Pages - Menu

Jumaat, 17 Februari 2012

Manisnya Strawberi Korea

Kegembiraan bercuti di Korea Selatan bersambung lagi. Saya tidur dengan lena malam tadi. Mungkin kerana penat jatuh bangun bermain ski. Ia pengalaman hebat kerana kami mencuba sesuatu yang baru dan tidak boleh dilakukan di Malaysia semestinya.

Pagi ketiga di Korea. Setelah bersarapan, kami memulakan perjalanan daripada Yong Pyong, Pyeong Chang ke Everland, Yongin.

Destinasi pertama kami pagi itu ialah 'Strawberry Farm'. Kebun strawberi ini menggunakan teknologi 'green house' untuk mengawal suhu yang sesuai bagi pokok strawberi hidup dengan subur. Walaupun suhu diluar sangat sejuk (di bawah paras beku), tetapi suhu di dalam rumah hijau agak hangat sedikit. Kami dibenarkan masuk ke salah sebuah rumah dan memetik lima biji strawberi yang masak. Ini pertama kali saya memetik strawberi dan saiznya lebih besar daripada strawberi yang diimport ke Malaysia.


Strawberi ini dijual dengan harga KRW12,000 untuk 500g, KRW18,000 untuk 1kg dan KRW45,000 untuk satu kotak (4x500g). Kerana manisnya strawberi Korea, saya membeli 1kg strawberi untuk dinikmati bersama rakan sepanjang perjalanan kami ke Seoul.

A box of strawberry up for grabs

Bas rombongan berhenti di sebuah restoran yang terkenal dengan masakan gril. Tetapi kami tidak makan disini kerana tiada hidangan makanan laut atau vegetarian. Peserta yang bukan beragama Islam menikmati makanan tengahari dan saya dan rakan-rakan meluangkan masa di kedai cenderamata dan bejalan di sekitar kawasan restoran.

Kawasan ini tidak terlalu sibuk dan kami meneruskan aktiviti bergambar di musim sejuk :)

Lebih kurang sejam, bas bertolak ke Everland. Perjalanan ke sana mengambil masa satu jam lagi. Taman tema ini dibina pada tahun 1976 dan menjadi 'tourist spot'. Ia merupakan taman tema terbesar di Korea Selatan dan mempunyai pelbagai aktiviti menarik. 

Kami dibawa ke Safari World untuk melihat harimau, singa dan beruang. Yang paling menarik, saya dapat menyaksikan beruang menari-nari apabila tram kami sampai dikawasan tersebut. Waktu agak singkat, kami berhenti sekejap dan lega kerana bahagian pengurusan Everland menyediakan ruang yang selesa untuk bersolat berhampiran Mystery Mansion. Kami bertemu dengan pelawat dari Malaysia. Ramai orang Malaysia yang bercuti di sana.

Saya dapat bermain Snow Buster setelah beratur lebih kurang 40 minit. Pengunjung memang ramai pada hari Sabtu ini dan waktu yang diberikan hanya 2 jam setengah. Tidak banyak aktiviti yang kami dapat lakukan disini. Sekiranya anda ingin ke Everland, masukkan dalam iteneri lawatan pada pertengahan minggu dan datang pada waktu pagi. Di sini juga, terdapat 'wooden roller coaster', antara yang terpanjang dan tertinggi pernah dibina di dunia. Pada hari itu, ia ditutup kerana permukaan licin dan tidak sesuai beroperasi atas sebab-sebab keselamatan.

Kami keluar dari Everland pada jam 5 petang dan destinasi seterusnya ialah Namsangol Hanok Folk Village, sebuah projek 'restoration' rumah tradisional Korea. Menurut Julie, malam itu ada sambutan 'full moon' dan kebanyakan ahli keluarga berkumpul di rumah untuk meraikan 'full moon'. Rumah tradisional di sini dikumpulkan dari beberapa lokasi berbeza dan terdapat mengkaji atau pelajar yang membuat rujukan tentang binaan rumah tradisional Korea di Namsangol Hanok Village. Begitulah pentingnya nilai budaya pada masyarakat Korea. Ada 'tablet masa' yang diletakkan di pertengahan Folk Village. Orang Korea meletakkan catatan tentang budaya masa kini di dalam tablet berkenaan dan hanya akan dibuka oleh generasi akan datang selepas 100 tahun lagi.

Matahari hampir terbenam, dalam istilah lain sudah masuk waktu Maghrib. Suhu menurun dan saya menggigil sedikit menahan sejuk. Gambar yang diambil pada malam itu tidak berapa cantik.

Selepas melihat seni binaan rumah tradisional Korea, kami dibawa ke pusat membeli belah Dongdaemun. Ia pusat membeli belah mewah dengan pelbagai jenama dan rekaan fesyen pereka tempatan. Struktur pusat ini bersambung dengan laluan 'basement' yang juga menempatkan kedai-kedai kos sederhana. Ada peristiwa menarik disini. Seorang rakan ingin membeli bagasi dan singgah di sebuah kedai.

Alat bantu jual ! pic by fizah

Pakcik penjual bersungguh-sungguh meyakinkan rakan saya untuk membeli bagasi dan bertutur dalam bahasa Korea. Alat bantu jual beliau ialah sebuah kalkulator saiz besar (sebesar kertas A4!) dan kami pula berbahasa Melayu. Akhirnya, pakcik berjaya dan secara berseloroh rakan mengucapkan terima kasih 'ahjussi' (pakcik) tapi dijawab pula beliau ialah 'arabuchi' (datuk). Jadi, bahasa bukanlah faktor utama untuk melariskan barang yang ingin dijual, yang lebih penting kesungguhan dan kesefahaman antara pembeli dan penjual.

Hari ketiga tamat dengan keseronokan berganda dan malam itu kami berehat di Coop Residence, Seoul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan