Pages - Menu

Selasa, 16 Februari 2016

Travelog: Krabi - Pergi Naik Bas Balik Naik Tren


Dapat beli travelog baru Krabi, karya Normi di ‪#‎perkampunganpenulis2016‬.
Baca masa dalam tren. Konon-konon rasa juga lah macam mana penulis dan rakannya naik tren pulang ke KL.

Saya beli tiket for sleepers. Bagus juga. Saya baca buku ni sampai habis sebelum tidur. Kalau naik bas, memang selamat lah. Tak dapat membaca dalam gelap.

Tahniah Normi kerana menerbitkan travelog ini. Saya belum pernah ke Krabi. Jadi makin kuat la angan-angan tu nak ke sana.

Membaca travelog bukan tentang destinasi semata-mata. Namun, pembaca sama-sama ikut dalam kembara penulis.

Rasanya hampir 100 peratus saya tak akan mengalami perkara yang sama dilalui Normi.

Bukan itu sahaja.
Pemikiran, perasaan dan pemerhatian kita akan berbeza. Tidaklah 100 peratus berbeza langsung. Sebab ada pandangan penulis yang saya setuju.

Dan Masya Allah gambar yang beliau dan rakannya ambil cantik. Itulah keindahan bumi Tuhan.
Normi ada catatkan tips, apa patut buat, jangan buat dan elakkan buat.

Follow @sayabackpacker di IG dan blog sayabackpacker.com

Isnin, 8 Februari 2016

Sepuluh perkara menarik di Bangkok



1. Bandar besar dengan bangunan tinggi dan lebuhraya bertingkat. Sistem pengangkutan awam yang bagus. Papan tanda menunjukkan arah dan lokasi tempat-tempat menarik.

2. Buah-buahan tropika seperti mangga, jambu, nenas, tembikai dan betik banyak sekali dijual di tepi jalan dan pasar.

3. Dua jam tidak cukup untuk membeli belah atau sekadar melihat-lihat barang yang dijual di Chatuchak Market.

4. Banyak kedai Arab di kawasan Nana dan Asok. Tidak pasti adakah dimiliki orang Arab atau orang Thai. Yang pasti ia menunjukkan ramai orang Arab tinggal di Bangkok.

5. Transgender ada di mana-mana. Kita tahu itu memang bukan lagi asing di Thailand.

6. Ada kedai makanan halal di sekitar Bangkok. Di MBK Center pun ada.

7. Bangkok sesuai untuk kaki shopping.

8. Cuba makan pad thai dan som tam. Rasanya tidak terlalu asing bagi kita. Mereka banyak guna limau nipis dan sos ikan sebagai perasa.

9. Orang Thai tidak fasih bahasa Inggeris tapi ringan tulang membantu kita. Tidak ramai pekerja asing di sini. Pengawal keselamatan juga berbangsa Thai.

10. Banyak street food yang menarik dan nampak sedap. Tapi hati-hati sebelum membeli.

+ Pulut mangga desert wajib cuba sebab pulutnya rasa manis serasi dengan mangga yang sederhana masam atau manis.

Selesai catatan perjalanan di Bangkok.

Semua catatan Bangkok boleh dibaca dalam link berikut:

Angin musim dingin di Bangkok
Kanchanaburi bandar sejarah
Musim bunga matahari sudah berakhir di Lopburi
Berjalan lebih 10km di bandar Bangkok
Pengangkutan dan Buku


Bangkok - Pengangkutan dan Buku

Stesen Keretapi Hua Lamphong
Bangkok bandar membangun macam Singapore, Hong Kong dan Kuala Lumpur. Sibuknya boleh tahan. Tapi tak nampak pula trafik sesak sehingga kenderaan tidak bergerak. Sistem pengangkutan termasuk MRT, BTS dan keretapi dihubungkan dengan beberapa stesen interchange dalam bandar.

Dari MRT Silom ke BTS Sala Daeng dihubungkan dengan laluan pejalan kaki berbumbung di atas jalan utama. Ciri-ciri keselamatan diutamakan. Pejalan kaki boleh jalan di kaki lima atau naik tangga untuk melalui laluan pejalan kaki. Laluan yang sama dibina di beberapa stesen lagi.

Kami beli tiket di kaunter. Kami beratur tak lama walaupun lebih 50 orang sedang menunggu giliran. Cekap dan pantas. Ambil map percuma di mana-mana stesen untuk memudahkan perjalanan.

Tuktuk dan teksi banyak dalam kawasan bandar. Saya tak menaiki tuktuk. Tapi naik teksi ke Don Mueang Airport. Teksi meter bermula dengan 35baht (RM4.50). 13km dari Stesen Lat Phroa, 130baht.

Boleh juga naik motosikal kalau seorang. Pemandu motosikal memakai vest berwarna oren. Sesuai untuk jarak dekat. Tapi saya sendiri memang tak akan naik motosikal di bandar asing.

Pink is the new black in Bangkok.
Buku 

Di MBK Center ada sebuah kedai buku. Lebih 90 peratus buku bahasa Thailand. Ada buku terjemahan daripada bahasa Jepun, Korea dan Inggeris. Banyak juga buku ilustrasi.

Ada satu rak buku Danmroon Pinkoon. Penulis yang menerbitkan buku sendiri dan bestseller. Lebih 20 buku dengan ilustrasi dan carta, warna penuh. Saya beli satu.

Di Kinokuniya, Siam Paragon, buku Thailand di letakkan pada bahagian depan pintu masuk. Lebih 40 peratus bahagian kedai. Termasuk buku terjemahan. Ada satu rak buku Haruki Murakami gang sudah diterjemah ke bahasa Thai. Ada bahagian buku Inggeris dan Cina.

Satu rak Thai Literature di bahagian belakang. Saya beli sebuah buku yang ditulis dan diterbit sendiri penulisnya. Buku beliau sudah ditandatangan.

Selain Kinokuniya dan Niiin Books, ada beberapa buah kedai buku yang saya masuk. Antaranya Asia Books dan kedai buku kecil di Siam Center. Kedai buku kecil ini tidak menjual buku dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain.

Kita dapat lihat penguasaan bahasa tempatan bila masuk ke kedai buku. Berharap sampai masa nanti rak buku bahasa Melayu mendominasi Kinokuniya Malaysia.

Thai Literature di Kinokuniya, Siam Paragon.

Ahad, 7 Februari 2016

Bangkok hari keempat - Berjalan 10km di bandar

Di MBK Center, Bangkok. Berhampiran stesen National Stadium
Bangkok syurga membeli belah. Ada lebih 20 kompleks dalam bandar. Semuanya berhampiran stesen MRT dan BRT. Dari Hua Lamphong, kami menuju ke MBK Center di stesen National Stadium.

Laluan masuk ke Tokyu Deparment Store dibina sebagai salah satu exit. Ada 7 tingkat kedai dengan pelbagai kategori barang termasuk makanan, gajet, pakaian, tshirt, cenderamata, thai silk dan lain-lain. Harga berpatutan dan boleh tawar menawar. Sediakan duit sahaja.

Dari MBK kami berjalan kaki ke Siam Center dan Siam Paragon. Kompleks ini terletak berhampiran Siam Station. Siam Paragon pusat beli belah mewah. Kereta mewah seperti Rolls Royce, Masserati, Mclaren dan BMW ada dipamer dalam ruang khas bertutup. Kami dapat tengok dari luar sahaja.

Di sini juga kami solat. Ada surau di tingkat B1 yang selesa lengkap dengan tempat wuduk. Siapa yang hendak solat perlu daftar di bahagian luar surau. Mungkin untuk tujuan keselamatan.

Selesai di Paragon, kami menaiki BTS ke stesen Asok untuk ke Terminal21. Sekadar berjalan-jalan dan makan malam di Pier21 Food Court. Hanya satu gerai menjual makanan halal iaitu Bismillah.
Kemudian, kami beransur menaiki BTS ke Stesen Sala Daeng untuk pergi ke Pat Pong Night Market.

Pulut mangga, 35baht
Lepas makan di Pier21, kami naik BTS ke Sala Daeng. Nak melihat-lihat Patpong Night Market.
Jumaat lalu, memang meriah kawasan ni. Saya nampak dari seberang jalan semasa menunggu rakan di Silom Complex.

Patpong Night Market terletak antara lorong. Yang saya nampak masa tiba ke Silom tu pasar malam Silom Road. Tiada penjaja pada Isnin malam di Silom Road.

Kami masuk ke lorong Patpong. Harga tak menarik. Oleh sebab kawasan pelancong, walaupun kami bargain harga masih lagi tinggi. Menyesal pula tak beli tshirt di MBK Center.

Bukan tu sahaja, ada juga yang promote happy hour untuk show girl.

Patpong Night Market
Kami keluar tanpa beli apa-apa dan pulang ke hostel selepas berjalan lebih 10km sepanjang hari.

Sabtu, 6 Februari 2016

Bangkok hari ketiga - Musim bunga matahari sudah berakhir di Lopburi


Musim bunga matahari sudah berakhir di Lopburi.

Pagi Ahad, kami keluar lewat sedikit. Singgah di Stesen Keretapi Huo Lamphong. Lima orang rakan merancang untuk keluar dari Bangkok menuju Surathani. Stesen ini tidak jauh dari hostel tempat kami menginap.

Keretapi dijadualkan bergerak jam 1 tgh. Tak sempat. Mereka beli tiket bas untuk perjalanan malam.
Saya dan seorang lagi rakan keluar dari Bangkok pada hari Selasa.

Selepas selesai urusan tiket, kami bergerak ke Lopburi. Sebuah lagi bandar di luar Bangkok. Lopburi terkenal dengan ladang bunga matahari. Kami mencuba nasib kalau-kalau bunga matahari masih mekar di Lopburi. Sayangnya, musim sudah berakhir. Masa terbaik untuk ke Lopburi ialah pada bulan November dan Disember.

Mr. Jantee berhenti di salah satu ladang bunga matahari paling besar. Hanya tinggal pokok layu menunggu masa untuk dibersihkan. Sekejap sahaja kami selfie dengan bunga. Bunga kembang tak dapat melawan terik matahari.

Tapi kami dapat lihat biji kuaci yang matang. Kata Lia, kita datang bukan nak lihat yang bunga yang kembang cantik sahaja.

Jantee tak putus asa. Orang kampung menunjukkan kawasan ladang yang masih berbunga.
Alhamdulilah. Kami dapat lihat juga bunga matahari yang menguning di ladang.

Antara ladang bunga matahari terbesar. Bunga sudah layu.
Chatuchak Weekend Market

Jantee menghantar kami ke Chatuchak Market selepas melihat bunga matahari Lopburi. Perjalanan pergi balik Lopburi memakan masa hampir 5 jam. Kami tiba di Chatuchak jam 3 petang.

Chatuchak Market adalah pasar besar yang dibuka pada hujung minggu. Pelbagai barang dijual. Daripada street food, makan tengahari, baju, beg, kasut, rempah, buah, cenderamata dan macam-macam lagi.


Pasar ini berhampiran stesen MRT Chatuchak Park dan BTS Mochit. Tuktuk berderet di tepi jalan menunggu penumpang. Warga tempatan dan pelancong sibuk membeli belah.

Kami makan di salah satu kedai Muslim Food di Section 12. Lia makan nasi ulam. Kecil sahaja kedainya. Hanya memuatkan 8 hingga 10 orang. Kebersihan dijaga dengan baik. Tiada bau yang kurang menyenangkan semasa kami lalu di bahagian street food.

 


Banyak jenis street food yang dijual seperti pisang goreng, sotong bakar, thai crepe, jus oren dan delima segar dan buah-buahan potong. Kami beli ondeh-ondeh Thai. Tak pasti nama kuih ni apa. Serupa ondeh-ondeh. Kagum dengan skil menggoreng lelaki yang menjual kuih ini.

Barang di sini dijual dengan harga berpatutan. Kita boleh tawar menawar harga. Tidak dapat berlama-lama di Chatuchak Market kerana lima orang daripadaa kami perlu menaiki bas ke Surathani.


Selesai di Chatuchak, kami terus ke Hua Lamphong dengan MRT. Saya berpisah dengan rakan dan pulang ke hostel.

Malam berehat sahaja di bilik.

Jumaat, 5 Februari 2016

Bangkok hari kedua - Kanchanaburi bandar sejarah


Waktu di Bangkok sejam awal daripada Kuala Lumpur. Hari kedua kami ke Kanchanaburi, lebih 200km dari Bangkok.

Kami bertujuh menyewa teksi. 3500baht (RM430) untuk sehari. Pemandu teksi Mr Jantee boleh berbahasa Inggeris.

Matahari mula meninggi. Kami berhenti sebentar di tepi jalan. Saya tak ingat nama tempat itu. Di bahagian kiri terbentang 'sawah' garam atau ladang. Serupa macam petak sawah. Air laut disalirkan ke dalam petak sawah mengikut jadual. Kemudian, garam akan dituai. Sempat juga kami bergambar di tepi jalan. Garam ini akan dibekalkan untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Damnoensaduak Floating Market


Jantee membawa kami ke salah satu Floating Market yang terbesar iaitu Damnoensaduak Floating Market. Pasar terapung menjadi tarikan pelancong yang datang ke Bangkok.

Setiap orang dikenakan caj 400baht (RM50). Mahal. Nice (hostel assistant) beritahu kami mereka tak patut caj lebih daripada 200baht.

Rumah dibina atas air. Kedai menjual pelbagai barangan kraf di kiri kanan laluan. Banyak juga penjual yang membawa barang di dalam sampan. Inilah keunikan Floating Market. Pemandu bot hanya memberhentikan kami di sebelah sampan penjual. Urusan jual beli selesai. Kebanyakan penjual yang menyusuri laluan di sini menjual hasil tani seperti buah-buahan, sayur-sayuran. Ada juga yang menjual sarapan pagi!

Barang seperti Tshirt, kain dan cenderamata agak mahal di sini. Jika ingin membeli, bersedia untuk bayar dua atau tiga kali ganda lebih daripada harga biasa.

Erawan National Park


Selepas floating market, Jantee terus memandu ke Kachanaburi. Kami berhenti makan tengahari di sebuah restoran Muslim. Saya makan Pad Thai, hidangan popular di Thailand. Restoran ini terletak di jalan utama. Mudah sahaja mencarinya.

Kanchanaburi terkenal sebagai bandar sejarah. Ada war cemetary dan Death Railway di Sungai Kwai. Selepas makan tengahari dan solat, kami terus ke Erawan National Park, lebih kurang sejam perjalanan dari Kanchanaburi. Tarikan di sini ialah tujuh tingkat air terjun.

Ada bayaran masuk 300baht untuk pelancong asing. Boleh mandi dan piknik di Erawan. Siapa yang berstamina tinggi boleh mendaki kesemua tingkat air terjun. Lebih 1000m atas paras laut.

River Kwai Bridge - Death Railway

Dari atas jambatan sungat Kwai.
Lewat petang kami singgah ke River Kwai Bridge. Laluan keretapi ini dikenali sebagai Death Railway kerana ramai banduan yang terlibat dalam pembinaan mati akibat sakit dan kerahan tenaga.
Ada penjaja yang menjual pelbagai barang kerana kawasan ini tumpuan pelancong. Tiada bayaran masuk dikenakan.

Dua orang wanita yang berdiri di tepi jalan keretapi menarik perhatian. Mereka mengedarkan risalah percuma tentang Bible dan Kristianiti. Risalah diterbitkan dalam pelbagai bahasa.

Kami bergerak pulang ke Bangkok dan Jantee menghantar kami ke Usman Thai di Jalan Sukhumvit 22 untuk makan malam.

Khamis, 4 Februari 2016

Angan musim dingin di Bangkok

Cukup lima hari di Bangkok. Jejak kaki ke Kuala Lumpur, masih lagi terkenang-kenang bandar yang baru ditinggalkan. Chewah...

Suhu turun mendadak di Bangkok. Kurang 20c pada 25 jan 2016. Beberapa hari sebelum penerbangan saya ke bandar ini. Namun, suhu kembali seperti biasa. Hangatnya lebih kurang sama dengan cuaca di Kuala Lumpur.

Kurang dua minggu saya beli tiket ke Bangkok. Harga tiket masih murah, kurang RM150. Rancangan asal saya akan pulang menaiki bas atau tren hingga ke Pulau Pinang. Namun, saya menghabiskan lima hari di Bangkok dan pulang hari ini dengan penerbangan ke Kuala Lumpur.

Saya tiba Jumaat lepas seorang diri kerana rakan yang lain turun di Pattaya. Sementara menunggu mereka sampai, sempat saya bertemu seorang kenalan yang tinggal di Bangkok.

Saya melalui jejantas ke Stesen Keretapi Don Mueang. Kurang bernasib baik kerana keretapi seterusnya dijadualkan bergerak jam 7.50pm. Sedangkan saya berjanji dengan beliau untuk bertemu jam 8.00pm. Sempat menghantar mesej di Airport sebelum saya menaiki bas A1 ke Mochit. Kos 30baht. Dalam masa 20minit tiba ke Mochit.

Waktu ini adalah waktu puncak warga kota pulang dari kerja. Jalan agak sesak, tetapi bas masih bergerak. Dalam 20 minit bas tiba di Mochit. Kemudian, saya menaiki MRT di Chatuchak Park ke Silom. Stesen ini terletak berhampiran stesen BTS Mochit.

Saya masuk ke Silom Complex. Tiba-tiba pengunjung berlari keluar. Berdebar-debar jika ada musibah yang berlaku. Namun, keadaan kembali reda. Selepas berjaya mendapat akses wifi percuma, saya terus menghubungi rakan. Dan beliau baru sahaja tiba.

Seterusnya kami berbual panjang sambil menikmati roti nan di sebuah restoran India Muslim dalam Silom Complex. Sampai pembantu kedai sudah mengelap meja dan mengemas. Seronok bercerita tentang penulisan. Tapi terpaksa berpisah.

Walaupun hanya mesej ringkas sebagai awal perkenalan, tak menghalang kami bertemu buat pertama kali.