Pages - Menu

Ahad, 13 Mac 2016

Citarasa Johor di Warong Rasa-rasa, Jalan Inche Besar Zubaidah


Afid mengidam Laksa Johor. Takkan la dah sampai Johor tak makan Laksa Johor.
Saya nak masak sendiri memang la tak sempat. Jadi, kami ke Warong Rasa-rasa Johor di Jalan Inche Besar Zubaidah. Saya pertama kali makan di sini. Jalan ini berhampiran Jalan Mahmoodiah. Landmark untuk ke tempat ini ialah Hospital Sultanah Aminah, kawasan perkuburan Mahmoodiah dan Petronas. 

Mudah sahaja kami sampai dengan bantuan Google Map.

Selain Laksa Johor, mereka turut menjual Lontong, Nasi Ambang dan beberapa menu lain.
Kami makan Laksa Johor dan Lontong Basah (kuah lodeh). Sedap. Patutla ramai yang recommend tempat ini. Ramai blogger buat entri tentang kedai ini.

Kami sampai hampir jam 11 pagi. Tak ramai pelanggan. Warong ini dibuka jam 730 pagi - 430 petang. Siapa lambat, mungkin kempunan nak makan Laksa Johor mereka. Cepat habis.



Semasa keluar dari warong, ada sekumpulan pelancong dari Jepun singgah ke premis sebelah.
Baru kami tahu premis ini ada buat batik. Kedainya tersorok ke dalam. Kakak yang beri penerangan dan demo melukis batik pandai berbahasa Jepun. Saya dapat ambil gambar sebelum orang kedai itu melarang kami.

Kita nak promosi percuma pun tak boleh. Saya sendiri tak tahu ada premis menghasilkan batik di JB.
Mungkin tempat ini memang popular dalam kalangan pelancong asing. Kebanyakan art & cultural centre melarang pengunjung mengambil gambar.

Sama juga ketika saya ke Hoi An Da Nang. Pusat menternak ulat sutera dan menghasilkan kraf sutera melarang kami mengambil gambar. Tak jadi kami masuk ke kedai Jabbir Jaya.


Selepas itu, kami ke Jalan Dhoby. Saya tunjukkan kedai roti benggali yang sudah berusia hampir 100 tahun. Papan tanda kedai masih kekal lama. Deretan kedai di Jalan Dhoby memang bangunan lama. Hanya beberapa kedai sudah diubahsuai gaya hispter dan moden.

Kemudian, kami ke Johor Premium Outlet di Kulai. Ramai juga yang datang. Maklumlah hari Ahad dan cuti sekolah. Saya memang jarang ke JPO. Jadi bila Afid ajak, saya ok je. Temankan orang dari jauh. Cuaca panas terik hari ini. Kami tak berlama-lama di JPO. Usai berjalan-jalan saya hantar Afid ke Airport. Terima kasih sudi datang dan bermalam di rumah dan jangan serik datang lagi ya Afid.
 


Legoland Malaysia Sesuai untuk Keluarga


Cuti sekolah dah bermula. Kami jangka ramai pengunjung di Legoland. Namun, biasa-biasa sahaja.
Kami tak perlu beratur panjang untuk masuk ke attractions di sini. Kami hanya masuk ke themepark. Hampir semua aktiviti kami buat kecuali rides untuk kanak-kanak. 

Legoland ada promosi sekarang sempena cuti sekolah bermula 9 Mac 2016. 30% diskaun untuk pembelian secara online. 

Kami tengok 4D movie dan akhir sekali pertunjukan Ninjago semunya bertemakan Lego. Nama pun Legoland. Secara peribadi, saya paling suka tengok model Lego di miniland. Bangunan terkenal di dunia seperti Tajmahal, Tembok Besar Cina ada dipamerkan di sini.



Jangan lepaskan peluang untuk naik ke Observation Tower untuk melihat taman tema dari menara. Boleh bergambar di dalam dek. Selan itu, kami naik roller coaster. Walaupun ia tidak tinggi seperti di USS, cukup buat saya menjerit sekuat hati.

Tidak perlu khuatir tentang tempat solat. Ada dua surau yang luas dan bersih. Ada beberapa restoran dan cafe di dalam taman tema. Namun, harga makanan lebih mahal daripada biasa. Sebiji muffin berharga RM7.

Memang anda tidak dibenarkan bawa makanan dari luar. Kami bawa juga air dan makanan ringan.
Pengawal buka beg semasa masuk. Tapi mereka tidak strict sangat. Sikit-sikit tu boleh la.

Cukup sehari untuk kita cuba semua permainan di sini (themepark sahaja). Tempat ini sesuai untuk bawa anak-anak. Parking tak penuh. RM10 sekali masuk. Mungkin baru mula cuti sekolah. Esoknya (Ahad) kawan saya pergi ke Legoland dan khabarnya parking memang penuh dan ramai pengunjung daripada Lembah Klang. 

Kalau Fiza tak datang JB, entah bila saya akan masuk Legoland. Selalunya orang yang dekat tak pergi. Orang dari jauh yang datang.





Selasa, 8 Mac 2016

Novel Bulan, Tere Liye


Saya habis membaca novel Bumi pada bulan Januari lalu. Dan sejak itu saya menantikan stok Bulan sampai ke Malaysia. Bumi penuh debaran dan aksi Raib, Seli dan Ali yang masuk ke dunia Bulan. Akhirnya kembali ke Bumi.

Bulan, sequel Bumi membawa saya ke dunia Matahari. Tiga sekawan dijemput Miss Selena dan Av untuk misi damai dengan Klan Matahari. Masih lagi dengan debaran. Namun, lebih kepada pengembaraan yang tidak dijangka oleh Raib, Seli dan Ali. 

Saya suka watak Ali dalam Bumi. Ali tidak berapa kuat dalam Bulan. Saya menantikan sequel seterusnya dalam Matahari. 

Tetap tidak mengecewakan. Saya terus ambil novel Hujan untuk dibaca selepas tamat Bulan. 

Novel Hujan, Tere Liye


Saya suka hujan. Seringkali buat saya teringat akan kenangan. Atau hanya buat saya tenang.
Macam Lail. Sangat sukakan hujan. Banyak peristiwa penting berlaku saat hujan membasahi bumi. Salah satunya pertemuan dengan Esok.
Novel Hujan novel masa hadapan. Manusia menghadapi ancaman. Krisis perubahan cuaca global. Kuasa, tamak dan mementingkan diri menjadikan manusia pemusnah kepada ekosistem dunia.
"Let us not take this planet for granted." Ucap Leonardo DiCaprio.
Malah Tere Liye menangkat tema 'climate change' dalam Hujan.
Tere Liye menyampaikan mesej penting dalam novel ini. Disulami kisah persahabatan dan cinta.
Cinta itu bisa jadi romantis cukup bila kau tahu kau dicintai dan mencintai.
Dua petikan yang paling saya suka dalam novel ini:
"Bukan melupakan yang jadi masalah. Tapi menerima. Barangsiapa yang bisa menerima, maka dia akan bisa melupakan. Tapi jika dia tidak bisa menerima, dia tidak akan pernah bisa melupakan."
dan;
"Kerana kenangan sama seperti hujan. Ketika dia datang, kita tidak akan bisa menghentikannya. Bagaimana kita akan menghentikan tetes air yang turun dari langit? Hanya bisa ditunggu hingga selesai dengan sendirinya."
Setakat ini saya sudah tamat baca tiga novel Tere Liye:
Bulan
Hujan

Ada lagi 5 judul menanti untuk dihadam.

Ahad, 6 Mac 2016

Novel Bumi, Tere Liye


Seringkali rakan berkongsi petikan daripada novel Tere Liye. Seorang penulis prolifik Indonesia yang sudah menghasilkan lebih 20 karya sejak bertahun-tahun lalu. Salah satu karyanya ialah Hafalan Shalat Delisa yang difilemkan. Novel dengan latar kejadian tsunami di Acheh mendapat respon yang sangat baik daripada penonton.

Saya tak pernah menonton filem ini atau membaca novelnya. Saya tertanya-tanya keistimewaan dan kelebihan karya Tere Liye.

Saya membeli novel Bumi di Kedai Projek Buku, Johor Bahru. Hanya tinggal satu naskhah. Jadi saya tak dapat memilih. Lagipun niat saya ingin cuba membaca karya Tere Liye.

Bumi adalah kisah tiga orang remaja bernama Raib, Seli dan Ali. Raib ada satu kelebihan iaitu dia boleh menghilang. 

Novel ini membawa saya mengikuti pengembaraan penuh debaran oleh tiga sahabat ini. Dalam dunia mereka wujud dunia paralel. Bumi menceritakan perjalanan mereka di dunia Bulan. 

Bahasa yang mudah difahami. Walaupun ada beberapa perkataan Indonesia yang saya tidak faham, tapi tidak mengganggu pembacaan saya. 

Bulan ini (Mac) saya dapat membeli tujuh lagi novel Tere Liye dengan judul:
  1. Bulan (sequel Bumi)
  2. Hujan (novel paling baru)
  3. Rembulan Tenggelam di Wajahmy
  4. Negeri Para Bedebah
  5. Negeri di Hujung Tanduk
  6. Pulang
  7. Rindu
Sebagai penulis, saya kagum dengan energi Tere Liye menulis begitu banyak novel sehingga kini dengan tema yang pelbagai. 

Adakah saya juga akan berhasil menulis sebuah novel pada masa hadapan?