Pages - Menu

Selasa, 28 Februari 2012

Membeli-belah di Seoul

30 hari lalu, saya dan 6 orang rakan lagi sibuk mengemas barang untuk percutian ke Korea Selatan.

Selepas mendarat di Incheon, singgah ke Pulau Nami, bermain Ski di Yong Pyong dan bergembira di Everland, hari keempat kami singgah di Seoul pula. Kami dibawa melawat beberapa tempat menarik. Tempat pertama ialah Presidential Blue House seumpama kediaman Perdana Menteri di Putrajaya atau White House di US. Antara yang menarik perhatian saya ialah pegawai keselamatan yang ditempatkan di pondok khas. Terlintas di hati saya, begini susahnya pekerjaan dia tetapi sangat penting berbanding dengan tugasan harian saya.

Kemudian kami dibawa ke Geongbok Palace, sebuah kawasan istana yang dipelihara dan merupakan salah satu tarikan pelancong. Sungguh indah senibina istana dan Julie menceritakan sedikit sebanyak sejarah bangsawan Korea. Kehidupan bangsawan bukanlah seindah yang digambarkan. Semua aktiviti rutin ataupun rasmi maharaja dibantu oleh pembantu khas. Setiausaha diraja atau penulis diraja akan mencatatkan semua percakapan maharaja sebagai rujukan.

Banyak gambar yang menarik disini. Kami melalui 'King Road', laluan khas raja menuju ke astana.

Pic by Azlean
Saya ralit melihat keindahan senibina dan kawasan, sesekali tidak mendengar penjelasan Julie. Selepas itu, kami dibawa ke Pusat Ginseng Negara. Kerajaan Korea Selatan melaburkan dana dalam penyelidikan Ginseng dan kini Ginseng Korea adalah yang terbaik didunia kerana mengandungi kadar 'saponin' yang lebih tinggi berbanding ginseng dari China, Jepun dan US. Ia dijadikan produk kesihatan dalam bentuk serbuk, kapsul, tonik dan manisan. Saya diberikan 'sample' minuman tonik. Saya kurang gemar dengan bau dan rasanya.

Ginseng yang disimpan di sebuah Restoran Sup Ginseng.
Ginseng mempunyai gred berbeza. Proses penanaman dan tuaian ginseng dibuat dengan sangat teliti. Antara maklumat yang menarik perhatian saya ialah ginseng ditanam dalam tanah terpilih dan terlindung dalam atap hitam. Kita boleh menentukan umur tanaman ginseng dengan melihat daun yang keluar dari akarnya. Setiap ranting yang lengkap dengan lima helai daun menunjukkan satu tahun umur ginseng. Begitulah uniknya ciptaan Allah s.w.t. Segala puji bagi Allah.

Makan tengahari kali ini juga berkonsepkan ginseng. Restoran ini menyediakan sup ayam ginseng. Pada mulanya kami ragu-ragu tetapi Julie memaklumkan pihak restoran memesan ayam Halal untuk kami. Restoran ini penuh dan semua pelanggan nampaknya menikmati hidangan ini. Seekor ayam kecil disumbat dengan nasi dan direneh dalam sup ginseng dihidang dalam 'claypot'. Sungguh istimewa. Rasa ginseng tidak begitu ketara tapi saya terkejut kerana akar ginseng yang dimasak terasa lemak manisnya.

Selesai makan, masa untuk membeli belah. Korea Selatan terkenal dengan produk kosmetik dan masa inilah wanita tidak melepaskan peluang memilih produk yang sesuai. Akhirnya saya membeli BB Cream dan Peeling Gel dengan harga KRW50,000. 'Face mask' dijual dengan harga promosi KRW1,000 sepeket.

Aktiviti membeli-belah bersambung di Myongdong District. Myongdong District dipenuhi dengan deretan kedai pelbagai jenama terutamanya kosmetik seperti Skin Food, Natural Republic, Face Shop, Etude dan macam-macam lagi. Selain itu, pelbagai barangan menarik dijual seperti pakaian musim sejuk, kasut, beg dan cenderahati. Rekaan pakaian musim sejuk di sini sangat menarik. Dalam hati agak ralat terkenang susahnya mencari 'sweater' yang cantik di Kuala Lumpur.

Moden dan pelbagai.
Hari itu hari Ahad. Myongdong dipenuhi warga kota yang membeli-belah. Disinilah seorang makcik yang gigih mencari rezeki dengan menjual kepingan gula hangus dengan harga KRW1,000. Makcik malu-malu apabila kami mengambil gambar beliau. Sempat juga dia berkongsi resepi kepingan gula hangus yang dibuat dengan gula dan 'baking soda'.

Kepingan gula hangus.
Jam 5.00 petang kami berkumpul semula di 'meeting point' dan bertolak ke Gimpo International Airport, Seoul untuk penerbangan ke Pulau Jeju. Perjalanan mengambil masa 1 jam 20 minit dengan JinAir. Saya tertidur sepanjang perjalanan.



2 ulasan:

  1. salam..
    berminat utk beli domain utk blog ni tak?

    cth

    www.nama domain yg dipilih.com


    if berminat blh email ,sms or call saya ye

    email : sales@nahrinet.com

    hp : 019 979 7070

    thanks

    BalasPadam
  2. tq. saya akan menghubungi tuan sekiranya hendak membeli domain

    BalasPadam