Pages - Menu

Rabu, 29 Februari 2012

Selasa, 28 Februari 2012

Membeli-belah di Seoul

30 hari lalu, saya dan 6 orang rakan lagi sibuk mengemas barang untuk percutian ke Korea Selatan.

Selepas mendarat di Incheon, singgah ke Pulau Nami, bermain Ski di Yong Pyong dan bergembira di Everland, hari keempat kami singgah di Seoul pula. Kami dibawa melawat beberapa tempat menarik. Tempat pertama ialah Presidential Blue House seumpama kediaman Perdana Menteri di Putrajaya atau White House di US. Antara yang menarik perhatian saya ialah pegawai keselamatan yang ditempatkan di pondok khas. Terlintas di hati saya, begini susahnya pekerjaan dia tetapi sangat penting berbanding dengan tugasan harian saya.

Kemudian kami dibawa ke Geongbok Palace, sebuah kawasan istana yang dipelihara dan merupakan salah satu tarikan pelancong. Sungguh indah senibina istana dan Julie menceritakan sedikit sebanyak sejarah bangsawan Korea. Kehidupan bangsawan bukanlah seindah yang digambarkan. Semua aktiviti rutin ataupun rasmi maharaja dibantu oleh pembantu khas. Setiausaha diraja atau penulis diraja akan mencatatkan semua percakapan maharaja sebagai rujukan.

Banyak gambar yang menarik disini. Kami melalui 'King Road', laluan khas raja menuju ke astana.

Pic by Azlean
Saya ralit melihat keindahan senibina dan kawasan, sesekali tidak mendengar penjelasan Julie. Selepas itu, kami dibawa ke Pusat Ginseng Negara. Kerajaan Korea Selatan melaburkan dana dalam penyelidikan Ginseng dan kini Ginseng Korea adalah yang terbaik didunia kerana mengandungi kadar 'saponin' yang lebih tinggi berbanding ginseng dari China, Jepun dan US. Ia dijadikan produk kesihatan dalam bentuk serbuk, kapsul, tonik dan manisan. Saya diberikan 'sample' minuman tonik. Saya kurang gemar dengan bau dan rasanya.

Ginseng yang disimpan di sebuah Restoran Sup Ginseng.
Ginseng mempunyai gred berbeza. Proses penanaman dan tuaian ginseng dibuat dengan sangat teliti. Antara maklumat yang menarik perhatian saya ialah ginseng ditanam dalam tanah terpilih dan terlindung dalam atap hitam. Kita boleh menentukan umur tanaman ginseng dengan melihat daun yang keluar dari akarnya. Setiap ranting yang lengkap dengan lima helai daun menunjukkan satu tahun umur ginseng. Begitulah uniknya ciptaan Allah s.w.t. Segala puji bagi Allah.

Makan tengahari kali ini juga berkonsepkan ginseng. Restoran ini menyediakan sup ayam ginseng. Pada mulanya kami ragu-ragu tetapi Julie memaklumkan pihak restoran memesan ayam Halal untuk kami. Restoran ini penuh dan semua pelanggan nampaknya menikmati hidangan ini. Seekor ayam kecil disumbat dengan nasi dan direneh dalam sup ginseng dihidang dalam 'claypot'. Sungguh istimewa. Rasa ginseng tidak begitu ketara tapi saya terkejut kerana akar ginseng yang dimasak terasa lemak manisnya.

Selesai makan, masa untuk membeli belah. Korea Selatan terkenal dengan produk kosmetik dan masa inilah wanita tidak melepaskan peluang memilih produk yang sesuai. Akhirnya saya membeli BB Cream dan Peeling Gel dengan harga KRW50,000. 'Face mask' dijual dengan harga promosi KRW1,000 sepeket.

Aktiviti membeli-belah bersambung di Myongdong District. Myongdong District dipenuhi dengan deretan kedai pelbagai jenama terutamanya kosmetik seperti Skin Food, Natural Republic, Face Shop, Etude dan macam-macam lagi. Selain itu, pelbagai barangan menarik dijual seperti pakaian musim sejuk, kasut, beg dan cenderahati. Rekaan pakaian musim sejuk di sini sangat menarik. Dalam hati agak ralat terkenang susahnya mencari 'sweater' yang cantik di Kuala Lumpur.

Moden dan pelbagai.
Hari itu hari Ahad. Myongdong dipenuhi warga kota yang membeli-belah. Disinilah seorang makcik yang gigih mencari rezeki dengan menjual kepingan gula hangus dengan harga KRW1,000. Makcik malu-malu apabila kami mengambil gambar beliau. Sempat juga dia berkongsi resepi kepingan gula hangus yang dibuat dengan gula dan 'baking soda'.

Kepingan gula hangus.
Jam 5.00 petang kami berkumpul semula di 'meeting point' dan bertolak ke Gimpo International Airport, Seoul untuk penerbangan ke Pulau Jeju. Perjalanan mengambil masa 1 jam 20 minit dengan JinAir. Saya tertidur sepanjang perjalanan.



Jumaat, 17 Februari 2012

Manisnya Strawberi Korea

Kegembiraan bercuti di Korea Selatan bersambung lagi. Saya tidur dengan lena malam tadi. Mungkin kerana penat jatuh bangun bermain ski. Ia pengalaman hebat kerana kami mencuba sesuatu yang baru dan tidak boleh dilakukan di Malaysia semestinya.

Pagi ketiga di Korea. Setelah bersarapan, kami memulakan perjalanan daripada Yong Pyong, Pyeong Chang ke Everland, Yongin.

Destinasi pertama kami pagi itu ialah 'Strawberry Farm'. Kebun strawberi ini menggunakan teknologi 'green house' untuk mengawal suhu yang sesuai bagi pokok strawberi hidup dengan subur. Walaupun suhu diluar sangat sejuk (di bawah paras beku), tetapi suhu di dalam rumah hijau agak hangat sedikit. Kami dibenarkan masuk ke salah sebuah rumah dan memetik lima biji strawberi yang masak. Ini pertama kali saya memetik strawberi dan saiznya lebih besar daripada strawberi yang diimport ke Malaysia.


Strawberi ini dijual dengan harga KRW12,000 untuk 500g, KRW18,000 untuk 1kg dan KRW45,000 untuk satu kotak (4x500g). Kerana manisnya strawberi Korea, saya membeli 1kg strawberi untuk dinikmati bersama rakan sepanjang perjalanan kami ke Seoul.

A box of strawberry up for grabs

Bas rombongan berhenti di sebuah restoran yang terkenal dengan masakan gril. Tetapi kami tidak makan disini kerana tiada hidangan makanan laut atau vegetarian. Peserta yang bukan beragama Islam menikmati makanan tengahari dan saya dan rakan-rakan meluangkan masa di kedai cenderamata dan bejalan di sekitar kawasan restoran.

Kawasan ini tidak terlalu sibuk dan kami meneruskan aktiviti bergambar di musim sejuk :)

Lebih kurang sejam, bas bertolak ke Everland. Perjalanan ke sana mengambil masa satu jam lagi. Taman tema ini dibina pada tahun 1976 dan menjadi 'tourist spot'. Ia merupakan taman tema terbesar di Korea Selatan dan mempunyai pelbagai aktiviti menarik. 

Kami dibawa ke Safari World untuk melihat harimau, singa dan beruang. Yang paling menarik, saya dapat menyaksikan beruang menari-nari apabila tram kami sampai dikawasan tersebut. Waktu agak singkat, kami berhenti sekejap dan lega kerana bahagian pengurusan Everland menyediakan ruang yang selesa untuk bersolat berhampiran Mystery Mansion. Kami bertemu dengan pelawat dari Malaysia. Ramai orang Malaysia yang bercuti di sana.

Saya dapat bermain Snow Buster setelah beratur lebih kurang 40 minit. Pengunjung memang ramai pada hari Sabtu ini dan waktu yang diberikan hanya 2 jam setengah. Tidak banyak aktiviti yang kami dapat lakukan disini. Sekiranya anda ingin ke Everland, masukkan dalam iteneri lawatan pada pertengahan minggu dan datang pada waktu pagi. Di sini juga, terdapat 'wooden roller coaster', antara yang terpanjang dan tertinggi pernah dibina di dunia. Pada hari itu, ia ditutup kerana permukaan licin dan tidak sesuai beroperasi atas sebab-sebab keselamatan.

Kami keluar dari Everland pada jam 5 petang dan destinasi seterusnya ialah Namsangol Hanok Folk Village, sebuah projek 'restoration' rumah tradisional Korea. Menurut Julie, malam itu ada sambutan 'full moon' dan kebanyakan ahli keluarga berkumpul di rumah untuk meraikan 'full moon'. Rumah tradisional di sini dikumpulkan dari beberapa lokasi berbeza dan terdapat mengkaji atau pelajar yang membuat rujukan tentang binaan rumah tradisional Korea di Namsangol Hanok Village. Begitulah pentingnya nilai budaya pada masyarakat Korea. Ada 'tablet masa' yang diletakkan di pertengahan Folk Village. Orang Korea meletakkan catatan tentang budaya masa kini di dalam tablet berkenaan dan hanya akan dibuka oleh generasi akan datang selepas 100 tahun lagi.

Matahari hampir terbenam, dalam istilah lain sudah masuk waktu Maghrib. Suhu menurun dan saya menggigil sedikit menahan sejuk. Gambar yang diambil pada malam itu tidak berapa cantik.

Selepas melihat seni binaan rumah tradisional Korea, kami dibawa ke pusat membeli belah Dongdaemun. Ia pusat membeli belah mewah dengan pelbagai jenama dan rekaan fesyen pereka tempatan. Struktur pusat ini bersambung dengan laluan 'basement' yang juga menempatkan kedai-kedai kos sederhana. Ada peristiwa menarik disini. Seorang rakan ingin membeli bagasi dan singgah di sebuah kedai.

Alat bantu jual ! pic by fizah

Pakcik penjual bersungguh-sungguh meyakinkan rakan saya untuk membeli bagasi dan bertutur dalam bahasa Korea. Alat bantu jual beliau ialah sebuah kalkulator saiz besar (sebesar kertas A4!) dan kami pula berbahasa Melayu. Akhirnya, pakcik berjaya dan secara berseloroh rakan mengucapkan terima kasih 'ahjussi' (pakcik) tapi dijawab pula beliau ialah 'arabuchi' (datuk). Jadi, bahasa bukanlah faktor utama untuk melariskan barang yang ingin dijual, yang lebih penting kesungguhan dan kesefahaman antara pembeli dan penjual.

Hari ketiga tamat dengan keseronokan berganda dan malam itu kami berehat di Coop Residence, Seoul.

Rabu, 15 Februari 2012

Mencuba ber Ski di Yong Pyong Ski Resort

Selepas melawat Pasar Ikan Segar dan makan malam di restoran berhampiran, kami dibawa ke Seorak 1 Park Resort. Bilik dan kemudahan hotel baik dan memuaskan. Kami hanya bermalam di situ untuk satu malam sahaja dan selepas bersarapan terus ke destinasi pelancongan iaitu Seorak National Park.

Mount Seorak National Park
Ramai pelancong dan warga tempatan datang ke sini. Sekali lagi saya melihat pemandangan yang menakjubkan. Langit yang biru dan angin sejuk menerpa, matahari tetap menyinar. Salji masih banyak disini. Kami dapat melihat gunung-gunung di sekeliling 'park'. Cuaca yang baik dan saya bersama rakan berjalan lebih 30 minit ke kawasan yang lebih tinggi dimana terdapat binaan Sinhung Temple. Seorak National Park adalah salah satu lokasi 'hiking' yang digemari penduduk tempatan.

Lucky bear - pic by Fizah
Art & architecture Sinhuang Temple - pic by Fizah
Lebih kurang sejam di sana, kami meneruskan perjalanan ke Yong Pyong Ski Resort. Ski Resort ini juga adalah lokasi penggambaran drama Winter Sonata. Kami singgah ke Kedai Ski untuk menyewa pakaian khas dan gogel. Kadar sewa ialah KRW15,000 untuk suit dan KRW10,000 untuk gogel. Pembantu kedai memberikan saya sepasang baju berwarna 'pink' kerana saya memakai tudung pink pada hari itu :)

Sebelum ke Ski Resort kami makan tengahari di sebuat restoran berhampiran. Menu makan tengahari kali ini ialah sup ikan masin sejuk beku dan tofu. Ikan ini dikeringkan dalam musim sejuk dengan menjemurnya. Dalam perjalanan, memang ada kawasan yang dibuat untuk menjemur ikan-ikan tersebut.

Tower Condominium, Yong Pyong Ski Resort
Menurut Julie, inilah masa terbaik untuk aktiviti Ski kerana salji sangat banyak dan ia adalah salah satu aktiviti sukan yang diminati warga Korea. Banyak pusat-pusat peranginan ski yang dibangunkan untuk memenuhi permintaan warga tempatan dan pelancong.

Selepas mendaftar masuk dan solat Jama' Zohor dan Asar, saya dan rakan-rakan turun ke bahagian aktiviti ski untuk menyewa peralatan ski iaitu kasut khas ski, 'ski poles' dan ski. Pakej belajar ski dan peralatan berjumlah KRW35,000.

Picture by Teamint

Seorang jurulatih mengajar kami teknik-teknik utama untuk meluncur, berhenti dan bagaimana untuk bangun dengan betul sekiranya terjatuh. Pada mulanya agak sukar untuk membiasakan diri. Tapi akhirnya saya berjaya untuk meluncur walaupun terjatuh beberapa kali. Ia pengalaman yang baru untuk saya, mungkin suatu hari nanti saya akan datang lagi dan mencuba aktiviti luncur dan menaiki gondola untuk melihat kawasan ski yang indah. Saya tidak sempat menaiki gondola kerana tempoh operasi telah tamat pada pukul 5.00 petang. Kos untuk menaiki gondola ialah KRW12,000. Suhu pada petang itu ialah -12 darjah C.

Saya memakai suit 'pink' :)

Kami melawat kawasan sekitar setelah memulangkan set peralatan ski. Sempat membeli air tin teh tarik daripada 'vending machine' dengan harga KRW1,000. Lega dapat minum air panas.

Kemudahan hotel sangat baik. Bilik hotel dilengkapi dengan lantai hangat. Sistem pemanasan bilik dibuat dengan lantai khas. Inovatif dan praktikal. Terdapat peralatan dapur untuk memasak. Malam ini tiada makan malam disediakan. Kami berkumpul dibilik paling besar dan memanaskan bekalan yang dibawa dari Malaysia iaitu Nasi Tomato, Ayam Masak Merah dan Daging Masak Kurma jenama Brahims. Sangat berbaloi dan puas hati dengan produk ini. Salah satu tip yang saya kongsikan dalam entri ini.

Hari kedua yang berbaloi dengan pengalaman hebat di Ski Resort. Begitulah hebatnya pembangunan di Korea Selatan dan mereka menyediakan kemudahan tahap lima bintang yang mesra pelancong dan juga menarik minat penduduk tempatan.

Isnin, 13 Februari 2012

Cinta Rasulullah s.a.w

Alhamdulilah dapat bertemu sahabat-sahabat usrah. Ramai di kalangan senior saya semasa di universiti, tetapi ada juga yang saya baru kenal. Ini pertemuan kedua yang saya hadiri daripada tiga pertemuan. Tuan rumah kali ini ialah Amy.

Tajuk untuk perbincangan tafsir minggu ini ialah tentang Nabi Muhammad s.a.w sempena Maulidur Rasul.
Ayat Surat At-Taubah: 128.
Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman.
Selain daripada empat sifat Rasullullah iaitu Siddik, Amanah, Tabligh dan Fathanah, ayat diatas menjelaskan lima sifat Rasullullah s.a.w yang perlu dihalusi oleh umatnya.

1) Allah menjadikan Rasul di kalangan manusia supaya menjadi teladan dan ikutan. Baginda bukanlah malaikat atau jin. Sifat semulajadi manusia seperti mengalami kesusahan, kesedihan dan sebagainya amat dekat dengan umat manusia dan tidak boleh dinafikan baginda semestinya menjadi contoh atau 'role model' terbaik untuk umat Islam dalam segala hal.

Hal ini disebut juga dalam Surah Al-Baqarah: 129 "Ya tuhan kami, utuslah di tengah mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka dan menyucikan mereka. Sungguh Engkaulah yang Mahaperkasa, Mahabijaksana."

2) Baginda merasakan segala penderitaan umatnya dan tidak mahu umat mengalaminya. Seolah biar baginda menanggungnya. Di dalam sebuah hadis menceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w berdoa kepada Allah dengan tiga perkara iaitu; selamatkanlah umatku daripada binasa oleh bencana alam, janganlah binasakan umatku oleh musuh-musuh mereka dan janganlah binasakan mereka disebabkan oleh perbezaan pendapat di kalangan mereka.

Dua perkara pertama dimakbulkan Allah melainkan yang ketiga kerana sifat manusia yang berbeza-beza maka disitulah kebijaksaan teruji untuk berbaik-baik dalam perbezaan.

3) Baginda sangat menginginkan keimanan dan keselamatan umatnya. Begitulah kasih sayang Rasulullah s.a.w yang mengharapkan kebaikan untuk umat akhir zaman.

4) Seorang yang sangat penyantun dan

5) Seorang yang sangat penyayang kepada orang yang beriman.

Begitulah Allah menjelaskan di dalam ayat Surah At-Taubah: 128 tentang sifat Rasullullah s.a.w. Daripada ayat ini kita dapat menyelami betapa Rasullullah s.a.w yang diutuskan di kalangan manusia ini begitu mencintai umatnya samada yang berpeluang berada pada zamannya atau selepas baginda tiada. Cinta Rasullullah s.a.w pada orang yang beriman amat tinggi nilainya. Apakah kita tidak mahu menjadi kekasih Nabi?

Terima kasih pada Kak Irwani yang berkongsi ilmu tentang ayat ini. Dan juga ahli usrah yang lain berkongsi pendapat dan pengalaman yang bernilai. Alhamdulilah saya dapat hadir. Semoga Allah merahmati tuan rumah, Amy dan rakan-rakan usrah yang lain. Insya Allah.

Segala kekurangan adalah daripada diri saya sendiri.

Wallahu'alam.



Ahad, 12 Februari 2012

Tips Melancong ke Korea Selatan

Percutian saya ke Korea Selatan baru-baru ini masih lagi dalam musim sejuk. Ini adalah percutian pertama ke negara empat musim dan persediaan untuk ke sana dibuat dengan teliti. Apa yang perlu disediakan untuk melancong ke negara musim sejuk:

1) Pakaian yang sesuai; 'Winter coat', Sweater, Shirt dan Long John (inner wear) untuk suhu di bawah 0 darjah celcius

2) Kasut khusus untuk musim sejuk atau kasut kulit. Kasut sukan juga boleh tetapi yang kalis air. Stokin jenis 'wool'. Antara kedai yang menjual kasut sesuai ialah Universal Traveller dan Winter Time. Boleh juga memilih kasut sukan atau kasut kulit di Timberland.

3) Bawa sarung tangan. Sekiranya anda tidak membeli ear muff dan muffler di Malaysia, boleh dapatkan di pusat membeli belah di Myongdong. Harganya agak berpatutan.

4) Bawa makanan segera atau snack. Bergantung kepada jadual perjalanan anda dan pakej pelancongan. Sekiranya tiada menu makan tengahari atau makan malam disediakan, bekalan ini sekurang-kurangnya boleh menggantikan menu berkenaan. Bagi orang Muslim, agak sukar mencari restoran makanan halal sepenuhnya kecuali di Itaewon.

5) Sediakan losen Vitamin E atau Sunblock mengikut kesesuai kulit. Amat berguna kerana kulit kita tidak biasa dengan musim sejuk dan mungkin mengalami 'rashes'.

6) Untuk menunaikan Solat, boleh cari tempat yang bersih dan tunaikan Solat Jamak dan Qasar.

7) Memandangkan sukar mencari restoran makanan halal sepenuhnya, minta pihak restoran sediakan makanan vegetarian atau seafood sahaja. Ada sebuah kedai yang kami singgah menyediakan ayam yang dipesan khusus untuk orang Islam (Halal).

8) Kalau boleh elakkan bawa kanak-kanak bawah umur 5 tahun. Cuaca yang sangat sejuk mungkin menyebabkan mereka tidak selesa.

9) 'Cubicle' bilik air tidak mempunyai pili seperti kebanyakan bilik air di Malaysia. Boleh gunakan wet wipes atau sediakan botol kosong untuk mengambil air daripada sinki di luar. Jangan risau, walaupun tiada pili di bilik air mereka, tetapi semua bilik air yang kami pergi bersih dan boleh digunakan dengan selesa.

10) Berseronoklah dan nikmati keindahan musim sejuk.

Rahsia Suri Rumah Bekerjaya! Klik Disini!

Sabtu, 11 Februari 2012

Kenangan Manis di Musim Sejuk (Fascinating Korea)

Seronok. Teruja dan bersyukur. Saya berpeluang mengalami musim sejuk di Korea Selatan. Ini adalah percutian pertama saya untuk tahun 2012. Saya pergi bersama 6 orang lagi rakan selama seminggu bermula 1 Februari lalu. Ia adalah percutian terbaik saya setakat ini. Pengalaman yang manis dan kami melawat banyak tempat menarik seperti Pulau Namirama, Pulau Jeju, Everland dan Yong Pyong Ski Resort.

Perjalanan bermula pada tengah malam dan mengambil masa lebih kurang 6 jam. Penerbangan Air Asia X mendarat di Incheon International Airport pada pukul 6 pagi. Beberapa hari yang lalu, cuaca diramalkandi bawah suhu beku lebih kurang -11 darjah celcius. Sejurus keluar daripada pesawat, suhu sejuk amat terasa memandangkan saya belum memakai 'winter coat' yang dibawa. Subhanallah.

Setelah menunaikan Solat Subuh, kami berkumpul dengan peserta lain dan berjumpa dengan pemandu pelancong kami Ms Julie atau nama beliau Hwang Hye Jeong. Julie memaklumkan suhu pada hari itu adalah yang terendah selama 50 tahun di Seoul iaitu -16 darjah celcius. Sehari sebelumnya salji turun dengan lebat dan saya melihat pemandangan yang sungguh menakjubkan dengan timbunan salji putih di tepi jalan dan bukit-bukit di Incheon. Incheon adalah bandar ketiga terbesar selepas Seoul dan Busan dengan populasi 2.76 juta.

Incheon International Airport
Kami melalui Incheon Bridge sepanjang 21.34 km menuju ke Incheon Landing Operation (ILO), salah satu tempat penting dalam sejarah Korea yang melibatkan Perang Korea pada awal 1950-an.


Perang Korea melibatkan banyak pihak termasuk USSR dan USA. Barulah saya faham mengapa ada Korea Utara dan Korea Selatan. Korea Utara dibawah pengaruh USSR manakala Korea Selatan dibawah pengaruh USA. Selepas Perang Korea, kedua-dua wilayah ini dipisahkan oleh Military Demarcation Line (MDL). Lebih kurang 2km keatas MDL dan ke bawah MDL ialah Korean Demilitarized Zone (KMZ) di mana tiada siapa dibenarkan tinggal di kawasan tersebut selepas Perang Korea. Kawasan berkenaan kini menjadi tarikan kepada pengkaji hidupan dan tumbuhan liar kerana tiada sebarang pembangunan di sana.

Selepas makan tengahari kami melawat ke Pulau Namirama. Pulau ini menjadi terkenal selepas dijadikan lokasi penggambaran drama Winter Sonata yang disiarkan pada tahun 2002. Sehingga kini, drama tersebut masih lagi ditonton kerana genre cinta yang menyentuh jiwa penonton.

Pemandangan yang sungguh indah dengan salji memutih. Walaupun suhu sangat sejuk, ia adalah pengalaman yang terbaik kerana dapat merasai sendiri keajaiban ciptaan Allah. Cahaya matahari tetap melimpahi Pulau Nami tetapi salji yang halus tidak pula mencair.





Destinasi seterusnya untuk hari pertama ialah Chuncheon Myongdong. Terdapat kedai-kedai di kawasan ini untuk membeli belah. Memandangkan baru hari pertama, saya tidak berbelanja disini. Hanya melihat-lihat kawasan sekitar dan mengambil beberapa gambar menarik.

Perjalanan diteruskan ke Mount Seorak. Kami menginap di sebuah hotel di sana. Sebelum berehat malam itu, Julie membawa kami ke Pasar Ikan Segar. Suhu di kawasan berkenaan ialah -23 darjah celcius. Oleh kerana terlalu sejuk, saya hanya berehat di dalam bas dan rakan-rakan lain melawat ke pasar berkenaan. Suhu disini lebih rendah berbanding Seoul kerana berada di kawasan gunung.

Hari pertama yang sungguh indah. Dalam hati saya, sangat kagum dengan ciptaan Allah dan sesungguhnya saya bersyukur diberi nikmat melalui pengalaman ini.




Rabu, 1 Februari 2012

TIADA BERSIARAN!

Entri pertama bulan Februari. Hanya makluman tiada bersiaran untuk 8 hari. Insya Allah mengumpulkan bahan menarik untuk entri-entri akan datang.

p/s: all excited but prepared for the unknown ... :)