Pages - Menu

Isnin, 12 Disember 2011

Al-Amin oleh A.Samad Said



Pada mulanya berbolak-balik hendak pergi ke MPH Carnival di Midvalley atau ke SOGO. Tujuan utama hendak melihat-lihat pakaian musim sejuk sebagai persediaan untuk percutian tahun hadapan kerana pelbagai tawaran diskaun diberikan oleh pusat membeli-belah di bulan Disember ini.

Akhirnya akur dengan gerak hati yang ingin mengunjungi MPH Carnival 2011 yang berakhir hari ini. (Pesta buku ini bermula 8 Disember 2011 dan berakhir 12 Disember 2011). Hari ini adalah cuti umum di Selangor, dan aku mengambil kesempatan keluar seawal 930pagi. Pun begitu apabila sampai jam 10pagi di Midvalley, tempat letak kereta hampir penuh. Ramai yang sedang bersarapan di Midvalley.

Aku terus menuju ke tingkat 3 ruang pameran MPH Carnival. Pelbagai penerbit kebanyakannya penerbit tempatan mengambil peluang membuat jualan akhir tahun dengan potongan serendah 25% mengikut jenis buku. Mungkin kerana hari terakhir, tidak banyak buku yang tinggal.

Lebih kurang jam 11 pg pihak penganjur membuat pengumuman Sasterawan Negara A.Samad Said akan hadir untuk melancarkan buku baru tulisan Tuan Hj Subki Abd Latif, Anak Apak yang diterbitkan Kemilau Publications. Pada masa itu aku sedang membayar belian dua buah buku A.Samad Said iaitu Di Simpang Jalan dan Cinta Fansuri. Hari melonjak hendak membeli buku puisi Al-Amin, Riwayat terindah kekasih Allah tulisan beliau juga.

"Kita tidak mampu merasai semua peristiwa dalam hidup. Dengan membaca tulisan pengalaman orang lain supaya kita dapat belajar daripada kebijaksanaannya dalam pengalaman hidupnya." Antara kata-kata beliau yang mengesankan semasa memberi ucapan. Dato' A.Samad Said juga sempat membacakan sebuah sajak beliau Kita ini Tetamu Senja kepada khalayak.

Walaupun ucapan beliau ringkas tetapi sungguh bermakna untuk direnung dan difahami maksudnya. Oh ya, ahli politik Mat Sabu dan Prof Abdullah Hassan juga ada di situ. Tiada pula ahli politik UMNO atau BN ye ... mungkin mereka sibuk menguruskan pentadbiran negara.

Aku sempat pergi semula ke 'booth' PTS untuk mendapatkan buku Al-Amin dan akhirnya buku itu ditandatangani oleh Pak Samad sementelah tamat sesi pelancaran buku. Semoga bermanfaat dan aku dapat membaca karya beliau sebuah puisi terpanjang yang pernah beliau hasilkan.

Buku yang akan memenuhkan rak saya:
1) Al-Amin, Riwayat Terindah Kekasih Allah oleh A.Samad Said
2) Di Simpang Jalan oleh A.Samad Said
3) Cinta Fansuri oleh A.Samad Said
4) Formula Menjadi Usahawan Berjaya oleh Wan Mohd Nazif dan Fazilah Ibrahim (Percuma)
5) Buat Duit Dari Rumah oleh Mohd Rozani Pawan Chek
6) Pocket Korean Dictionary oleh Periplus (MPH Bookstore)

2 ulasan:

  1. Uiks... Nak pi korea eh? Hehehehe

    BalasPadam
  2. opss ... sungguh tepat ... hehe. perancangan mcm tu la. tapi lambat lagi, cuma aku je sibuk2 nak beli itu ini

    BalasPadam