Pages - Menu

Isnin, 13 Februari 2012

Cinta Rasulullah s.a.w

Alhamdulilah dapat bertemu sahabat-sahabat usrah. Ramai di kalangan senior saya semasa di universiti, tetapi ada juga yang saya baru kenal. Ini pertemuan kedua yang saya hadiri daripada tiga pertemuan. Tuan rumah kali ini ialah Amy.

Tajuk untuk perbincangan tafsir minggu ini ialah tentang Nabi Muhammad s.a.w sempena Maulidur Rasul.
Ayat Surat At-Taubah: 128.
Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman.
Selain daripada empat sifat Rasullullah iaitu Siddik, Amanah, Tabligh dan Fathanah, ayat diatas menjelaskan lima sifat Rasullullah s.a.w yang perlu dihalusi oleh umatnya.

1) Allah menjadikan Rasul di kalangan manusia supaya menjadi teladan dan ikutan. Baginda bukanlah malaikat atau jin. Sifat semulajadi manusia seperti mengalami kesusahan, kesedihan dan sebagainya amat dekat dengan umat manusia dan tidak boleh dinafikan baginda semestinya menjadi contoh atau 'role model' terbaik untuk umat Islam dalam segala hal.

Hal ini disebut juga dalam Surah Al-Baqarah: 129 "Ya tuhan kami, utuslah di tengah mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka dan menyucikan mereka. Sungguh Engkaulah yang Mahaperkasa, Mahabijaksana."

2) Baginda merasakan segala penderitaan umatnya dan tidak mahu umat mengalaminya. Seolah biar baginda menanggungnya. Di dalam sebuah hadis menceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w berdoa kepada Allah dengan tiga perkara iaitu; selamatkanlah umatku daripada binasa oleh bencana alam, janganlah binasakan umatku oleh musuh-musuh mereka dan janganlah binasakan mereka disebabkan oleh perbezaan pendapat di kalangan mereka.

Dua perkara pertama dimakbulkan Allah melainkan yang ketiga kerana sifat manusia yang berbeza-beza maka disitulah kebijaksaan teruji untuk berbaik-baik dalam perbezaan.

3) Baginda sangat menginginkan keimanan dan keselamatan umatnya. Begitulah kasih sayang Rasulullah s.a.w yang mengharapkan kebaikan untuk umat akhir zaman.

4) Seorang yang sangat penyantun dan

5) Seorang yang sangat penyayang kepada orang yang beriman.

Begitulah Allah menjelaskan di dalam ayat Surah At-Taubah: 128 tentang sifat Rasullullah s.a.w. Daripada ayat ini kita dapat menyelami betapa Rasullullah s.a.w yang diutuskan di kalangan manusia ini begitu mencintai umatnya samada yang berpeluang berada pada zamannya atau selepas baginda tiada. Cinta Rasullullah s.a.w pada orang yang beriman amat tinggi nilainya. Apakah kita tidak mahu menjadi kekasih Nabi?

Terima kasih pada Kak Irwani yang berkongsi ilmu tentang ayat ini. Dan juga ahli usrah yang lain berkongsi pendapat dan pengalaman yang bernilai. Alhamdulilah saya dapat hadir. Semoga Allah merahmati tuan rumah, Amy dan rakan-rakan usrah yang lain. Insya Allah.

Segala kekurangan adalah daripada diri saya sendiri.

Wallahu'alam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan