Pages - Menu

Khamis, 31 Disember 2015

Angan-angan travel 2016

Destinasi pertama yang saya pergi dengan kawan baik saya ialah Bukit Tinggi, Padang Indonesia. Lebih lima tahun lepas. Sejak itu, banyak destinasi saya dah pergi. Tidak sebanyak otai traveler yang lain. 

Alhamdulilah. Banyak perkara yang kita dapat belajar apabila pergi ke negara lain atau melancong ke daerah lain walaupun dalam negara sendiri. 

Kota Kinabalu, dah tiga kali saya pergi berbanding daerah lain dalam negara. Saya suka Kota Kinabalu. Cuma cita-cita nak panjat gunung sahaja yang belum pasti akan terlaksana atau tidak. Saya bukan jenis yang lasak sangat. Orang kata naik Gunung Kinabalu perlu kekuatan mental melebihi fizikal. Persediaan untuk kekuatan stamina mesti dibuat sebelum nak daki Gunung Kinabalu.

Tahun 2015.

Melancong ke Melbourne dan Sydney. Oh, saya suka Melbourne. Insya Allah, ada rezeki saya nak pergi ke sana lagi. Kawan saya pun dah dapat PR sana. Boleh saya menumpang kat rumah dia barang seminggu dua. Ahakkss..

Perjalanan selama sepuluh hari ke Melbourne dan Sydney saya rakamkan dalam buku travelog Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari. Buku ini kami terbit sendiri. Bila tengok balik buku ini macam tengok album gambar + pelbagai kisah sepanjang percutian kami bertujuh. 

Minggu lepas saya pulang dari Da Nang. Da Nang di Central Vietnam. Ho Chi Minh dah pergi beberapa tahun lepas. Mungkin saya akan ke Hanoi pula selepas ini. 

Tahun 2016.

Semoga Allah permudahkan kembara saya seterusnya. Mungkin merentas separuh dunia ini. Mana tahu kan?

Selasa, 29 Disember 2015

Travelog: Seoul dengan RM1,400 je?

Saya pergi ke Seoul dan Jeju pada awal tahun 2012. Arghh... memang gatal kaki ini nak pergi ke sana lagi. Masa itu kami mengikuti pakej pelancongan. Saya tak ingat berapa kami bayar, tapi tidak sampai RM3,000.

Sekali kawan saya Normi Ahmad Shafie pergi ke Seoul dengan RM1,400 je. Beliau baru pulang Oktober lepas. RM1,400 untuk 5 hari 4 malam. Melancong gaya backpacker. Beliau dan rakannya tidak mengambil sebarang pakej. Tinggal di hostel dan menggunakan pengangkutan awam iaitu subway. 

Insya Allah saya akan ke Korea Selatan sekali lagi. Bila? Tak tau lagi. Masuk diari dulu. Travelog Normi lengkap dengan cara-cara untuk pergi melawat banyak tempat menarik. Dan makan ikan salmon, tiram dan octopus gaya orang Korea. Yummmsss....

Siapa yang hendak melancong ke Seoul gaya backpacker boleh baca ebook ini. 


Travelog: Kota ini lebih romantis daripada Paris


Berangan nak ke Turki. Orang kata Istanbul cantik. Orang kata masjid di sana indah. Orang kata naik belon panas di sana sangatlah mengujakan.

Saya pun berangan-angan. Dengar orang kata je, nak juga lihat sendiri. Insya Allah.

Tapi sebelum pergi, saya baca ebook ini dahulu, Kota Ini Lebih Romantis daripada Paris oleh Azzah AR. Travelog ini ditulis berdasarkan pengalaman beliau bermukim lebih dua bulan di Turki. Beliau juga sudah beberapa kali ke sana. Sudah berjaya belajar bahasa Turki lagi.

Saya suka travelog ini. Ada kisah yang lucu, sedih, gembira, terharu dan bermacam-macam lagi. Penulis turut menceritakan tentang bangunan-bangunan penting serta sejarah yang dekat dengan Islam. Masjid-masjid yang indah. Orang Turki yang pembersih dan peramah. Yang terlebih peramah pun ada!

Nak tahu lebih lanjut, bacalah ebook ini. Boleh tempah terus daripada penulis. Klik sini. Layari laman web penulis Nota Perempuan Backpacker.

The Most Beautiful Sounds


Semasa melalui Bach Dang St berhampiran Han Bridge, saya ternampak sebuah kedai buku Bookzone. Suka betul saya. Saya masuk dan melihat-lihat jika ada buku yang boleh saya beli. Buku oleh penulis Vietnam.

Hampir semua buku yang dijual dalam bahasa Vietnam. Hanya beberapa buah buku dalam bahasa Inggeris. Mustahil saya dapat membaca buku bahasa Vietnam. Kalau boleh pun, tentu memenatkan. Saya bertanya adakah buku yang ditulis oleh penulis Vietnam dan diterjemah ke bahasa Inggeris. Dia kata tiada. 

Saya tidak terus keluar. Saya mengelilingi rak-rak buku yang tak berapa banyak dalam kedai ini. 
Yes! Akhirnya saya nampak sebuah buku oleh penulis Vietnam. Buku dalam gambar di atas. 

Judul buku: Open the window, eyes closed (Vua nham mat vua mo cua so)
Himpunan cerpen kanak-kanak (18 cerpen)
Penulis asal: Nguyen Ngoc Thuan
Penterjemah kepada bahasa Inggeris: Truong Tiep Truong
Penerbit: Tre Publishing House

Buku ini sudah diterjemah kepada lima bahasa dan pertama kali memenangi anugerah buku kanak-kanak di Sweden. Buku ini dikatakan buku kanak-kanak yang paling banyak dibaca oleh orang dewasa. 

Saya terjemah cerpen yang pertama dalam buku ini daripada buku terjemahan bahasa Inggeris. Cerpen ini sangat comel :) Dan saya terjemah secara suka-suka sahaja untuk berkongsi dengan pembaca.

(Disclaimer: Semua hakcipta adalah kepada penulis asal dan penterjemah. Oleh sebab saya menterjemah daripada teks bahasa Inggeris, kemungkinan terjemahan akan berbeza sedikit jika ia diterjemah terus daripada bahasa Vietnam.)

Bunyi yang paling indah (The most beautiful sounds)

Saya budak lelaki berumur sepuluh tahun. Maknanya saya masih berada di dalam perut ibu sepuluh tahun yang lalu. Mak membawa saya ke mana sahaja dia pergi. Saya belum menangis lagi. Mestilah bayi di dalam perut ibu tak boleh menangis! Cuba bayangkan sendiri. Bagaimana keadaannya di dalam perut ibu? Awak tiada sesiapa kecuali ibu awak. Ayah kata memang bertuah bila seorang bayi lahir. Kelahiran saya bermakna saya akan mempunyai ramai kawan baru! Bagaimana saya dapat mengenali Ti dan jadikan dia kawan baik saya kalau saya tidak lahir ke dunia?

Ayah juga berkata bila seorang bayi lahir, bidan akan menepuk punggungnya supaya bayi itu sedar. Di dalam perut ibu, bayi itu tidur nyenyak. Kadang-kadang ada bayi kena tepuk empat atau lima kali, kerana mereka ingat mereka masih berada di dalam perut ibu. Kelakar kan!

Saya macam itu juga. Saya tidur dengan nyenyak. Bidan terpaksa menepuk saya tujuh kali. Mak kata saya akan membesar dengan nakal dan memang betul pun. Saya tipu rakan sekelas dan beritahu mereka yang bidan menepuk saya lima puluh sembilan kali!

“Ya Tuhan, punggung awak mesti merah dan bengkak!” Mereka memusingkan mata mereka.

Keesokan harinya mereka berlagak kepada saya dengan berkata bidan mereka menepuk mereka seratus kali! Ada yang kata dua ratus. Bayangkan punggung mereka. Si kecil Hang, yang kuat menangis, kata empat ratus. Kami ketawa. Kemudian Toan berlaku jujur. “Dua kali,” katanya. (Dia cakap dua ratus sebelum ini). Kemudian kawan yang lain turut mengaku cuma tiga atau empat kali, si kecil Hong pula terus sahaja menangis selepas dilahirkan. Tak perlu bidan bersusah payah untuk menepuknya.

Adakah awak pernah bertanya kepada ibu awak tentang perkara ini? Memang sangat menarik apabila mengetahui tentang diri sendiri semasa baru dilahirkan. Adakah awak membuka mata untuk menyambut ibu bapa awak? Berapakah berat awak? Berapa kali awak bangun malam hanya untuk menangis? Adakah awak ada rambut, dan apa warnanya?

Begitu banyak perkara yang awak ingin tahu tentang diri sendiri! Tapi saya mesti beritahu awak – awak mesti simpan semuanya sebagai rahsia. Ingat – apabila awak menyimpan rahsia tentang diri sendiri, atau orang lain, awak tidak akan lupa tentangnya sama sekali. Apabila awak beritahu rahsia itu, awak akan lupa. Saya pasti. Dan awak patut membesar-besarkan cerita tentang jumlah tepukan bidan, sebab ayah kata tidak akan ada peluang kedua untuk ditepuk bidan. Hanya sekali seumur hidup, itulah tangisan yang paling indah.

Ayah sentiasa ingat hari pertama saya menangis, iaitu hari saya lahir ke dunia. Mak memanggil ayah, “Sayang! Bayi kita nak keluar!” Ayah cepat-cepat mengangkat dan meletakkan Mak ke dalam kereta lembu yang separuh dipenuhi jerami. Malangnya, lembu tidak ada untuk menariknya kerana Ayah meminta Pakcik membawa lembunya ke padang ragut. Jadi Ayah menarik kereta lembu itu ke bandar sendirian. Ayah kata, “Nangislah sayang! Tak apa!” Tapi Mak tetap tidak menangis. Ayah kata Mak wanita paling tabah di dunia!

Apabila saya beritahu kawan-kawan, mereka juga kata ibu mereka tidak menangis. Jangan fikir mereka penipu, mereka hanya menyimpan rahsia. Dan rahsia berikan sesuatu untuk kita ingat selamanya.

Kemudian ia berlaku apabila bidan menepuk saya tujuh kali. Dan Ayah amat gembira. “Oh, anak lelaki. Dan dia akan jadi budak lelaki yang luar biasa! Sayangnya dia!” Dia kemudian memberhentikan tangisan saya dengan ciumannya. Dia tidak malu dengan debu dan peluh di seluruh tubuhnya semasa dia menundukkan mukanya ke muka saya. Dia kata itulah saat yang dia rasakan saya paling comel! Dia asyik memikirkan saya semasa dia bekerja di ladang beberapa hari sebelum saya dilahirkan. Dia ingat saya akan memiliki wajah yang bujur. Mulut saya besar dan tangan saya berotot. Ayah telah menyimpan seekor lembu khas untuk saya jaga apabila saya sudah besar.

Namun, tangan saya rupa-rupanya sangat, sangat kecil dan kulit saya halus seperti kertas. Ayah letak tangan saya ke atas tangannya dan biarkan ia di situ. Dia kata dia tak pernah bayangkan tangan sehalus itu akan menyentuh tangannya.

Begitulah kecilnya saya, Ayah ingat saya akan jadi orang kerdil. Dalam dunia orang kerdil, awak tak patut terburu-buru. Sepatutnya, sekejap sahaja awak berjalan dari rumah ke sekolah. Dalam dunia orang kerdil, mereka akan mengambil masa sepanjang tahun! Mereka tak boleh terburu-buru. Ayah pun tak boleh terburu-buru, kerana saya ada di depan ayah. Dia akan lebih berhati-hati jika dia ingin mengangkat saya. Dia kemudian mengaku, lebih senang membajak ladang daripada memegang  bayi. Awak boleh membajak ladang berkali-kali, tetapi tidak untuk bayi. Bayi tak mampu bercakap walaupun sekadar, “Aduh, semut gigit punggung saya! Sakit!”

Dan begitulah saya lahir ke dunia. Ayah bangga mendengar tangisan saya yang pertama. Pada waktu malam, ayah terpaksa berjalan perlahan-lahan, kasihan dia. Ayah seorang yang kuat, lelaki yang berbadan tegap seperti beruang, dan dia selalu berbuat bising apabila dia menyentuh sesuatu. Memang susah bagi dirinya untuk berjalan dengan senyap seperti kucing. Namun, lama-kelamaan dia sudah biasa, semata-mata kerana saya. Dia kata seorang bayi yang sedang tidur lebih cantik daripada sebuah ladang. Jadi, bila malam dia akan berjaga dan lihat saya tidur. Saya lah padangnya.

Ayah menyesal kerana dia tidak tahu berapa kali bidan menepuk punggungnya, atau adakah dia menangis atau tidak. Datuk dan nenek saya meninggal dunia awal, semasa Ayah masih kecil, jadi tiada sesiapa yang tinggal untuk memberitahu ayah. Ahli keluarga terdekat biasanya menyimpan cerita masa lalu awak. Mereka adalah penyimpan rahsia awak.

Pada hari saya dilahirkan, bidan bertanya kepada Ayah, “Apa saya nak panggil bayi lelaki yang diberkati ini?”

Bayi lelaki yang diberkati bermaksud bayi yang dilahirkan sempurna dan cantik. Bidan tua itu mahu saya hidup dengan gembira.

Ayah bangun.

“Alamak, saya lupa! Saya terlalu sibuk fikirkan tentangnya, saya lupa nak beri nama.”

Menurut Ayah, nama sangat penting. Ia mestilah nama dengan bunyi yang indah apabila orang menyebutnya setiap kali mereka bertemu dengan bayinya sepanjang hidup. Nama adalah perkara pertama yang membezakan seorang bayi dengan bayi yang lain. Mesti ada seseorang di sebalik nama. Tiada yang lebih menggembirakan daripada memanggil nama orang yang dekat dan kita sayangi. Mak panggilan yang popular untuk ibu.

Apabila seorang wanita dipanggil Mak, awak tahu dia melakukan semua perkara dengan penuh kasih sayang sepertimana yang Mak awak lakukan. Mak adalah nama yang sangat cantik di dalam dunia dan sedap didengar. Seorang yang bernama Cuong tidak akan sekali-kali menjadi budak perempuan. Seorang yang bernama Loan tidak akan sekali-kali menjadi budak lelaki. Apabila awak membesar, nama awak akan tetap kekal. Jadi awak simpan nama ini sebagai hadiah daripada Mak dan Ayah. Sudah tentu hadiah ini dipenuhi dengan kasih sayang mereka.

Ayah berkata kepada bidan, “Saya hendak berikan nama seorang hero kepada bayi ini.”

“Jika begitu, kita panggil dia Cuong.”

“Tapi saya mahu dia jadi orang yang bijak juga.”

“Jika begitu, namanya Tri Cuong.”

“Saya juga mahu dia menghormati ibu bapanya.”

Akhirnya, nama saya dipilih. Nama yang sangat panjang tapi saya akan sentiasa ingat nama ini.

Ayah kata, “Tiada yang lebih indah daripada nama kita sendiri. Setiap nama hadir dengan rasa cinta yang melimpah-ruah.”

Apakah nama awak? Adakah awak pernah bertanya ibu bapa awak bagaimana awak mendapat nama itu? Saya pasti awak akan mendengar kisah yang panjang tentang nama awak. Dan ia akan menjadi rahsia awak. Rahsia yang hanya awak dan ibu bapa awak tahu. Dan barulah awak tahu kenapa nama seseorang menjadi bunyi yang paling indah berbanding bunyi-bunyi yang lain.

Itinerari Da Nang dalam Tujuh Hari

Saya menemankan rakan untuk menghadiri kursus di Da Nang. Tempoh percutian saya selama seminggu lebih dari cukup untuk pergi ke tempat-tempat menarik di bandar ini.

Bagi anda yang ingin bercuti ke Da Nang, 3-4 hari sudah mencukupi. Dan musim terbaik untuk pergi ialah pada musim panas dalam bulan Februari - Mac. Anda dapat pergi ke pantai dan berkelah sambil menikmati pemandangan alam.

Kali ini saya pergi pada musim sejuk dan hujan. Saya tidak pergi ke pantai dan hanya melawat tempat bersejarah.

Itinerari saya untuk tujuh hari:

Hari pertama

Tiba di Da Nang dan daftar masuk ke Thu Do Hotel. Kami menaiki teksi meter dari Lapangan Terbang Antarabangsa Da Nang. Kemas serba sedikit dan solat.

Petang itu kami berjalan kaki ke Han Market. Lebih kurang 15 minit dari hotel. Kami menghabiskan masa dua jam dan pulang ke hotel untuk berehat.

Hari kedua

Kami mengikuti day-tour ke Ba Na Hills, 40km dari pusat bandar Da Nang. Kami bergerak jam 9 pagi dan pulang jam 5 petang. Pada malam hari, kami berjalan-jalan sekitar hotel.

Hari ketiga

Kami menyewa motosikal tidak jauh dari Han Market. Kemudian, menuju ke Marble Mountains. Jam 3 petang kami daftar keluar dan daftar masuk ke Novotel, Bach Dang Street.

Hari keempat

Berjalan kaki di Bach Dang Street dan pergi sekali lagi ke Han Market untuk mengambil jaket yang ditempah.

Hari kelima

Mengikuti half day-tour ke Hoi An, bandar warisan UNESCO dan pusat perdagangan lama. Hoi An terletak 30km dari Da Nang. Bertolak petang dan pulang jam 9 malam.

Sesiapa yang suka sejarah dan warisan, boleh menginap di Hoi An satu malam. Anda berpeluang mengambil gambar bangunan yang masih dikekalkan sejak ia mula dibina dan berjalan-jalan pada waktu malam menikmati permandangan lampu yang berwarna-warni.

Anda juga boleh menyertai kelas memasak dan aktiviti berbasikal ke Tra Que Vegetable Village.

Hari keenam

Berehat di hotel. Hari hujan.

Hari ketujuh

Mengikuti day-tour ke Hue, bandar diraja lama dan tapak warisan UNESCO.  Dua jam perjalanan sejauh 100km. Melawat Makam Diraja Khai Dinh, Istana Raja Dinasti Nguyen dan Pagoda.

Hari kelapan

Pulang.

Khamis, 24 Disember 2015

Da Nang tinggalkan kenangan manis


Seminggu berlalu dengan pantas. Terima kasih Noor Hayati Yasmin yang ajak saya ke Da Nang.
Sebuah bandar yang sederhana sibuk di Central Vietnam. Saya pergi ke Hoi An dan Hue, dua bandar bersejarah.
Sayangnya, kami tidak dapat menyusuri pantai di Da Nang kerana musim hujan. Namun, melihatnya dari jauh sudah cukup mendamaikan. Menurut orang tempatan, masa terbaik untuk datang ialah pada bulan Feb-Mac.
Jika ingin bercuti ke Da Nang, 3-4 hari sudah mencukupi.
Saya bertemu kenalan baru dengan latar belakang yang menarik. Deb dan Ken mempelawa saya datang ke rumahnya di Vancouver jika saya pergi ke Kanada.
Melihat kehidupan masyarakat di Da Nang yang mewarnai kota ini. Orang Vietnam sopan dan lemah lembut. Mereka sopan di jalanraya. Mereka akan memperlahankan kereta/motorsikal apabila melihat pejalan kaki ingin melintas.
Saya tidak nampak peminta sedekah. Tiang-tiang jalan bersih dan tidak bertampal dengan iklan. Semasa saya berjalan kaki di Bach Dang, tidak nampak kumpulan yang melepak dan hisap rokok. Dalam kedai kopi ada.
Saya teringat-ingat ayam masak sambal dan macam-macam lauk di Malaysia. Di sini tiada restoran halal. Kami makan bekalan yang dibawa dari Malaysia.
Tapi susu soya keluaran tempatan sedap. Saya beli dalam pek.
Sambil-sambil cuti, dapat baca novel dan sebuah karya penulis tempatan. Dapat masuk kedai buku. Oh, saya terpikat dengan kaver buku tempatan. Kalau boleh baca, memang saya beli buku-buku Vietnam.

Selasa, 22 Disember 2015

Hue, Central Vietnam bandar diraja abad ke-19


Hue ialah ibukota Vietnam semasa di bawah pemerintahan diraja sebelum 1945. Selepas kemerdekaan, ibu kota Vietnam dipindahkan ke Hanoi.

Saya mengikuti rombongan kecil ke Hue melalui Hai Van Tunnel sepanjang 6280m. Terowong ini siap dibina pada 2005. Pembinaannya dibiayai bersama kerajaan Vietnam dan Jepun.

Perjalanan dari Da Nang mengambil masa lebih 2 jam. Hujan gerimis amat halus seperti embun atau kabus sahaja. Tempat pertama yang kami kunjungi ialah makam diraja Khai Dinh. Makam ini siap dibina pada 1931, lima tahun selepas kematian Raja ke-12. Inilah makam diraja terakhir Vietnam.
Raja ke-13 keluar dari Vietnam dan bermastautin di Perancis. Kemudian mati di sana pada 1997.

Pembinaan makan ini mengambil masa 11 tahun dan mengorbankan lebih 6,000 buruh. Kebanyakan mereka mati akibat kekurangan zat dan bekerja dengan teruk sepanjang tempoh pembinaan. Jika semua orang memikirkan bahawa raja ini sangat kejam, tetapi tidak bagi anak lelakinya, iaitu raja terakhir kerajaan Vietnam. Sebuah tablet diletakkan di kawasan makam dan tertulis pengakuan anak raja Khai Dinh bahawa bapanya seorang raja yang baik.

Selepas itu kami pergi ke istana diraja yang dibina pada kurun ke-19. Rekabentuk dan senibina istana banyak dipengaruhi senibina Cina. Kawasan ini amat luas dan menempatkan beberapa bangunan penting keluarga diraja termasuk dewan mesyuarat, bilik diraja, bilik maharani dan kawasan anak raja belajar.


Tempat terakhir ialah pagoda. Ia terletak berhampiran Perfume River. Air sungai ini dikatakan wangi baunya dan rasanya manis. Kawasan pagoda meliputi beberapa tempat sembahyang dan bilik untuk belajar. Kanak-kanak dilatih menjadi sami pada sebelah petang.

Saya bertemu Den dan Ken. Pasangan berumur lewat 50-an ini berasal dari Kanada. Mereka bercuti panjang dan singgah ke beberapa negara Asia. Perjalanan mereka bermula awal Nov dan akan berakhir pada awal Januari 2016.

Hampir 70 peratus penduduk Vietnam menganut Buddha. Banyak kuil Buddha dibina.

Saya ralit melihat gunung kehijauan di sebelah kanan dan laut yang kebiruan di sebelah kiri jalan.
Hai Van Pass ialah laluan yang popular kerana pemandangan alam yang memukau. Memang benar.
Hai bermaksud laut. Van pula ialah langit atau tempat tinggi. Kelihatan rel keretapi di dalam bandar Hue. Hue adalah salah satu hentian dalam rangkaian keretapi Vietnam.

Isnin, 21 Disember 2015

Hoi An - Pusat Perdagangan Lama


Hoi An antara tarikan pelancong di Da Nang. Ia sebuah bandar lama yang mendapat pengiktirafan UNESCO.

Hoi An terkenal sebagai pusat perdagangan pada abad ke-19. Pedagang dari Cina dan Jepun datang ke Hoi An membawa barang untuk dijual seperti sutera dan ubat-ubatan. 

Sebuah jambatan dengan reka bentuk lama telah dibina dan dikenali sebagai Japanese Bridge. Semua ciri-ciri bangunan masih dikekalkan dalam bandar kecil ini. 

Saya mengikuti rombongan kecil dari bandar Da Nang. Selain saya, lima orang lelaki Vietnam turut menyertai kami. Oanh, pemandu pelancong kami pada kali ini ialah seorang wanita muda lepasan ijazah literasi bahasa Inggeris. 

Oanh menerangkan maklumat dalam bahasa Vietnam kemudian menyampaikan maklumat yang sama untuk saya seorang :)

Sampai di pintu masuk bandar lama Hoi An, Oanh membayar yuran masuk. VND 120,000 untuk pelancong asing dan VND 80,000 untuk pelancong tempatan. 

Kami hanya dibenarkan berjalan kaki atau berbasikal di dalam kawasan bandar lama Hoi An. Orang ramai mula memenuhi kawasan dalam Hoi An. Jalan-jalan dibasahi hujan renyai. 

Kami sampai hampir maghrib iaitu lebih kurang jam 5.30 petang waktu tempatan. Kami dibawa masuk ke Assembly Hall. Dewan ini dibina oleh pedagang Cina sebagai tempat mesyuarat dan berkumpul. 


Ia dibuka untuk pelawat melihat ruang dalaman sehingga jam 6 petang sahaja. Ada binaan patung naga dan ikan daripada seramik serta mural dinding. Namun, semuanya kelihatan berbalam sahaja. Waktu sudah senja. Saya tidak dapat merakam gambar yang cantik dengan kamera telefon.

Hoi An terkenal dengan lampu yang berwarna warni pada waktu malam. Hari semakin gelap dan kami dibenarkan untuk berjalan-jalan di sekitar bandar. Saya mengikuti Ms Thi, seorang lagi pemandu pelancong. 

Kami menyusuri sungai dan kemudian menyeberang jambatan utama. Ramai pengunjung pada malam ini. Malam minggu yang sibuk di Hoi An. 

Berderetan beca membawa pelancong dari banyak tempat seperti Korea dan Eropah. Ada juga pemandu beca yang menyapa dan menawarkan perkhidmatannya. Saya memilih untuk berjalan sahaja. 

Tiba-tiba seorang wanita penjual buah menegur saya dan beria-ria menyuruh saya bergambar dengan bakul buah yang dibahukannya sepanjang jalan. Mula-mula saya menolak, kemudian saya ikutkan sahaja. 

Rupa-rupanya saya tertipu. Dia memasukkan dua ikat rambutan ke dalam plastik dan meminta saya membayar VND50,000. Ah... saya terkena. Akhirnya saya membayar VND40,000. RM8 untuk 10 biji rambutan saya rasakan terlalu mahal.

Memang ramai wanita penjual buah di sini. Tetapi saya tidak menyangka akan terkena begini. Saya tidak kisah untuk berurusniaga dan memahami situasi mereka dalam mencari rezeki. Dia patut berlaku jujur dengan mengatakan caj untuk bergambar itu. Ini tidak menggunakan alasan bergambar untuk mengenakan saya. 

Lorong-lorong dipenuhi dengan pelancong. Deretan kedai juga banyak. Namun saya datang ke sini bukan untuk membeli-belah. Cukuplah menikmati suasana malam yang dingin, diterangi lampu berwarna-warni.

Saya pasti ia bandar lama yang mempunyai sejarah hebat dan mungkin saya dapat merakam lebih banyak ciri-ciri binaan bangunan dan rumah di sini jika saya sampai lebih awal. 

Yuran 1/2 day tour: VND550,000

Ahad, 20 Disember 2015

Taman Cinta di Ba Na Hills, Da Nang



Ba Na Hills Resort terletak tidak jauh dari pusat bandar Da Nang. Kami menyertai kumpulan pelancong tempatan dan luar negara. Kami membuat tempahan di Da Nang Tour Company pada hari pertama kami sampai.

Hujan renyai sejak jam 7 pagi. Kami menunggu wakil syarikat pelancongan di lobi Thu Do Hotel. Kemudian bertolak jam 8.30 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam. Bas dipandu dengan perlahan. Sesekali memberi laluan kepada penunggang motosikal.

Jalan lengang apabila kami keluar ke pinggir bandar. Lebih 30 orang menyertai kumpulan ini. Kami sempat berkenalan dengan seorang pelancong dari Cambodia.

Mr Nak datang dari Cambodia seorang diri. Beliau bertugas dengan sebuah NGO yang memberi bantuan kepada anak yatim, ibu tunggal dan kanak-kanak miskin. Sudah lebih 20 tahun. Tahun depan dia akan membawa stafnya ke Da Nang.

Hebat! Beliau korbankan masa dan tenaga untuk membantu golongan susah. Katanya, beliau mesti bantu untuk anak-anak dapatkan pendidikan yang sewajarnya di Cambodia.
Beliau pernah ke Malaysia 3 kali.

Ba Na Hills terkenal dengan kereta kabel terpanjang yang menerima anugerah Guiness World of Records. Sampai sahaja di kaki bukit, kami menaiki keretapi kabel selama 1 minit untuk ke stesen kereta kabel.

Pemandangan sepanjang perjalanan naik ke atas agak terbatas kerana kabus yang meliputi kawasan ini. Kali ini kami datang semasa musim hujan. Masing-masing memakai sweater atau jaket kerana sejuk.


Kami masuk ke Wine Cellar dan French Village. Kemudian makan tengahari di Orchid Restaurant secara buffet. Tidak banyak pilihan makanan yang sesuai untuk orang Islam. Jadi kami ambil roti, salad dan buah-buahan. 


  
Fantasy Park ialah pusat permainan tertutup di atas Bukit Ba Na. Ia menempatkan beberapa tarikan dan permainan untuk dewasa dan kanak-kanak. Ada tiga tingkat semuanya. Tidak perlu berbaris panjang. Kami pergi pada hari Khamis. Mungkin lebih ramai pengunjung pada hujung minggu.


Cukup 90 minit untuk berpusing-pusing di dalam Fantasy Park. Jam 3 petang, kami berkumpul semula untuk turun ke kaki bukit dengan kereta kabel. Laluan sepanjang hampir 6km mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk perjalanan sehala di antara Stesen Ba Na dan Stesen Suoi Mo.

Pakej sehari Da Nang - Ba Na Hills: VND 1,070,000

Yakin dengan bahasa tempatan


Masuk hari ke-2 kami di Da Nang.

Cabaran paling besar setakat hari ini ialah berkomunikasi dengan warga Da Nang. Mereka tidak fasih berbahasa Inggeris.

Wanita penyambut tetamu menyemak perkataan yang kami sebutkan (dan tulis) di google translate. Namun, dia tetap sabar melayan kami.

Semasa di Han Market, jurujual dan pemilik kedai melambai-lambai kami dan bercakap dalam bahasa mereka. Mereka menulis harga kain dan kami tawar-menawar harga dengan cara ini. Hampir sahaja mahu mengalah dan tidak membeli apa-apa di Han Market. Tetapi seorang wanita yang menjual kain cotton bersungguh-sungguh meyakinkan kami. Dan kami dapat harga yang berpatutan.

Yati berhasrat menempah blazer. Puas kami fikir bagaimana nak bertanya dengan bahasa isyarat. Seorang tukang jahit di situ sepertinya faham apa yang kami inginkan dan membawa kami ke kedai yang menjual kain. Dia menunjukkan kain yang sesuai.

Kehadiran kami di situ agak jangkal bagi mereka. Beberapa orang jurujual dan tukang jahit mengerumuni kami. Rimas pun ada juga.

Lega apabila ada yang boleh faham bahasa Inggeris, walaupun beberapa perkataan sahaja.
Ternyata tanpa menggunakan bahasa Inggeris, mereka mampu berjual beli. Satu bonus jika mereka dapat faham dan berkomunikasi.

Tiba-tiba saya terfikir, patutnya saya cakap bahasa Melayu sahaja. Kebolehan menyampaikan mesej dengan isyarat tangan atau gaya penting juga dalam situasi begini.

Tips:
Belajar sebut nombor 0-9 dalam bahasa tempatan.
Bawa calculator bersama, jika anda suka shopping.
Bawa kertas dan pen untuk melukis gambar atau menulis.
Jadi kreatif untuk sampaikan mesej anda.

Oh ... saya rasa bahasa Inggeris saya teruk bila di sini. Tunggang terbalik.
Tapi takde sape kisah, yang penting mesej sampai.

Muslim sebagai minoriti di Da Nang

"You from Malaysia?" tegur seorang lelaki seraya memberhentikan motosikalnya di bahu jalan.
"Yes."
"Muslim?" teragak-agak dia menyoal kami.

Kami ingin berlalu pergi dan cepat-cepat pulang ke hotel untuk check-out. Namun, kami mesti menjawab salam lelaki itu. Dia kemudian menghampiri kami dan memperkenalkan dirinya sebagai Abdullah.

"Alhamdulilah dapat kami berjumpa dengan orang Islam di sini. Ada perkampungan Islam di sini?"
"Saya orang pertama memeluk agama Islam. Sejak dua tahun lalu. Saya belajar di Saudi."

Dia pernah bertugas di Ho Chi Minh City dan fasih berbahasa Inggeris. Dalam perbualan ringkas dia berkongsi cita-citanya untuk berdakwah dan mengembangkan ajaran Islam di Da Nang.

Dia telah jatuh cinta.
Cinta kepada Islam.

Dia tahu cabaran besar yang bakal dihadapi kerana pengaruh Buddha dan Kristian yang kuat di bandar ini. Ada tiga patung Buddha di Da Nang dan sebuah gereja Katolik. Tiada masjid.

Sedang kami berbual, adiknya datang. Davi Thanh, pemandu pelancong yang berpengalaman lebih 6 tahun di Ho Chi Minh. Dia dan abangnya merancang untuk membuka restoran halal di Da Nang dan menarik lebih ramai pelancong Muslim.

Mr Abdullah Tuan and Mr Davi Thanh, thank you for sharing your vision for Islam. Insya Allah, Islam will prosper in Da Nang and your company can serve Muslim tourists in the future. All the best. May Allah protect you, brothers and sisters here in Vietnam.


Berdayung di Sungai Han


Saya menyusuri Bach Dang Street di tepian Sungai Han. Bayu pagi membawa bauan dari laut. Sungai Han mengalir ke dalam Da Nang dari Teluk Da Nang.

Apabila saya berdiri di hujung Bach Dang Street, saya nampak keempat-empat jambatan yang menghubungkan pusat bandar Da Nang dan bandar-bandar kecil di seberang.

Cầu Thuận Phước - Jambatan kabel sepanjang 1.8km, paling panjang di Vietnam.
Cầu Sông Hàn - Jambatan yang berpusing. Ia akan naik tinggi beberapa meter pada waktu malam untuk memberi laluan kepada kapal.
Cầu Rồng - Jambatan Naga.
Cầu Trần Thị Lý - Jambatan dengan rekaan layar kapal.

Tidak banyak aktiviti di sini. Wanita dan lelaki warga emas berdayung barangkali memancing ikan buat lauk mereka hari ini.

Beberapa orang lelaki menawarkan motor untuk disewa atau menaiki beca untuk mengelilingi bandar Da Nang. Tetapi saya menolaknya.

Lebih mudah berjalan kaki sahaja. Dan saya bertemu Hannah Le, pernah mengajar bahasa Inggeris di HCM.



Di bawah Jambatan Sungai Han


Petang.
Baca.
Kau dan diri kau.
Sedang orang lain.
Lepak di bawah jambatan.

Kau.
Dan buku.
Hanya huruf dan ayat.
Terjalin menjadi perenggan.
Bawa makna.
Mungkin harapan?

Sabtu.
Jambatan Sungai Han.
Sedang motoris menyeberang.
Kau tetap di situ.

Biar.
Bayu petang.
Bawa masin lautan.

Biar.
Gerimis petang.
Bawa nyaman.

Aku.
Pulang.
Bawa makna.

20122015, Da Nang.