Pages - Menu

Rabu, 21 Disember 2011

Johor Premium Outlets

Apa yang menarik di JPO? Dah balik ke JB, haruslah singgah ke sana. Ahad lepas aku pergi juga. Kami sampai jam 12. Hujan renyai-renyai. Sekarang ini memang musim hujan. Hari Sabtu hujan sepanjang hari, sekejap reda sekejap lebat.

 
Tempat letak kereta hampir penuh. Hujan gerimis, kami berlari masuk ke bangunan. Johor Premium Outlets ini merupakan francais 'premium outlets' seperti yang dibangunkan di Jepun, Korea, US dan Mexico. Pelbagai jenama antarabangsa boleh didapati disini termasuk Coach dan Burberry. Lebih 80 jenama terkenal memasuki pasaran Malaysia. Apa yang istimewa? Di sini pelanggan mendapat barangan jenama dengan harga yang lebih rendah diantara 25%-65% berbanding harga pasaran atau di butik.

Lokasi strategik dan laluan masuk yang lancar salah satu faktor ramai pengunjung daripada pelbagai lapisan. Selain daripada itu, konsep outlet juga mesra pelanggan dan laluan kaki lima luas. Dalam keadaan hujan pun, pelanggan boleh berjalan dengan selesa. Aku rasa satu fenomena bila orang beratur di luar outlet Coach dan Burberry. Aku sempat masuk ke outlet Coach setelah beratur hampir 30 minit.




Lebih kurang dua jam di sana, kami hanya sempat masuk ke lima kedai; Coach, Universal Traveller, Timberland, Clarks dan Esprit. Aku akhirnya membeli sepasang kasut di Timberland dengan harga 50% lebih rendah. Timberland memberi diskaun tambahan sebanyak 20% lagi untuk 3 barangan. Memang berbaloi aku berkongsi bil dengan dua orang pelanggan lagi. Semua sekali kami jimat hampir RM200. Seronok.


Sempat juga aku bertanya pada jurujual di Timberland. Setiap hari sejak dibuka awal Disember lalu, pelanggan tidak putus-putus. Aku tengok muka dia pun letih, tapi masih lagi melayan pelanggan dengan sabar.

Berapakah yang telah dilaburkan oleh pelanggan seperti aku di JPO? Aku cuma beli satu barang. Orang lain? Satu strategi yang menjadi dan kebanyakan barang terjual macam pisang goreng panas. Cuma satu sahaja, apabila stok rekaan tertentu habis, mereka akan keluarkan stok lain pula.

Pada pandangan aku, sesiapa yang hendak berbelanja disini kena berhemah. Pastikan anda tahu apa yang anda mahu. Paling penting, anda memang perlukan barang berkenaan. Walaupun ada diskaun, harganya tetap lebih tinggi kerana kita bukan sahaja membeli barang tetapi membeli jenama mereka. Aku sarankan buat pilihan bijak supaya anda tidak terlalu teruja sehingga membeli barang yang tidak diperlukan. Walaupun harganya mahal dan berkualiti, akhirnya akan memenuhi rak atau bilik simpanan sahaja.

Pastikan datang lebih awal sekiranya hendak melihat semua outlet yang ada di sana. Jika tidak, jadi macam kami. Kalau lewat mungkin sesak hendak masuk ke kawasan tempat letak kereta. Lagi-lagi musim cuti sekolah. Bukan orang Johor sahaja yang datang, orang dari seberang dan merata tempat pun teruja hendak berbelanja di JPO.

Selamat berbelanja dengan Bijak!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan