Pages - Menu

Sabtu, 27 Oktober 2012

Kota Kinabalu, Sabah

Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua sahabat Muslim. Semoga hari yang indah ini memberi makna kepada kita semua. Pengorbanan bermaksud kita bersedia melepaskan apa yang terbaik dan seterusnya membuat perubahan kepada diri ini. Sama-sama kita usaha ye!

Minggu lepas, saya berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah untuk meraikan Hari Konvokesyen anak saudara saya yang sulung. Ini kali ketiga saya ke Kota Kinabalu. Kali pertama atas urusan kerja, tidak sempat berjalan-jalan. Kali kedua, iaitu Oktober tahun lepas bersama rombongan untuk Konvensyen dan kali ini bersama famili pula.

Berbeza dengan tahun lepas, almaklumlah bila semua diuruskan oleh penganjur, kita hanya ikut sahaja itenari yang disediakan. Percutian kali ini, kami uruskan sendiri daripada hotel, kereta sewa dan tempat-tempat yang hendak dilawati. Kalau tahun lepas, tiada lawatan ke pulau-pulau, tahun ini tercapai juga niat saya untuk melihat-lihat pulau-pulau berhampiran dan bersnorkeling.




Hari Jumaat, bas shuttle dari Hotel Casuarina membawa kami ke Jessleton Point. Jeti untuk perjalanan ke pulau-pulau berhampiran. Cuaca sangat baik hari itu. Kami membayar perkhidmatan bot di kaunter Borneo Ferry dan kos perjalanan pergi balik ialah RM23 seorang untuk ke sebuah pulau. Fi terminal pula ialah RM7.20 seorang dewasa dan RM3.60 untuk pelajar. Pelajar perlu menunjukkan kad pelajar untuk mendapat diskaun 50% ini. 

Kami memilih Pulau Manukan. Setiap persinggahan tambahan ke Pulau Gaya, Pulau Mamutik dan Pulau Sapi dikenakan fi bot tambahan sebanyak RM10. Perjalanan ke Pulau Manukan mengambil masa lebih kurang 20-30 minit. 





Kerajaan membina kemudahan yang baik di pulau-pulau ini. Ia juga dikenali sebagai Taman Rekreasi Tunku Abdul Rahman. Pelawat perlu membayar fi konservasi sebanyak RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Banyak fasiliti yang dibina untuk kemudahan pengunjung seperti tandas awam, kedai makan dan tempat berehat di tepi pantai.

Terdapat juga chalet dibina di kawasan pulau untuk pengunjung yang ingin bermalam di sini. Kami berjalan di sekitar Pulau Manukan dan pulang semula ke Jessleton Point lebih kurang 1 petang. Arjuna, pemandu bot kami menawarkan harga yang menarik untuk menempah perkhidmatan bot nya bagi satu kumpulan. Saya berjanji menghubunginya semula untuk perancangan kami pada hari Ahad pula.

Selepas itu, kami singgah di Centrepoint, salah satu kompleks membeli belah terawal di Kota Kinabalu. Makan tengahari di situ dan membeli beberapa makanan ringan sementara menunggu kereta sewa yang tiba pada jam 5 petang. Hujan renyai-renyai dan kami sampai ke hotel sebelum Maghrib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan