Pages - Menu

Jumaat, 22 Mei 2009

Falsafah Melayu & makanan

"Fasal inilah, ertinya Melayu itu umpama pucuk kayu, yakni melayukan dirinya umpama pucuk kayu, bukan kerana ia layu akibat panas atau kena api, tetapi melayukan diri itu kerana ia merendahkan diri tidak mahu membesarkan diri. Tingkah lakunya terjaga. Lemah lembut tidak berlebih-lebihan. Tidak pula kurang-kurang. Tidak mamang.

".... Melayu itu sederhana. Melayu itu majlis orangnya. Adapun maksud majlis ialah tidak mengada-ngada.

".... Majlis itu tidak mengada-ngada.Sentiasa ia menjaga budi, pandai menyimpan diri. Itu sebabnya kira dinamakan Melayu. Nah, makanan Melayu itu tidak seperti makanan nyonya, tidak seperti makanan orang mamak, tidak seperti makanan Arab, tidak pula kurang tak berasa. Mesti majlis sahaja.

"... makanan Melayu itu jangan lupa menyubur hati, menyubur jantung, akhir sekali menyubur otak kerana makanan itu mesti baik untuk jasmani lagi rohani. Ada hadis diriwayatkan Bukhari berbunyi begini 'Di dalam tubuh badan ada seketul daging yang apabila baik daging itu maka baiklah seluruh tubuh badan dan daging itu adalah hati.

"Itulah tuan-tuan, kita tampilkan masakan atau makanan Melayu itu mestilah tak lepas dari empat rasa. Tak boleh tidak mesti masam, mesti manis, mesti pedas dan mesti lemak. Adalah masam itu lambang kurang. Andai manis itu lambang lebih. Jadi haruslah seimbang antara masam dan manis.

"Meski merendah diri Melayu itukan masih tegas, maka harus pedas, dan kerana Melayu itu banyak tolak ansurnya maka harus juga sentiasa lemak. Kalau terlebih lemak tidak boleh juga, tidak juga Melayu itu tersangat pedas, sangat masam apatah lagi, kalau terlalu manis memudaratkan diri."

........................

petikan dari Ketupat Cinta, Faisal Tehrani 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan