Pages - Menu

Isnin, 22 Ogos 2011

Kejahatan yang dibenci Allah

Alhamdulilah, setakat ini aku dapat membaca Al-Quran sehingga Juz 15. Surah Al-Isra'. Beberapa ayat dalam surah ini menyatakan kejahatan yang dibenci oleh Allah. Untuk entri ini aku hanya merujuk kepada terjemahan yang diterbitkan oleh PT Syaamil Media.

Surah Al-Isra' ayat 38:
"Semua itu kejahatan yang sangat dibenci di sisi Tuhanmu"
(Kemudian ayat ini merujuk kepada 10 ayat sebelumnya seperti dinyatakan dibawah)

1) Ayat 22
    "Janganlah engkau mengadakan tuhan yang lain disamping Allah, nanti engkau menjadi tercela dan terhina"

2) Ayat 23
    "Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik"

3) Ayat 26
    "Dan berikanlah haknya kepada kerabat dekat, juga kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu menghamburkan (hartamu) secara boros"

4) Ayat 29
    "Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan jangan (pula) engkau terlalu mengulurkannya (sangat pemurah) nanti kamu menjadi tercela dan menyesal"

5) Ayat 31
    " Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberik rezeki kepada mereka dan kepadamu. Membunuh mereka itu suatu dosa yang besar"

6) Ayat 32
    "Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk"

7) Ayat 33
    "Dan janganlah kamu membunuh orang yang diharamkan Allah (membunuhnya), kecuali dengan suatu (alasan) yang benar. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sungguh, Kami telah memberi kekuasaan kepada walinya, tetapi janganlah walinya itu melampaui batas dalam pembunuhan. Sesungguhnya dia adalah orang yang mendapat pertolongan"

8) Ayat 34
    "Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai dia dewasa, dan penuhilah janji, kerana janji itu pasti diminta pertanggungjawabannya"

9) Ayat 36
    "Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya"


10) Ayat 37
      "Dan janganlah engkau berjalan dimuka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan menjulang setinggi gunung"

Daripada pembacaan aku (orang biasa) yang sedikit pengetahuannya, Allah telah memberi panduan tentang kejahatan yang dibenci dan mesti dijauhi. Dia memberi peringatan kepada hambaNya supaya tidak melakukan perkara-perkara ini.

IMHO: Apabila kita ingat kepada perkara yang dibenci Allah, maka kita akan lebih berhati-hati dalam setiap tindak tanduk kita.

Sabtu, 20 Ogos 2011

20 Ramadhan 1432H - Syukur

20 hari berlalu. Alhamdulilah, dapat bertemu Ramadhan kali ini. Adakah aku akan bertemu Ramadhan lagi? Semoga Allah memberi kesempatan ini.

Setiap kali bernafas, sebenarnya itulah detik masa dan kesempatan yang diberikan oleh Allah untuk kita berusaha dalam amalan, seolah menanam benih dikebun, di mana hasilnya dituai di akhirat. Sebab itu kita dikehendaki bersyukur.

Selalu kita cemburu dengan pencapaian orang lain
Yang miskin melihat yang kaya katanya kenapa aku susah?
Yang lemah melihat yang kuat katanya kenapa aku tidak bermaya?
Yang gagal melihat yang berjaya katanya kenapa aku tidak berupaya?
Yang sedih melihat yang gembira katanya kenapa aku begini?

Allah tidak akan membebankan hambanya, melainkan dia mampu menanggung bebanan itu. Apabila kita terlupa bersyukur, lihatlah ke bawah, supaya kita nampak apa yang Allah berikan kepada kita. Setiap daripada kita mempunyai kelebihan. Daripada kita bersikap iri hati dan dengki dengan pencapaian orang lain, lebih baik kita usaha menggunakan kelebihan diri untuk mencapai apa yang kita impikan.

Dengan Allah yang Maha Kaya dan Maha Pengasih
Yang miskin akan jadi kaya
Yang lemah akan jadi kuat
Yang gagal akan berjaya
Yang sedih akan gembira
Apabila engkau memperolehi itu
Hendaklah bersyukur
Kerana bersyukur mendidik hati agar tidak takbur

Isnin, 15 Ogos 2011

15 Ramadhan 1432H - Muhasabah Ramadhan

adakah hari-hari yang lalu diisi dengan kebaikan
adakah aku ambil peluang untuk meningkatkan mujahadah di bulan Ramadhan
adakah amalku diterima Allah
yang penting usahalah sebaik mungkin hingga ke akhirnya
semoga didikan Ramadhan menjadikan kita insan yang lebih baik
pada hari-hari seterusnya

sayangnya
orang yang tidak nampak keindahan Ramadhan
seolah kebiasaan
seolah sifat mazmumah beraja di dalam diri dan hatinya
jelas membuat onar dan tidak amanah
tapi takut dengan bayang-bayang sendiri
malangnya dialah yang menjadi pemimpin

wahai pengikut
tidak nampakkah
tidak dengarkah
tidak melihatkah
kenapa mesti menjadi pengikut buta tuli

takkan senang orang yang seperti ini
menipu sana menipu sini
Ya Allah jauhkan aku dari orang yang zalim dan tidak amanah
Amin

Sabtu, 13 Ogos 2011

12 Ramadhan 1432H - Sikap Biadab vs Sabar

Hari Jumaat selalunya aku akan mengelak untuk membuat sebarang urusan di Kuala Lumpur terutamanya di waktu petang. Tapi ada sesi menarik yang ingin aku hadiri tentang situasi pasaran yang tidak stabil di US di Jalan Sultan Ismail. Petang ini pemandu membawa kami ke sana. Maklum sajala trafik petang Jumaat di bulan puasa memang dijangkakan sesak.

Dalam sesak, akhirnya kami sampai ke pejabat pada jam 6 petang. Ada satu kejadian yang tidak diingini berlaku. Semasa kami hendak masuk ke simpang ada sebuah kereta Kancil dipandu dengan tidak stabil dan membahayakan. Kami ingin cepat, akhirnya pemandu dapat memotong beliau dengan jarak dekat. Rupanya pemandu kereta Kancil itu tidak puas hati dan keluar hendak bergaduh dengan kami.

Aku dan rakan berdebar-debar. Kami mengucap panjang. Budak Melayu itu sungguh biadab sehingga mengeluarkan kata-kata kesat dan mengangkat kaki beliau hendak menyepak pemandu kami. Nasib baik tiada kejadian yang buruk berlaku.

Apakah pengertian Ramadhan pada budak Melayu ini?
Apakah tiada nilai kemanusiaan di dalam hatinya?
Bagaimana kaki dan mulut itu sekiranya beliau berwuduk dan mengaji Quran boleh menjadikan perilaku sebegini?

Islam mensyariatkan perkara-perkara yang wajib seperti Solat dan Puasa untuk mendidik jiwa kita. Adakah budak Melayu itu, (aku rasa dia masih Islam) mengamalkan perkara asas ini? Astagfirullah ... Sungguh rugi dirinya di bulan Ramadhan, tiada keinsafan dan mendapat dosa dengan perbuatan dirinya sendiri.

IMHO: Mungkin budak ini kurang kasih sayang di kalangan keluarganya. Maka dia tiada kasih sayang dengan orang lain.

Selasa, 9 Ogos 2011

8 Ramadhan 1432H - Membaca Al-Quran

Terima kasih ayahanda
Mengajar membaca Al-Quran sejak kecil
Setiap kali aku membaca Al-Quran
Pasti akan teringat ayahanda
Semoga Allah memanjangkan umurnya
Memberi rahmat berpanjangan kepadanya
Semoga Allah memberi peluang
Aku memberi kebahagian kepadanya

Kerana ayahanda
Aku mampu membaca Al-Quran
Kadangkala aku terlalai dan tidak membaca Al-Quran
Di bulan Ramadhan
Mengejar pahala dan rahmatnya
Dengan membaca Al-Quran

Ramadhan ini
Membaca Al-Quran secara tersusun
Bermula dengan Surah Al-Baqarah
Bercita-cita menamatkan 30 juzuk sekali
Di Ramadhan 1432H ini

Membaca Al-Quran
Ada motivasi
Ada kisah tentang keagungan dan penciptaan
Ada panduan ilmu
Ada peringatan
Ada kisah kasih sayang
Ingatkan kembali diri kita sebagai hamba-Nya yang lemah

Buat sahabat
Tiada henti untuk belajar membaca Al-Quran
Aku juga banyak kelemahan
Kuatkan semangat untuk memperbaiki bacaan
Adakah malu lebih wajar dari sikap mahu belajar?
Tiada kata sudah terlambat
Rugilah mereka yang tidak mampu membaca Al-Quran
Lebih rugi mereka yang tidak mahu belajar membaca Al-Quran

Suatu hari nanti
Ajarlah anak-anak kita mengaji Al-Quran
Dari kecil
Supaya mudah lidahnya membaca
Supaya lembut hatinya dengan kata-kata Allah
Supaya terdidik jiwanya dengan ayat-ayat yang indah
Insya Allah
Jiwa yang membaca Al-Quran
Menjadi jiwa yang sentiasa ingat Allah
Dalam hari-harinya

IMHO: Semoga ajaran ayahanda menjadi manfaat sepanjang masa. Amin

Isnin, 8 Ogos 2011

7 Ramadhan 1432H - Ilmu


Aku pergi ke Perpustakaan Awam Negeri Selangor. Niat asal hendak melihat-lihat perpustakaan yang baru dibuka pada 22 Julai 2011. Aku sangat teruja dengan kemudahan yang ada. Bangunan yang besar dan cantik. Bersih dan disusun dengan rapi. Ada ruangan khusus untuk kanak-kanak di tingkat bawah.

Di setiap tingkat ada terminal komputer untuk melayari Internet dengan kadar RM1.00 sejam. Bagi peminat Macs, memang kembang hati melihat 5 unit Macs disediakan di setiap tingkat. Canggih. Pengunjung juga boleh melayari internet dengan peralatan sendiri kerana terdapat akses Wi-Fi.

Ramai juga remaja yang datang mengulangkaji pelajaran bersama rakan. Ada juga remaja yang bertemankan bapanya :) Aku pula datang dengan hasrat menyambung penulisan buku yang tertanggguh.

Banyak lagi ruang kosong pada rak-rak buku di setiap tingkat. Sambil berangan-angan buku aku tersusun di salah sebuah rak di perpustakaan ini. Insya Allah. Mungkin inilah tempat untuk aku menyiapkan buku pertama itu. Sebuah tempat rujukan ilmu yang pelbagai. 

Sesungguhnya Al-Quran memberi motivasi untuk menuntut ilmu. Ayat pertama yang diturunkan ialah Surah Al-'Alaq: 1 bermaksud:
Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. (Al-'Alaq: 1)
Walaupun Nabi Muhammad s.a.w tidak pandai membaca, tetapi inilah perkara pertama yang diwahyukan kepada baginda. Tuntutan menuntut ilmu.
Tanpa ibu dan bapaku yang berkorban masa, tenaga dan wang untuk memberi pendidikan yang baik, tentu aku tidak sampai ke tahap ini. Aku sangat bersyukur kerana tanpa lelah mereka melabur semata-mata untuk menjadikan aku seperti mana aku sekarang. 

Menuntut ilmu tidak akan berhenti. Semakin banyak yang kita pelajari maka semakin banyak yang tidak kita ketahui kerana ilmu Allah sangat luas.
IMHO: Sangat bangga dengan usaha badan kerajaan dalam mendirikan sebuah perpustakan yang canggih dan selesa untuk peminat ilmu.

Ahad, 7 Ogos 2011

6 Ramadhan 1432H - Musibah

Pagi aku pergi ke Empire & Subang Jaya. Dah set awal-awal untuk ke Popular or MPH sebab nak cari stationery. Di Popular terbeli buku lagi, combo set by John Gray and Dale Carnegie. Lagipun ada diskaun. Layan. Sebab stationery yang dicari takde aku singgah pula ke MPH, Subang Parade.

Jiwa kacau. Baju kurung untuk raya berlambak. Tapi harganya pun boleh tahan. Purata RM200 ke atas. Tapi aku tahankan hati. Akhirnya berjaya untuk tidak membeli. Lagipun memang ada baju yang dah siap tapi belum pernah pakai. Sesuailah untuk jadi baju raya.

Sampai di rumah lebih kurang 2 petang. Dapat berita, rakan sekerja kena musibah. Kemalangan motor, luka juga. Pada mulanya beliau dihantar ke Hospital Klang oleh seorang yang baik hati di tempat kejadian. Alhamdulilah, besar pahala dia membantu orang yang susah di bulan Ramadhan ini.

Kemudian, kakak beliau menghantar ke KPJ Specialist. Aku melawat dia selepas 'Asar. Insaf melihat keadaan beliau. Walaupun nampak sedikit, tapi mungkin ia sesuatu yang besar untuk dia. Semoga Allah beri kesabaran kepada beliau.

Inilah hakikat. Kita tidak tahu bila sesuatu musibah itu akan terjadi. Pada diri sendiri atau pada orang yang terdekat. Memikirkan hakikat ini, aku tidak mahu sambil lewa lagi. Apa yang perlu disegerakan harus disegerakan. Kerana masa tidak menunggu kita.

IMHO: Sikap bertangguh akan merugikan. Bayangkan bila kita sakit, tentu ada perkara yang tidak boleh kita lakukan buat sementara. Lakukan apa yang perlu dengan segera.

5 Ramadhan 1432H - Humble and Happy

It's Friday. Everyone knows it. But I just wanted to mention it. Usually, I will have a good day on Fridays. I was nervous in the morning because I was expected for an appointment with an important client. She postponed the meeting that was supposed to be on Monday. I was relieved. For this appointment (Friday), I was much prepared.

I reached at her office at 1200 noon. She is a busy high official in the organization. Actually she is a consultant anaesthesiologist. Without her, the operations cannot go, you know what I mean :)

I presented the draft as per our discussion two weeks ago. We did discuss few issues and I need to come back to her on few other matters. It was a success. What she said really make me feel appreciated. I smile. When a client like her said something positive, that means I have done a good service.

She said she is so happy because she thought it was a difficult process, but it's not when I make it easier for her. She feels so relieved (lega) now that she has taken the steps to have a very important plan in place. I also got the potential to have more business with her. Alhamdulilah.

Humble. Eventhough she is a specialist in her area, she accepted that on certain matters there are lacking. It does not matter as she said we can always get advice from the expert. I admire her for this. I will always remember this.
Lagi banyak ilmu yang kita dapat, sebenarnya lebih banyak yang tidak kita ketahui.  
I like meeting positive people. This will recharge myself to be a positive person.

Jumaat, 5 Ogos 2011

4 Ramadhan 1432H - Trafik

Ini cerita semalam. Aku ada mesyuarat di KL bermula 1030pagi. Rancangan asal ada pertemuan dengan klien di KL Sentral, tapi saat akhir dibatalkan. Akhirnya aku lepak sahaja di pejabat sehingga mesyuarat kedua bermula di sebelah petang.

Sesi pagi membincangkan proses penjualan yang berkesan. Aku seorang sahaja yang Muslim di dalam kumpulan itu. Tetapi terima kasih kerana mereka semua menghormati bulan ini. Aku memang tak faham kalau ada orang Islam yang buat-buat lupa tanggungjawab berpuasa sedangkan orang Islam lebih 'aware' lagi.

Julian kongsi idea tentang Dream Book. Sangat mudah hendak mulakan Dream Book, tetapi selalu bertangguh. Kenapa hendak bertangguh merealisasikan impian sendiri?

Sesi petang diisikan dengan penerangan produk. En Nazrin dari ING Public Takaful Ehsan tidak membosankan. Sesi kedua Tokio Marine Asia Life agak bosan. Lagipun dah pukul 1630. Tak fokus lagi.

Keluar dari pejabat 1800 dan pastinya Lebuhraya Persekutuan sudah sesak. Ambil masa sejam dari Jln Kg Attap ke Shah Alam. Merungut pun tak guna, aku layan IKIM FM dan ada slot tentang BUKU. Menarik. Buku yang dibincangkan ialah Ramadhan Terakhir oleh Hisham AR diterbitkan oleh Galeri Ilmu. Aku akan ceritakan berkenaan temubual ini di entri lain.


Alhamdulilah, sampai juga sebelum Maghrib untuk berbuka.


IMHO: Entah kenapa, rasa kurang tertekan dalam kesesakan di bulan Ramadhan. Itulah istimewanya Ramadhan. Bagusnya kalau dapat 'maintain control stress' macam ni.

Rabu, 3 Ogos 2011

3 Ramadhan 1432H - Mengumpat

"Kalau rasa-rasa nak mengumpat tu, cuba bayangkan macam nak makan daging busuk. Daging bangkai anjing yang tersadai mati tu. Agak-agak nak mengumpat tak?" Prof Dr Muhaya dalam Islam itu Indah di IKIM FM.

Aku dapat dengar sebahagian slot pagi tadi. Seronok bila dapat bercerita tentang orang lain, apatah lagi keburukan atau perkara yang tidak disukai. Bergosip. Selalu dikaitkan dengan perempuan, tapi lelaki pun apa kurangnya. Cuma 'tune' dan 'topic' mengumpat tu beza sikit la.

Orang yang mengumpat ini sebab dia cemburu dengan orang yang diumpatnya tu. Dia tiada apa yang orang tu ada. Kan lebih baik bercerita tentang diri sendiri dan bertanya bagaimana nak memperbaiki diri. Apabila mendengar orang lain bercakap tentang diri kita, apatah lagi cerita yang tidak benar, rasa tidak rugi kalau kita diamkan sahaja. Melainkan ia menjatuhkan maruah, pada masa itu kita perlu bertindak sewajarnya.

Perkara ini memang biasa berlaku. Aku sendiri pernah terkena. Tapi sebab aku tak ambil kisah apa yang mereka cakap. Mereka itu pula tiada hak hendak bercerita tentang kisah aku pun. Akhirnya semua diam. Bila isu sudah reda pasal aku, mereka cerita hal orang lain pula.

Dalam banyak keadaan, bila mengumpat selalu berkenaan perkara yang negatif. Secara tidak langsung tenaga negatif yang disalurkan, semua kerja tidak menjadi. Jadilah orang yang positif. Positif membawa kita kepada perkara yang baik.

IMHO: Orang lain orang bercerita perkara yang tidak baik berkenaan diri kita, tapi kita sendiri sepatutnya lebih tahu perkara yang benar dan kadangkala diam itu lebih mudah daripada melawan kata-kata mereka. Meletihkan.

2 Ramadhan 1432H - Marah vs Diam

Hari kedua.

Teringat salah satu segmen Ustaz Pahrol dalam siri Mukmin Profesional. Menguruskan amarah juga perlu cara yang profesional. Bagaimana? Apabila kita marah, seeloknya diam sebentar. Dengan cara ini, minda akan bertindak berbanding mulut atau anggota lain yang bertindak. Tempoh sejenak ini serupa dengan elemen 'toma'ninah' dalam solat. Apakah kita marah kerana sebab yang munasabah ataupun tekanan emosi semata?

Kisah Saidina Ali dengan seorang Yahudi menggambarkan sikap beliau yang profesional dalam menguruskan marah. Klik sini. Selain itu, apabila kita marah yang bersebab, sebaiknya ia hendaklah bersandarkan fakta dan cuba cadangkan sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Mencari kesalahan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah. Yang lebih penting, bagaimana hendak menyelesaikan dengan muafakat.

Marah sifat mazmumah. Tingkatkan rasa sabar dan semoga sifat sabar yang dididik dalam bulan Ramadhan membawa kepada perubahan yang baik bagi bulan-bulan seterusnya.

IMHO: Melawan amarah bukan mudah. Tapi ingat tanpa syaitan yang menghasut hati kita, musuh kita hanyalah nafsu iaitu diri kita sendiri.

1 Ramadhan 1432H

Alhamdulilah, 1 Ramadhan kali ini dapat bersahur di kampung. Walaupun, bukan cuti umum di Selangor tapi aku ikut cuti orang Johor a.k.a apply cuti sendiri. Kebetulan 1 Ramadhan pada hari isnin. Jadi pulang ke kampung di hujung minggu dan awal bulan. Cantik sangat la tu.

Sehari sebelumnya, (Ahad) sempat juga ke Giant, Smart & Carrefour semata-mata nak mencari bahan untuk spageti meatball dan bahan-bahan lain untuk di bawa pulang nanti. Hmmm.. macam la kat Shah Alam takde bahan-bahan tu. Tapi beli kat Johor juga yang best.

Ramainya orang membeli-belah, persediaan Ramadhan. Pada aku, bulan Ramadhan ini perlulah lebih berhemah dalam perbelanjaan. Makna puasa pun dalam erti katanya adalah menahan. Menahan nafsu daripada membazir itu pun hakikatnya tuntutan puasa juga.

Semoga cita-cita Ramadhan tahun ini dapat diusahakan sebaik-baiknya dan mendidik jiwa dalam menghadapi tuntutan dunia dan akhirat. Insya Allah.