Pages - Menu

Ahad, 9 Oktober 2011

Hormat dan Tanggungjawab

Hujung minggu ini dapat berehat di kampung. Pada mulanya aku tidak merancang untuk pulang. Tetapi rasa sudah lebih sebulan tidak balik kampung. Akhirnya, aku dan adik balik selepas pulang dari pejabat. Kebiasaannya aku akan pulang pada siang hari, lebih selesa begitu. Memandangkan cuti agak terhad, aku kuatkan juga pulang malam itu. Alhamdulilah perjalanan lancar walaupun hujan sedikit. Udara luar memang sejuk. Abang sudah sampai Maghrib kerana mereka bertolak selepas Solat Jumaat. Kami sampai jam 11 malam.

Kebetulan sepupu aku mengadakan Majlis Akikah untuk cucu lelakinya, cucu kedua dalam keluarga mereka. Secara tidak langsung, aku jadi nenek saudara ... haha. Tahniah buat mereka yang mendapat cahayamata penyeri rumah tangga.

Ayahandaku bersiap awal pagi itu rupanya hendak menguruskan pengambilan kambing akikah untuk mereka. Yang aku kesalkan, tiada seorang pun daripada ahli keluarga tersebut yang menemankan Ayahanda untuk menyelesaikan urusan ini. Pada pandangan aku, sebagai orang muda kita perlu tahu adab dan hormat pada yang lebih tua. Aku faham banyak kerja yang perlu dibuat oleh tuan rumah. Tapi menguruskan akikah ini juga penting. Sepatutnya, mereka perlu belajar tentang selok-belok ini dengan orang yang lebih tua. Caranya mudah sahaja, ikut mereka dan lihat bagaimana caranya. Ya Allah, jauhkan aku dari sifat Mazmumah ini dan semoga aku tidak akan memperbuat begini pada orang lain.

Sebelum berkemas untuk pulang siang tadi, aku keluar sebentar. Di simpang keluar, kelihatan sepasang anak dan bapa sedang membuang sampah dari lorinya di tepi jalan. Aku menegur si anak. Si anak yang terpinga-pinga memanggil ayahnya. Berkali-kali aku mengatakan tidak boleh buang sampah disitu. Tetapi dengan selamba beliau menjawab, orang lain buang sampah di sini. Tanpa menghiraukan teguran aku dia terus membuang sampah di tepi jalan. Bagaimana seorang bapa menjadi model kepada anaknya? Dengan sikap tidak bertanggungjawab ini? Tidak hairanlah jikalau suatu hari nanti si anak tidak menghiraukan teguran bapa dan menjadi anak yang tidak bertanggungjawab. Pada masa itu, usahlah marahkan si anak lagi kerana peribahasa telah menyebutkan 'Bapa borek, anak rintik'. Masya Allah.

IMHO: Sikap hormat dan tanggungjawab itu boleh dilihat dalam perkara yang paling kecil sekalipun.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan