmat sihat dan masa muda adalah nikmat yang besar. Nabi pun dah ingatkan.

Seorang wanita berusia turun dari kereta pacuan empat roda. Dia memegang tongkat di sebelah kanan.

"Tak payah," balas wanita ini tanpa memandang wajah saya.

Dia menolak apabila saya menawarkan kerusi roda yang Mak duduk. Kami sudah selesai dan ingin pulang. Salah saya juga menganggap dia tidak kuat berjalan. Kebanyakan orang tua tak suka menyusahkan orang muda. Macam Mak saya. Kalau boleh mereka ingin terus kuat atau menunjukkan mereka kuat.

Saya kadang-kadang biar Mak jalan sendiri. Walaupun saya tahu lebih baik dia berpaut pada lengan kami. Tapi saya tak mahu dia rasa dia lemah. Saya fikir dia lebih gembira jika tidak terlalu menyusahkan kami.

Ramai orang tua yang datang ke klinik sendiri selagi mereka mampu. Semasa dalam bilik doktor, seorang pesakit wanita dalam usia akhir 50-an ingin pulang cepat kerana nak ambil cucu balik dari sekolah.

Jika saya lihat anak yang mengiringi ibu atau bapa mereka yang sudah berusia hanya berjalan di sisi, saya boleh faham mengapa mereka berbuat demikian. Mungkin mereka ada sebab yang sama seperti saya.

Dalam siri Daddy & I, sebuah rancangan variety Korea bapa Sung Hoon berkata, "Saya tidak mahu anak saya melihat saya sakit. Saya tidak mahu menjadi beban kepada mereka."

Kebanyakan ibu bapa tidak mahu menjadi beban kepada anak-anak. Walau dalam keadaan apa pun.
Saya belum menjadi ibu. Tapi jika saya umur panjang, saya juga tidak mahu menjadi beban kepada sesiapa.

Jadi kenapa saya tulis entri yang panjang ini?
1. Saya kagum dengan petugas kesihatan. "Berkhidmat untuk negara". Itu kata salah seorang jururawat semalam.
2. Walaupun saya tidak suka menunggu, tapi itu hanyalah tekanan yang sedikit sahaja buat saya berbanding mereka yang bertungkus lumus bekerja semalam.
3. Banyak orang tua mahu tidak mahu dilihat lemah. Mereka sebolehnya berusaha untuk berjalan dan menguruskan diri sendiri.
4. Saya mesti berusaha untuk hidup sihat supaya tidak menyusahkan orang lain.
5. Saya mesti menghargai masa sihat dan masa muda.

Norsa'adah Ahmad
Yang tidak suka menunggu

p.s: Walaupun menunggu lama, saya dapat baca memoir Stephen King On Writing. Moral of the story: Bawa buku ke mana sahaja.

posting asal di Facebook.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan