Pages - Menu

Isnin, 8 Ogos 2011

7 Ramadhan 1432H - Ilmu


Aku pergi ke Perpustakaan Awam Negeri Selangor. Niat asal hendak melihat-lihat perpustakaan yang baru dibuka pada 22 Julai 2011. Aku sangat teruja dengan kemudahan yang ada. Bangunan yang besar dan cantik. Bersih dan disusun dengan rapi. Ada ruangan khusus untuk kanak-kanak di tingkat bawah.

Di setiap tingkat ada terminal komputer untuk melayari Internet dengan kadar RM1.00 sejam. Bagi peminat Macs, memang kembang hati melihat 5 unit Macs disediakan di setiap tingkat. Canggih. Pengunjung juga boleh melayari internet dengan peralatan sendiri kerana terdapat akses Wi-Fi.

Ramai juga remaja yang datang mengulangkaji pelajaran bersama rakan. Ada juga remaja yang bertemankan bapanya :) Aku pula datang dengan hasrat menyambung penulisan buku yang tertanggguh.

Banyak lagi ruang kosong pada rak-rak buku di setiap tingkat. Sambil berangan-angan buku aku tersusun di salah sebuah rak di perpustakaan ini. Insya Allah. Mungkin inilah tempat untuk aku menyiapkan buku pertama itu. Sebuah tempat rujukan ilmu yang pelbagai. 

Sesungguhnya Al-Quran memberi motivasi untuk menuntut ilmu. Ayat pertama yang diturunkan ialah Surah Al-'Alaq: 1 bermaksud:
Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. (Al-'Alaq: 1)
Walaupun Nabi Muhammad s.a.w tidak pandai membaca, tetapi inilah perkara pertama yang diwahyukan kepada baginda. Tuntutan menuntut ilmu.
Tanpa ibu dan bapaku yang berkorban masa, tenaga dan wang untuk memberi pendidikan yang baik, tentu aku tidak sampai ke tahap ini. Aku sangat bersyukur kerana tanpa lelah mereka melabur semata-mata untuk menjadikan aku seperti mana aku sekarang. 

Menuntut ilmu tidak akan berhenti. Semakin banyak yang kita pelajari maka semakin banyak yang tidak kita ketahui kerana ilmu Allah sangat luas.
IMHO: Sangat bangga dengan usaha badan kerajaan dalam mendirikan sebuah perpustakan yang canggih dan selesa untuk peminat ilmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan